Saturday, April 08, 2017

Surat Tuan Ketua Seattle kepada Presiden di Washington 1854

Chief Seathl


Presiden yang berada di Washington itu menghantar kata-kata yang dia mahu membeli tanah kita. Tapi bagaimana kamu boleh jual atau beli langit ini? Tanah ini? Ide ini aneh pada kami. Sedang kami sendiri tidak memiliki kesegaran udara dan sinaran air ini, bagaimana kamu boleh membelinya?

Setiap inci tanah ini, suci bagi orang-orang saya. Setiap kilauan jarum pine, setiap butir pasir pantai, setiap kabus di belantara, setiap bunyi serangga. Semuanya suci di dalam ingatan dan pengalaman orang-orang saya.

Kami rasa setiap air yang melalui pokok-pokok sepertimana kami rasa darah yang mengalir melalui urat kami. Kami ini sebahagian daripada bumi, dan bumi ini sebahagian daripada kami. Haruman bunga-bunga adalah saudara perempuan kami. Beruang, rusa, helang, semua ini saudara lelaki kami. Semuanya merujuk kepada keluarga yang sama.

Kilauan air yang mengalir di sungai bukan sekadar air, tetapi darah nenek moyang kami. Jika kami jual tanah kami kepada kamu, kamu mesti ingat bahawa ianya suci. Setiap biasan pada air tasik yang jernih menceritakan acara dan ingatan tentang kehidupan orang-orang saya. Bisikan airnya adalah suara ayah kepada ayah kami.

Sungai-sungai ini, saudara kami. Mereka hilangkan dahaga kami. Mereka bawa kanu kami dan beri makan kepada anak-anak kami. Maka, kamu mesti buat baik kepada sungai ini, sepertimana kamu buat baik kepada saudara kamu.

Kalau kami jual tanah kami kepada kamu, ingatlah yang udara ini berharga buat kami, yang ianya berkongsi ruhnya dengan semua hidupan yang bergantung kepadanya. Udara ini yang memberikan nafas pertama kepada datuk kami, juga yang menerima nafas terakhir datuk kami. Udara ini juga yang memberikan anak-anak kami semangat hidup. Jadi, jika kami jual tanah kami kepada kamu, kamu mesti jaga dan sucikan ia, seperti tempat untuk manusia menikmati udara yang diwangikan oleh padang-padang bunga.

Adakah kamu akan mengajar anak kamu seperti kami mengajar anak kami? Bahawa bumi ini ibunya? Apa yang terjadi pada bumi, terjadi pada semua anak-anak bumi ini.

Kami tahu bahawa alam bukan dimiliki oleh manusia, manusia yang dimiliki oleh alam. Semua benda berhubungan, seperti darah yang menyatukan kita semua. Manusia tidak menyulam sarang hidupnya, dia hanya terperangkap di dalamnya. Apa yang dia lakukan kepada sarang itu, dia lakukan kepada dirinya sendiri.

Satu perkara yang kami tahu: Tuhan kami juga adalah Tuhan kamu. Alam ini berharga buat dia dan merosakkan alam ini, tidak akan diredhai penciptanya. 

Tujuan kamu adalah misteri buat kami. Apa yang akan terjadi apabila kerbau disembelih? Kudaliar dijinakkan? Apa akan jadi pada sudut sunyi di belantara yang sarat dengan bau-bauan lelaki dan pemandangan bukit-bukau yang disemakkan dengan wayar-wayar percakapan? Di mana perginya semak samun? Hilang! Mana perginya helang? Hilang! Dan apa jadi kepada kepantasan kuda padi yang kemudiannya diburu? Penghabisan kehidupan dan permulaan kelangsungan hidup!

Bila lelaki Merah terakhir terhapus daripada kebuasan ini, ingatan beliau hanya sekadar bayangan awan yang melintasi ladang, akankah pantai dan rimba ini masih di sini? Akankah ada lagi semangat orang-orang saya yang berbaki?

Kami sayang tanah ini seperti seorang bayi menyayangi degup jantung ibunya. Jadi, kalau kami jual kepada kamu tanah kami, sayangi ia seperti kami sayangi ia. Jaga dia, seperti kami menjaga dia. Pegang kemas ingatan tentang tanah ini seperti waktu kamu menerimanya. Pelihara tanah ini untuk semua anak-anak dan sayangi dia, seperti Tuhan sayangi kami.

Kami adalah sebahagian daripada tanah ini, begitu juga kamu. Tanah ini berharga buat kami. Ia juga berharga buat kamu.

Satu perkara yang kami tahu - Tuhan itu Esa. Tidak ada orang, merah atau putih, yang boleh dipisahkan. Kita semua bersaudara.


*Tulisan ini adalah terjemahan Muhammad Yasir bin Tamizi pada Surat Ketua Orang Asli Amerika tahun 1854, Ketua Seattle kepada Presiden Amerika Syarikat, di laman California Satte University Northridge. Surat ini dipetik sebahagiannya oleh Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas ketika menerangkan tentang Masyarakat Madani pada tahun 1996.

No comments: