Tuesday, June 13, 2017

Bagi Mereka Yang Berfikir

Commentator of the Quran

Liqaumiy yatafakkarun [ i ]


Kebebasan berfikir, asas masyarakat yang bebas kata SUA Abim Pusat dalam Forum Asas Islam dalam Masyarakat Yang Bebas.

Aku tertawan.

Seperti melihat anak panah Merida yang dilepaskan lalu membelah anak panah lain yang tepat melekat di tengah sasaran.

Tidak ada yang tidak setuju, melainkan betul-betul setuju sebetulnya.

Tapi apa masalahnya hari ini, adakah masyarakat tidak bebas berfikir?

Pada aku, masyarakat itu memang berfikir, tapi kebebasannya berfikir seluas-luasnya itu ditakutkan dalam 2 perkara.

Ketakutan fizikal dan budaya.

-----------------------------------------

Liqaumiy yatafakkarun [ ii ]


Ketakutan fizikal ini berupa ancaman kepada kerjaya, pendapatan, sarahidup, kebebasan bergerak, yang pernah atau telah menimpa mereka yang sebelum ini telah melaksanakan kebebasan berpandangan selepas kebebasan berfikir. 

Ini menjadikan masyarakat yang bebas berfikir, tidak berani lagi meluahkan buah fikiran, lantas membantutkan wacana dalam masyarakat dan akhirnya menghentikan percambahan dan cetusan pemikiran yang baru.

Ketakutan yang kedua pula adalah ketakutan budaya yang meresap dalam masyarakat dalam bentuk hasutan halus yang merencatkan daya teroka pemikiran masyarakat.

Daya yang semulajadi ini biasanya direncatkan dengan kata-kata seperti, "Banyak tanya macam Yahudi" dan "Banyak fikir nanti sesat" yang berterusan sehingga menyebabkan masyarakat menjadi takut dengan fikiran sendiri dan akal yang diamanahkan walaupun menyedari akal itulah ciri yang betul-betul membezakan manusia dengan pohon dan haiwan.

Antara kedua-dua ketakutan ini, biasanya pemimpin politik dan masyarakat lebih gemar memilih rempuhan kepada ketakutan fizikal dalam perjuangan mereka.

Aku pula memilih dalam masa ini untuk melihat bagaimana boleh kita mendepani ketakutan dalam bentuk budaya ini?

--------------------------------------------

Liqaumiy yatafakkarun [ iii - akhir ]


Hasutan yang ditanam dalam masyarakat supaya takut menggunakan akal menyebabkan masyarakat bersangka buruk dengan akal sehingga tidak berani lagi bebas berfikir.

Sehinggakan tidak lagi cekap menggunakan alat terhebat yang diamanahkan kepada manusia ini.

Oleh sebab itu, aku berasakan, masyarakat harus didedahkan semula dengan kaedah berfikir dengan baik supaya;

masyarakat tahu menggunakan alat terhebat yang diamanahkan ini yakni akal, 

masyarakat cekap menggunakan akal dan 

sekaligus masyarakat yakin dengan kebijaksanaan akal sendiri.

Maka tidak terikatlah masyarakat kepada sesuatu dalam persoalan-persoalannya sendiri.

Aku sendiri bertanya-tanya di beberapa tempat, kaedah mana yang baik, lalu aku terjumpakan pelbagai kaedah yang tidaklah aku cekap semuanya, yang ia bermula dengan;

penaakulan mantik dalam mata pelajaran Matematik Moden semasa di sekolah menengah, 

kemudian ilmu logik dalam pengajian Bahasa Inggeris II semasa di universiti, 

kemudian kaedah Descartes yang terkenal dengan Satah Kartesan-nya,

kemudian tentang kaedah usul fiqh Imam Abu Hanifa,

dan kaedah tatabahasa, logik dan retorik (trivium) sebagai kaedah berfikir terbaik.

Apapun kaedahnya, jika masyarakat kita tahu lalu tekun melatih diri dalam mana-mana kaedah berfikir yang baik, aku membayangkan dan mengimpikan masyarakat yang akan datang;

akan menjadi lebih tidak terkongkong,

tidak terlalu bergantung lagi pemikirannya, 

lebih bebas dan segar cambahan ideanya, 

sehingga dunia habis perkataan untuk menggambarkan begitu majunya pemikiran masyarakat kita.

Bebas berfikir tidak melanggar naluri manusiawi. Menyekat berfikir itu yang melanggar naluri manusiawi. 

Ibrahim (A.S) bebas berfikir dalam pencarian Tuhan-nya. Quran sebut, "bagi mereka yang berfikir" (liqaumiy yatafakkarun).

Asas fikir itu tanya. Apa. Bagaimana. Mengapa.

No comments: