Saturday, April 09, 2011

Simbol Kesalahan Jalan Raya Yang Manakah Ini?

Salam,

Saya baru 9 tahun menjadi pemandu kenderaan, 8 tahun sebenarnya untuk lebih tepat sebagai pemandu kenderaan yang telah dan sedang melalui sistem jalanraya negara kita. Hari Rabu yang lalu, waktu tugas rasmi di luar di Port Dickson, sedang saya nikmati sarapan pagi di restoran berdekatan Masjid Jamek Port Dickson, saya temui simbol jalanraya yang tidak saya ketahui apa maksudnya?

Mohon teman-teman selidik dan tenung, dan beritahu apakah maksudnya simbol ini? Apakah peraturan yang berkait dengan simbol ini? Kepada yang masih cekap lagi sistem KEJARA(Kesalahan Jalanraya) pasti ada jawapannya, barangkali.

Bahaskan. Terima kaseh.

Friday, April 08, 2011

Duit Bukan Satu-Satu Cara Bersedekah


Salam,

Khutbah Jumaat di Balai Islam TNB Bangsar hari ini adalah berkenaan sedekah. Sedekah dalam teks tersebut merujuk kepada sedekah yang berbentuk wang, duit dan harta kerana dihimpunkan sekali dengan perihal zakat.

Bercakap soal sedekah, mesti terbayang syiling dan duit kertas sahaja, bukan begitu? Itu satu tanggapan yang kolot tentang sedekah. Hakikat sedekah ialah segala perbuatan yang baik itu adalah sedekah dan kata-kata yang baik itu sedekah. Kalimatun toyyibatun sadaqah.

Lagu Senyum nyanyian Malique dan Najwa itu adalah contoh galakan bersedekah yang paling senang. Senyum :) Tak perlu kata apa-apa. Senyum dan ngeghonyin, haha.


Harimau Malaya

Salam,

Sebanyak 490 ekor Harimau Malaya yang hidup di Malaysia dan rakyat Malaysia adalah seramai 27,000,000 orang, nisbahnya seekor Harimau Malaya bersamaan dengan 5510 orang rakyat Malaysia. Mana saya dapat info tentang harimau ini? Dengan merelakan diri untuk beri peluang kepada petugas-petugas WWF beri penerangan, saya dapat info tentang Harimau Malaya, Harimau Sumatra dan jenis-jenis harimau comel yang lain di dunia.

Terpaut dengan penerangan petugas WWF yang berada di depan Maybank Wangsa Maju, saya dihidangkan dengan pelbagai tawaran menarik. Langganan majalah percuma setiap 3 bulan sekali dan peluang untuk menyertai kegiatan alam sekitar antara tawaran yang disajikan. Ketiga-tiga petugas WWF mengerumuni saya semasa sesi penerangan berlangsung santai. Namun, segala penerangan dan tawaran ini tiada lain objektifnya melainkan, memberi sedikit sumbangan ikhlas berkala, RM58 setiap bulan atau RM38 setiap bulan, dan saya terus disarankan untuk memberi sumbangan ikhlas berkala RM58 setiap bulan sambil dipujuk dengan kata-kata "Abang, jangan risau." "Adik, Abang risau, hehe."

Pertemuan dengan petugas WWF ini mengingatkan saya sekali lagi kepada tazkirah Tuan Guru Nik Aziz tentang pokok melalui filpen The Tree. Memelihara dan memulihara alam sekitar adalah sedekah. Menanam pokok itu sedekah dan segala manfaat daripada pokok itu, setiap satunya dikira sebagai sedekah. Oksigen dikira sedekah, buah-buahan yang dimakan dikira sedekah, berteduh bawah bayang-bayangnya pun sedekah dan sedekah itu pahala. Amal soleh atau perbuatan baik ini semuanya dikira sedekah dan bila sedekah maka pahala. Ini adalah satu bentuk galakan yang Allah SWT beri kepada kita untuk jaga alam sekitar dan berbuat baik kepada semua.

Membuang sampah daripada jalan adalah salah satu cabang iman. Islam & Alam Sekitar.