Monday, June 05, 2017

Serangan Bunuh Diri Tidak Islami oleh Mehdi Hasan dan Fatwa Dr. Afifi al-Akiti

Oxford Union

Saya bertemu dengan Ahmad Iskandar pada musim panas 2004. Beliau tinggal di sebuah pondok di kem pelarian Burj al-Barajneh di Beirut. Berumur awal 20an, pemuda Palestin ini penuh dengan keberangan. 

"Aku bersedia untuk meletupkan diri di Israel," beliau memberitahu sambil kami merakamkan sebuah dokumentari tentang kem tersebut. Adakah beliau merancang untuk menjadi pengebom berani mati?

"Maaf, ianya bukan berani mati. Ia adalah operasi shahid." Ahmad kelihatan tidak membezakan antara kematian dan kemusnahan yang beliau akan cetuskan dan orang yang tidak bersalah yang mungkin terbunuh dalam operasi itu.

"Hati kami telah mati," kata beliau sambil mengangkat bahu. "Mereka menjadikan kami lupa segalanya. Pergi sahaja dan bunuh mereka". 

Berapa ramai lagi Ahmad di dalam dunia orang Islam hari ini, yang bersedia atau mengimpikan pembunuhan yang sedemikian? Berapa ramai lagi yang berilusi bahawa jenayah ke atas kemanusiaan itu adalah suci pada Islam?

Sebetulnya, tidak ada yang Islami tentang keganasan Islamik. Bom berani mati khususnya adalah sesuatu yang ganjil dalam tradisi perang Islam, mengambil inspirasi daripada kamikaze Jepun yang disempurnakan oleh Tamil Tigers. Walau bagaimanapun, majoriti pengebom berani mati Muslim menyandarkan tindakan mereka dengan agama. Pada Mac 2008, terdapat 1,121 serangan sebegitu hanya di Iraq.

Sebagai seorang Muslim, ini mengejutkan saya. Pengebom berani mati menceroboh ke setiap ruang hidup kita dan ruang awam: dari pasar ke kedai kopi, sekolah ke hospital, rumah ibadat ke pengangkutan awam. Mereka telah melanggar setiap ajaran dalam Islam, etika dan perundangan dalam mempromosikan pembunuhan orang awam yang tidak bersenjata.

Jadi mengapa ramai Muslim enggan mengutuk taktik ganas ini? Kajian mendapati sokongan kepada serangan berani mati telah menjunam di seluruh dunia Islam tetapi, dalam tinjauan Pew Global Attitudes, 68% Muslim Palestin, 43% Muslim Nigeria dan 38% Muslim Lebanon mengatakan mereka percaya pengeboman berani mati pada orang awam selalunya diasaskan kepada hujah mempertahankan Islam daripada musuh.

Ilmuan Islam moden telah berdolak-dalih terlalu lama dalam isu ini. Walaupun mereka yang sederhana dalam dunia Islam, seperti Sheikh Yusuf al-Qaradawi dan Ayatollah Sheikh Mohammed Hussein Fadlallah, yang secara terang mengkritik al-Qaeda dan mengecam 11 September sebagai serangan bunuh diri, mereka juga menyokong penggunaan "bom manusia" dalam konteks Palestin.

Jangan bunuh diri sendiri

Namun, ada pengecualian. (Iaitu) Sheikh Muhammad Afifi al-Akiti, seorang pakar undang-undang yang mengajar teologi di Universiti Oxford dan telah menuntut di madrasah tradisional Islam di Selatan Asia dan Utara Afrika.

Fatwa beliau, "Defending the Transgressed", diterbitkan di talian di laman LivingIslam.org, ketika pengeboman London Julai 2005, merupakan satu kritik terlengkap kepada keganasan, khususnya bidaah pengeboman berani mati. 

Fatwa ini dengan jelas mengatakan bahawa semua serangan bunuh diri itu tiada alasan moral dan secara teologinya tidak mampan. Beliau memetik tiga (3) sanggahan secara spesifik.

Pertama, sasaran kepada serangan. Kata al-Akiti, "Begini, seringkasnya tidak ada asas perundangan yang sah dalam sejarah... Islam untuk taktik menyerang orang awam dan mensasarkan selain tentera."

Beliau melangkaui ulama seperti al-Qaradawi dan Fadlallah - menurut fatwa beliau, tidak ada asas dalam teologi Islam atau undang-undang untuk menyerang askar yang tidak bertugas, atau askar wanita yang tidak terlibat dalam peperangan secara terus, di Israel, Iraq atau di mana-mana sahaja.

Kedua, penguasa di belakang serangan. Pengeboman berani mati biasanya diarahkan oleh sosok bayang-bayang, yang tersorok di lokasi tertentu. Tetapi menurut al-Akiti, "samada seseorang itu suka atau tidak, keputusan dan hak untuk mengumumkan perang atau jihad untuk orang Islam tergantung sepenuhnya kepada pihak berkuasa yang diwakili hari ini oleh negara-negara orang Islam - bukan perseorangan, walaupun beliau seorang ulama atau askar." 

Orang yang seperti Osama bin Laden, yang dilatih sebagai jurutera, dan arwah Abu Musab al-Zarqawi, seorang ciciran sekolah tinggi, dengan jelas, mempunyai kurang kuasa teologi dan politik untuk mengisytiharkan jihad atau mengarahkan serangan.

Ketiga, kaedah serangan. Bunuh diri dilarang oleh Islam. Quran mengisytiharkan, tanpa ragu, "Jangan bunuh diri sendiri". Al-Akiti merujuk bunuh diri sebagai "dosa yang disumpah". Kuasa moral ini dan kecaman Islam ke atas pengebom berani mati tidak boleh diperkecilkan.

Al-Akiti mengatakan mereka yang masih menuntut bahawa serangan bunuh diri ini adalah tindakan korban diri, dan bukan bunuh diri, menuduh mereka "memungkiri ijmak ulama.... [kerana] untuk membahaya nyawa seseorang adalah satu perkara lain dan membunuh diri dalam serangan ternyata satu perkara yang lain".

Al-Akiti ialah ulama yang mengutuk keganasan Islamis, dengan kepetahan, semangat dan kesedaran intelektual yang tiada tara. Beliau tidak mempunyai agenda politik atau mazhab, bertapak hanya 50 batu daripada London dan fasih berbahasa Inggeris.

Persoalannya, di mana temuduga BBC dengan beliau? Atau akhbar nasional? Kenapa fatwa beliau tidak pernah diterbitkan di mana-mana akhbar nasional sejak 4 tahun lalu?

Seorang rakyat Malaysia yang rendah diri dan berbudi bicara, beliau mengatakan kepada saya beliau memilih hidup akademik yang tenteram. Beliau tidak mencari-cari untuk menjadi tokoh awam. Walau bagaimanapun, fatwa beliau telah menjadi tersangat terkenal, terutamanya di kalangan pemuda Muslim di Britain.

Beberapa bekas ahli kumpulan pelampau al-Muhajirun telah menghubungi al-Akiti, menghargai beliau atas usaha membekalkan mereka dengan pelindung teologi untuk menolak gerakan radikal. 

Fatwa beliau adalah satu tindakan yang perlu dan padu, menuju ke arah yang betul. Apabila bercakap tentang pengeboman berani mati, tidak ada ruang untuk jika, tapi atau mungkin.


*Tulisan ini adalah terjemahan Muhammad Yasir bin Tamizi pada tulisan Mehdi Hasan, Suicide Attacks are un-Islamic dalam laman Newstatesman. Beliau adalah wartawan politik Britain, pembentang di Al-Jazeera English, untuk program Cafe, Head to Head dan Upfront. Beliau juga terkenal dengan debat Oxford Union berkenaan Islam adalah Agama Kedamaian.

No comments: