Sunday, April 30, 2017

Rumusan tentang buku Cabaran Afrika tulisan Maathai

Cabaran Afrika


Dalam buku The Challenge For Africa(Cabaran Afrika), Wangari Maathai menawarkan gambaran yang bertenaga dan cukup menarik tentang permasalahan yang dihadapi Afrika, juga janji-janji di masa hadapan.

Dugaan yang dihadapi Afrika boleh dipertimbangkan dari isu Darfur hingga ke HIV/AIDS, hutang tak tertanggung, penipuan pilihanraya, konflik antara sempadan dan kemerosotan alam sekitar. 

Namun, Afrika selalu dipotretkan oleh media dengan kefakiran, keterpinggiran dan keterdesakan, yang selalunya mengabaikan kerumitan isu-isu tadi. 

Dalam buku ini, Maathai mengkaji sekatan dalam pembangunan, yang mana termasuk soal ketiadaan suasana yang aman dan selamat, kekurangan pembangunan teknologi, kelompongan perdagangan antarabangsa yang adil, desakan kependudukan dan kelaparan, pendiaman bahasa-bahasa tempatan dan pengkasian budaya tradisional, juga kemangkatan kepimpinan politik dan ekonomi yang murni.

Maathai menekankan perlunya Afrika mencipta dan melaksanakan penyelesaian sendiri, daripada bergantung kepada bantuan asing dan wawasan Barat untuk membuat perubahan, dan menyeru kepada revolusi kepimpinan pada peringkat politik dan perseorangan. 

Sepertimana yang beliau coretkan, "Afrika sudah terlalu lama tunduk... Di peringkat atas dan bawah, semua orang Afrika mesti kembali percaya kepada diri mereka sendiri, yang mereka mampu untuk berjalan di atas laluan mereka sendiri dan menempa jatidiri sendiri, bahawa mereka berhak untuk ditadbir dengan adil, telus dan bertanggungjawab, bahawa mereka boleh mengamalkan budaya dengan bangga dan menjadikannya sesuai dan bermakna dalam keperluan dunia hari ini, dan bahawa mereka tidak perlu lagi terhutang budi-secara kewangan, keilmuan dan kerohanian-kepada pihak yang mentadbir mereka. Mereka mesti bangkit dan bergerak."



*Tulisan ini adalah terjemahan Muhammad Yasir bin Tamizi pada rumusan untuk buku The Challenge of Africa karangan Wangari Maathai. Shamsul Iskandar berkongsi isi penting buku ini, semasa Bedah Buku Membangun Bangsa, yang menggariskan 3 perkara utama untuk sesebuah bangsa/negara khususnya Afrika untuk maju adalah ruang demokrasi, kebertanggungjawaban Kerajaan dan budaya keamanan.

No comments: