Assalamualaikum teman-teman sekalian,
Ini cuma pemahaman peribadi saya tentang Hari Raya.
Raya. Apa maksud raya? Maksud raya ialah besar, agung. Kalau dalam Batu Bersurat di Terengganu itu, ada perkataan Dewata Mulia Raya. Apa maksudnya? Maksudnya ialah Tuhan Yang Maha Mulia.
Berbalik kepada cerita perayaan Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya maksudnya hari yang besar, hari kebesaran. Hari Raya juga disebut sebagai hari kemenangan bagi umat Islam selepas sebulan berpuasa bertempur menjinakkan nafsu yang liar. Maka, sebagai orang Islam, kita punya cara tersendiri untuk menyambut kemenangan. Bagaimana? Caranya kita bertakbir. Allahuakbar. Mengapa Allahuakbar? Maksud Allahuakbar itu ialah Allah Maha Besar. Mengapa kita sambut dengan bertakbir Allahuakbar? Mengapa tidak kita sebut Ana Akbar? Bukankah ana yang menang melawan nafsu? Logiknya, ana yang akbar, bukan begitu? Tak sama sekali. Walaupun ianya hari kemenangan kita, tapi menginsafi tentang kerdilnya diri kita, apa daya kita untuk mendabik dada dengan segala amalan yang kononnya kita usahakan atas kederat sendiri, kita tiada daya sebenarnya, tak ada daya. Allah Maha Besar, Allah yang berikan kita kekuatan dan hidayah untuk melakukan segala ibadat dengan sabar. Segala puji bagi Allah, Allahuakbar.
Suka diingatkan tentang persepsi masyarakat kita, hari raya adalah perayaan keagamaan dan bukan perayaan bangsa. Maka menyambutnya, tak boleh tidak, mesti selari dengan tuntutan agama. Molek diamalkan perkara-perkara sunat Hari Raya, yang sudah sebati dalam kebudayaan kita. Contoh, solat sunat Aidilfitri, mandi sunat Aidilfitri, makan sebelum bersolat sunat Aidilfitri dan mengenakan pakaian yang terbaik, bersih dan cantik mengikut panduan syariat. Ribu kali kita bicara soal aurat, namun pengisian dalaman harus selari. Saya bicara aurat ya, keseluruhannya, bukan sekadar tudung. Pengisian kerohanian yang telah dipupuk sepanjang sebulan(walaupun difahami atas kesibukan kita mungkin terlepas beberapa peluang), seharusnya mendatangkan kesan terbaik kepada jiwa kita. Penyakit jiwa seperti hasad, riak, ujub, syirik kecil, zalim, khianat, harapnya terhakis dan timbul jiwa yang baik dan bersih, ihsan, adil, dan kasih sesama manusia. Seperkara lagi, walaupun ziarah kubur itu bukan sunat khusus Hari Raya, namun ia adalah perkara yang baik diamalkan bukan atas tujuan bersedih-sedih tetapi mengingatkan kepada kematian. Malah maksud hadis Rasulullah SAW, orang yang bijaksana adalah orang yang ingat mati. Kerana dengan mengingati mati, timbul rasa insaf kepada Allah, sekaligus mendidik jiwa menjadi insan bertakwa. InsyaAllah.
Dengan izin Allah, kita terus berdoa, agar momentum ibadat kita berterusan dan pemahaman kita tentang hidup berTuhan semakin meningkat lalu menyedarkan hakikat kita hidup sebagai hamba Allah SWT.
Salah kita dengan Allah, kita bertaubat. Salah kita sesama manusia, kita wajib pohon maaf. Dengan itu, saya serendah hati, membuang ego yang membukit, ingin saya pohon kepada teman-teman, kalian pembaca, bila mana sepanjang perkenalan kita di sini mahupun di alam nyata, ada kata-kata saya dan perbuatan saya yang menyinggung, itu semua atas kelemahan diri saya dan saya memohon maaf.
Selamat Hari Raya Aidilfitri. Semoga sepanjang tahun ini, kita berada dalam kebaikan-bikhair & diterima amalan. Allahuakbar.
Ikhlas,
YASIR TAMIZI
