Sunday, April 02, 2017

Hari Raya, jalan kembali ke fitrah diri

Kampung Malim Nawar, Perak Darul Ridzuan

Hari Raya Aidilfitri adalah perayaan yang melambangkan kembalinya diri manusia kepada fitrah dirinya.

Quran menjelaskan bahawa Tuhan telah menciptakan manusia sebagai makhluk yang paling sempurna, sepertimana dalam Surat at-Tin ayat 4 yang bermaksud "Kami telah ciptakan manusia dalam bentuk yang terbaik."

Selain daripada jasad, manusia juga diamanahkan dengan ruh yang telah ditiupkan oleh Tuhan, seperti yang diterangkan dalam Surat Sad ayat 72, "Apabila Aku gayakan dan tiupkan kepada dia ruh-Ku, tunduklah kamu dengan sujud kepada dia." Dan, manusia juga turut diamanahkan dengan akal, satu elemen yang membezakan manusia dengan makhluk yang lain.

Maka ruh dan akal, yang berasal daripada sumber yang lebih tinggi daripada jasad-yang dicipta daripada tanah, mempunyai kedudukan yang lebih tinggi dalam mengawal kehendak(nafsu) manusia dan melindunginya daripada godaan luar(selain dirinya).

Berlawanan dengan ruh dan akal adalah kehendak ataupun nafsu, yang berasal daripada fitrah kehaiwanan yang ada pada jasad manusia, akan selalu mengheret manusia ke kedudukan yang rendah, lalu mengurangkan mutu kewarasan dan kerohanian diri.

Menurut Imam al-Ghazali, penyumbang utama kepada meningkatnya nafsu manusia ini adalah keasyikan yang berlebihan kepada makanan dan hal keintiman(syahwat). Puasa, dengan menahan diri daripada makan, minum dan hubungan intim di siang hari yang diwajibkan pada bulan Ramadan, adalah salah satu daripada latihan yang penting untuk menahan diri daripada kehendak yang berlebihan ini.

Walaupun begitu, kedua-dua bentuk kehendak ini tidaklah ditolak secara total, kerana ianya menyumbang kepada pembangunan kehidupan manusia, tetapi keasyikan yang berlebihan terhadapnya membawa kepada kemudaratan yang lebih.

Kehendak makan minum dan hal keintiman ini hendaklah dikawal dan disalurkan dengan cara yang sebaiknya, di mana makan minum dikawal dengan latihan berpuasa, manakala syahwat disalurkan melalui institusi perkahwinan.

Dengan mentadbir nafsu dengan jayanya, ruh dan akal manusia dapat berfungsi sebaiknya sebagai Raja kepada jasad jasmani. Hasilnya, keharmonian dalam Kerajaan diri manusia itu dapat dijelmakan. Tetapi jika Raja itu sudah hanyut dengan nafsu, maka akan terjadilah kacau-bilau dalam Kerajaan-Diri.

Kejayaan dalam mengawal nafsu ini akan memimpin ruh ke kedudukan yang lebih tinggi, yang mana kedudukan ruh yang tertinggi adalah apabila ruh-diri berada dalam keadaan tenang(jiwa tenang) dan bersedia untuk bertemu Penciptanya dengan disambut oleh-Nya.

Sambutan ketuhanan ini dijelaskan di dalam Quran dalam Surat al-Fajr ayat 27-30, yang bermaksud, "Wahai jiwa yang tenang, baliklah engkau ke Tuhanmu dengan disambut dan sambutan yang baik atas Dia. Masuklah, di kalangan hamba Ku. Ya, masuklah ke Syurga-Ku."

Tahap ruh yang lebih rendah selalu dalam kepayahan dan perjuangan, di mana kadang kala dia dapat mengawal kehendaknya, di masa lain, dia menuruti kehendaknya. Keadaan ini dinamakan sebagai ruh yang menghina diri(nafs al-ammarah). Quran menjelaskan keadaan ini dalam Surat al-Qiyamah ayat 2, ruh pertengahan yang terumbang-ambing antara salah dan betul.

Tahap ruh yang paling rendah adalah yang cenderung kepada syaitan sebagaimana yang dipetik dari ayat Quran dalam Surat Yusuf, ayat 53.

Keseluruhan perjalanan dalam mengawal kehendak ini, akan menuju kepada perangai yang baik, sejajar dengan matlamat akhir agama yang disampaikan oleh Nabi Muhammad iaitu menyempurnakan akhlak yang mulia.

Keadaan ruh ini adalah amat penting dalam menentukan perangai(watak) manusia. Mendisiplinkan ruh adalah satu daripada syarat penting dalam Islam untuk pembinaan perangai yang baik. Keseluruhan perjalanan dalam mendisiplinkan ruh ini dihurai dengan lebih luas dalam satu disiplin ilmu yang dipanggil tasawwuf.

Berdasarkan Quran, satu lagi ciri penting pada ruh adalah penyaksian dan penyerahan kepada Tuhan yang berlaku sebelum dilahirkan ke dunia ini. Diceritakan, Tuhan telah mengumpulkan semua anak cucu Adam dan bertanya tentang penyaksian mereka tentang Ketuhanan-Nya, dalam Surat al-A'raf ayat 172, yang mana mereka semua telah berserah dan bersaksi akan Tuhan.

Ayat Quran inilah yang menunjukkan sebenarnya manusia telah pun berada dalam keadaan penyerahan kepada Tuhan apabila dia lahir ke dunia ini dalam keadaan fitrah(asal-berperangai baik).

Sebilangan pentafsir Quran menghuraikan sebab mengapa manusia berada dalam keadaan fitrah, dan menyerah diri kepada Tuhan dengan baik ketika mereka bersaksi tentang Ketuhanan Tuhan itu adalah kerana, mereka belum lagi bergabung dengan jasad, yang mana merupakan sumber kehendaknya. Hanya apabila mereka dibawa ke dunia ini dan berhadapan dengan sifat jasad(haiwani) mereka sendiri,  mereka lupa akan penyaksian yang telah dibuat dengan Tuhan sebelum ini.

Maka, bolehlah ianya ditafsirkan bahawa ketika bulan Ramadan, apa yang orang Islam lalui dengan berpuasa adalah satu kerja buat untuk mengembalikan diri mereka, kepada keadaan asal manusia, yakni ruh, yang bebas daripada kehendak(nafsu), sepertimana keadaan mereka ketika membuat penyaksian dengan Tuhan.

Maka, apabila Ramadan dan seterusnya Hari Raya Aidilfitri semakin hampir, seorang Muslim yang telah menyelesaikan kerja menahan diri daripada kehendaknya, telah berjaya lulus dalam peperiksaannya dan bersedia untuk meneruskan perjuangan dalam bulan-bulan seterusnya dengan ruh yang lebih kuat dan lebih hampir dengan fitrah diri.

Maka, inilah sebabnya Hari Raya Aidilfitri itu harus diraikan dengan girang.

*Tulisan ini adalah hasil terjemahan Muhammad Yasir Tamizi pada tulisan Dr. Mohd Farid Mohd Shahran, Pengarah Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik di Institut Kefahaman Islam Malaysia, IKIM, yang bertajuk "Aidilfitri, a return to true nature of man" di laman TheStar bertarikh 5 Julai 2016.

*Muhammad Yasir Tamizi adalah seorang puer interpres yang baru berjinak-jinak untuk menterjemah tulisan-tulisan bahasa Inggeris kegemarannya. Beliau baru lagi percaya yang terjemahan adalah kunci permulaan tamadun. Interpres, key ad civilization.


No comments: