Berikutan isu pemeriksaan pihak JAIS ke atas sebuah gereja baru-baru ini, banyak pihak yang tampil menyatakan pendirian. Kenyataan rasmi daripada PAS selaku parti Islam semestinya dinanti-nantikan oleh semua pihak. Sebarang keputusan PAS akan menggambarkan bagaimana PAS menangani isu ini apabila berada di pihak pemerintah Persekutuan kelak. Maka keputusan PAS harus bijak dan adil dalam mengendalikan isu ini. Setakat hari ini, dikhabarkan PAS akan bertemu dengan pihak JAIS dan gereja bagi mendapatkan input terus daripada pihak yang terlibat dalam isu ini.
Tindakan PAS ini nampaknya tidak disokong oleh pihak tertentu kerana dikatakan terlalu lembut. Ini isu murtad, harus keras, mungkin itu faham mereka. Disebabkan kelembutan PAS menangani isu ini, ada 2 pihak yang tampil mahu menggantikan PAS dalam memperjuangkan Islam, siapa? Sebuah NGO yang dinamakan PERKASA dan Saudara Khir Toyo bekas Menteri Besar Selangor UMNO. Satu pihak menganut fahaman pelampau perkauman Melayu dan seorang lagi sedang terpalit kes banglo yang dikatakan bernilai RM 24 juta. Mahukah kita, Islam diperjuangkan oleh 2 pihak ini?
Sepahaman saya, PAS tidak ketagih label pejuang Islam, tetapi PAS adalah sebuah parti politik yang mahukan terwujudnya masyarakat yang hidup dengan nilai-nilai Islam dan mendapat keredhaan Allah Taala. Dan PAS membawa agenda Islam dalam pentadbiran melalui proses demokrasi, bukan dengan cara agresif yang ganas. Sebab itu, dalam pada hati umat Islam meluap-luap marah dengan isu cubaan murtad ke atas 12 orang Muslim di dalam gereja, PAS menangani isu ini dengan mendapatkan input sebenar daripada pihak-pihak yang terlibat bukan dengan membakar api permusuhan yang menggalakkan lagi kebencian sesama masyarakat. Cara YB Khalid Samad PAS berhadapan dengan isu ini boleh diteladani. Walaupun diakui, serangan aqidah lebih berbahaya daripada serangan fizikal, namun itu tidak menghalalkan serangan fizikal yang agresif dalam menangani serangan aqidah ini.
Seperti yang kita maklum, Nabi Muhammad SAW melarang sama sekali kita menceroboh rumah ibadat agama lain. Kisah Saidina Umar RA yang menolak tawaran Paderi di Jerusalem untuk bersolat di gereja sebagai menghormati gereja dan bimbang umat Islam akan menjadikannya sebagai Masjid, mestilah diteladani. Dalam pada masa yang sama kita harus sedar, baru-baru ini, YAB Perdana Menteri ada mengadakan pertemuan dengan Pope Benedict manakala Duli Yang Maha Mulia Yang diPertuan Agong ada menghadiri perkahwinan Putera William di Gereja Saint Peter dan hal ini tidak langsung menjadi isu bagi masyarakat kita malah menjadi tatapan umum di akhbar perdana. Amatlah tidak adil sekali jika kita mengambil pendirian berbeza dalam hal ini dan isu keberadaan Muslim di gereja ini.
Namun, sekiranya dakwaan JAIS itu benar, terdapatnya usaha memurtadkan Muslim di gereja tersebut, maka hal ini mestilah dipandang serius kerana ia boleh mendatangkan kesan yang besar dalam keharmonian masyarakat kita. Dari segi perlembagaan, perkara 11(4) dengan terang melarang pengembangan agama lain kepada masyarakat Islam di negara kita. Dalam pada masa yang sama, program-program keagamaan dan pengutuhan aqidah harus terus kita pesatkan di rumah kita, surau, madrasah, masjid, sekolah mahupun di ruang kerja atau pejabat kita. Program pemantapan aqidah dan akhlak mulia anjuran pertubuhan swadaya atau persendirian harus dilipat ganda dan diberi perhatian serius dari segi dana dan liputan media. Provokasi agresif yang ganas bukanlah cara Islam dalam menangani isu ini. Semoga Allah memelihara aqidah kita dan tidak membolak-balikkan hati kita daripada hidayahNya.
0 comments:
Post a Comment