
Mual dengan warna kuning BERSIH 2.0. Di mana sahaja laman web yang saya singgah pasti ada warna kuning BERSIH 2.0. Dari laman sosial Facebook hingga Twitter sampai ke akhbar-akhbar talian, semuanya ada unsur BERSIH 2.0, kalau pun tidak warnanya, perkataannya ada sahaja di mana-mana, berdenyut-denyut. BERSIH 2.0 sudah jadi wabak di internet yang makin menerobos mata-mata yang melihatnya, media perdana di petitivi dan radio pun terjebak. Kata-kata seperti Yellow Is The New Black tidak mampu mengubat wabak ini, malah hanya mengapi-apikan kadar sebarannya.
BERSIH 2.0, satu gerakan rakyat biasa yang menuntut pilihanraya yang adil dan bersih, dijangka akan berlangsung pada 9 Julai 2011, tetapi belum pun perhimpunan ini berlangsung, sudah banyak himpunan-himpunan kecil dianjurkan bagi membantah perhimpunan 1,000,000 rakyat bersama BERSIH 2.0. Walaupun ada di antara himpunan ini memainkan elemen provokasi, namun rata-rata himpunan ini adalah aman dan hanya dipenuhi dengan laungan dan teriakan bersemangat.
Saya sedikit pening melihat pemuda berpeleseran di tepi jalan seperti bangkai bernyawa, mengemis perhatian masyarakat dengan tema warna yang berbeza-beza. BERSIH 2.0 tampil dengan warna Kuning manakala penentangnya dengan imej Merah. Namun, tahukah kita, ini adalah satu kebebasan yang telah termaktub di dalam Perlembagaan di mana hak berhimpun adalah hak yang dijamin Perlembagaan. Walaupun ada antara kita yang membenci terbitnya sebarang perhimpunan dan menganggap perhimpunan bukan penyelesaian, hakikatnya Perlembagaan di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan telah menjamin kebebasan bersuara, berhimpun dan menubuhkan persatuan secara aman.
Seperti amalan di negara pengamal demokrasi yang lain, para peserta mana-mana perhimpunan haruslah menjaga adab-adab berhimpun seperti yang telah digariskan oleh agamawan baru-baru ini yakni tidak merosakkan harta benda awam dan tidak bertempur dengan pihak Polis. Manakala peranan pihak Polis yang adil amatlah dituntut dalam memudahkan perjalanan perhimpunan aman tersebut. Saya dikhabarkan oleh teman yang baru pulang dari Sepanyol atas urusan tugas, ketika Abuzar dan Hazali berada di Barcelona, pihak berkuasa tempatan menyediakan kawasan khusus untuk perhimpunan aman dijalankan di sana. Manakala di negara Turki yang telah melalui fasa kempen pilihanraya baru-baru ini, saya difahamkan anggota parti-parti politik diizinkan berhimpun dan berarak dengan aman di jalanraya sambil pihak Polis mengawalselia perjalanan aliran lalulintas supaya pengguna jalanraya dan pihak yang berhimpun dapat bergerak dengan lancar.
Bagaimana dengan rusuhan BERSIH 2.0 dan penentangnya dari Patriot dan Perkasa? Saya fikir rusuhan ini tidak mungkin akan terjadi bilamana agenda murni kedua-dua pihak dizahirkan di jalanraya dalam acuan akhlak, moral dan adab yang tinggi sepertimana sejarah telah membuktikan bahawa puluhan ribu rakyat Malaya pernah berdemonstrasi dengan aman di jalanraya pada tahun 1946, dalam usaha menentang dasar Malayan Union yang tidak adil. Peristiwa besar itu disebut sebagai Penentangan Malayan Union 1946.
0 comments:
Post a Comment