Sunday, September 26, 2010

Keris, Parang & Golok Melayu


Salam,

Tempoh hari melihat-lihat gerai menjual Keris, Parang dan Golok. Bentuk alatan tajam ini mirip yang ada di Kuala Kangsar, jadi saya bertanya ke Pakcik Gerai, "Pakcik, ini dari Lembah?" katanya yang ini dari Kampung Gajah. Macam pernah didengar nama Kampung ini, dan saya teruskan membelek Keris, Parang dan Golok itu tadi.

Satu persatu saya buka dari bekasnya, Keris biasalah ada bilangan lok-loknya. Yang buat saya lebih tertarik dengan Keris yang dijual Pakcik ini, Keris ini ada tulisan ayat suci Al-Quran pada bilahnya. Ada yang ditulis ayat Kursi dan ada yang ditulis ayat pertama Surah Al-Fatihah. Begitu jugak Parang dan Golok, ada yang kosong sahaja dan ada juga yang bertulisan ayat suci Al-Quran.

Jadi melihat saya minat membelek, pakcik bersuara, "Elok ada nak... ...tambah-tambah sekarang ni." Saya terfikir kenapa dengan sekarang? Belum ada perang lagi. Dan saya jawab, "Yang ini saya ada di rumah. Sini berapa?" RM195 katanya merujuk ke Pedang yang kosong saja bilahnya.

Saya tanyakan lagi, "Ada cara nak jaga Keris ni?" merujuk Keris yang ada ayat Quran, dan pakcik jawab, "Tak ada."

Saya berlalu pergi menuju kenderaan dan cari jalan pulang. Saya terlintas sendirian, ada eloknya yang kita masing-masing sedia dengan alatan ini, bukan untuk nak serang orang atau perangi sesiapa, tapi untuk pertahanan diri dan tebang pokok atau lalang. Kalau terdesak, ada benda nak dihunus. Senjata tradisional Melayu memang indah dan penuh seni ukir yang halus.

Cuma hairan, mengapa ada perseorangan yang sanggup meminta maaf kerana tindakan beliau mencium dan menghunus keris yang digelar Keris Panca Warisan, dikatakan rasis oleh pihak tertentu. Betapa tak berjatidirinya. Adakah satu hari nanti, memakai songkok pun dikira rasis? Saya fikir ini kebebasan budaya yang sepatutnya jelas di benak masing-masing. Keris adalah simbol pertahanan diri bukan simbol perkauman yang sempit. Adakah kalau saya menghunus Keris bermakna saya seolahnya menghasut teman-teman saya menikam kawan-kawan lain? Ini pemikiran sempit dan beku. Kita sepatutnya jauh lebih matang dari ini.

Setiap rakyat Malaysia wajar ada satu alatan ini, Keris, Parang, Pedang atau Golok Melayu. Ini seni ukir dan tempa besi masyarakat kita yang mungkin akan pupus. Janganlah sampai kita kena bayar 2 Ringgit pulak untuk tengok Keris, Parang, Pedang dan Golok Melayu di Muzium. Lucu dengarnya.


Salam,
YASIR TAMIZI AL-JAWI

Friday, September 24, 2010

Kampung Orang Perak di KNYR?

Tangga ke Bot dari Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud, Kenyir, Terengganu


Salam,

Perjalanan 15 minit dari Kuala Berang ke Empangan Kenyir(bukit-bukit yang telah ditenggelami air) akan melalui kawasan kampung yang tenang. Jalan-jalan ini biasanya dilengkapi dengan periuk-periuk api di sana sini, ada yang sudah selesai dilenyek, ada yang terpecah halus-halus. Periuk api ini peninggalan lembu-lembu di sekitarnya.

Dalam perjalanan ini, kita akan dapati ada banyak kampung di kiri dan kanan, selang tak berapa minit jumpa kampung yang baru. Mungkin disebabkan keinginan yang memuncak dari masyarakat setempat untuk menjawat jawatan Ketua Kampung, maka kampung pun banyak walaupun berdekatan.

Kampung yang menjadi tarikan ada 2, Kampung Tapah dan Kampung Bidur. Nama kampung-kampung ini menyerupai nama tempat di Perak, iaitu Tapah dan Bidor. Lalu setiap kali lalu, spekulasi demi spekulasi terjana. Antaranya, mungkin pekerja empangan dulu orang Tapah dan Bidor, bawak orang-orang kampungnya duduk sini, buka kampung baru. Itu yang banyak kampung tu, sudah lah banyak, nama pun kePerakkan.

Jadi tiap-tiap petang, teman dan kawan-kawan juga bos, selalu singgah minum petang di satu gerai goreng pisang. Goreng pisang sini unik, tak guna dapur gas, dia guna kayu api. Sambil makan, sambil dapat suasana asap kampung yang damai. Pekena goreng pisang 2 pinggan, milo suam, memang terangkat. Apa yang terangkat pun tak tahu. Nak dijadikan cerita, bila kita duduk sembang, sambil tu dengar-dengar perbualan Makcik-Pakcik kedai, ada bunyi Perak jugak. Kejap bunyi Perak, kejap bunyi Terengganu. Udah gabung-gabung bunyinya. Elok benor le, yang Perak tak cukup huruf G, yang Terengganu terlebih huruf G. Saling melengkapi lah jadinya. Omputeh kata, compliment each other. Hehe.

Mungkin ada kebenarannya spekulasi petang itu, tapi belum disahkan secara empirikal lagi. Haha.

Maka kepada yang hendak ke Kenyir, digalakkan untuk singgah ke Kedai Goreng Pisang Kayu Api Vanggey-Vanggey. Ini nama yang tercipta khusus untuk kedai ini walaupun Pakcik kedai tak pernah letak nama rasmi pada kedai kayunya itu. Kenapa ada Vanggey? Vanggey itu lambang ketagihan pada makanan tertentu. Misal kata, sangat gemar makan Cheesey Wedges, Cheesey Wedges akan digelar Vanggey-vanggey. Kena sebut 2 kali.

Adalah tidak boleh digelar Kenyir Veteran jika tidak pernah rasa Goreng Pisang Kayu Api. Kedai ini sudah lama berkhidmat ikhlas pada pengunjung. 26 tahun sudah umurnya. Dibuka sejak 1984 nampaknya. ESTABLISH SINCE 1984.


Goreng Pisang Kayu Api,
YASIR TAMIZI

Undang-undang Bunga Raya: Hudud di Malaysia

Salam,

Saya seorang Muslim berlatar pendidikan Kejuruteraan, berketurunan Melayu, etnis Kerinchi dan Kampar dari Sumatera. Begitulah yang dimaklumkan masa pulang berhari raya di kampung tempoh hari.


Sebagai seorang Muslim di Malaysia, hak beragama seperti solat, azan, puasa dan seterusnya, sentiasa dijamin untuk bebas diamalkan tanpa boleh dihalang oleh mana-mana undang-undang pun, kerana ini termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Perkara 11, Kebebasan Beragama. Hak beragama ini tidak hanya tertakluk kepada Muslim, malah seluruh rakyat Malaysia bebas mengamalkan agama masing-masing.


Saya seorang Muslim, Islam mengajar saya prinsip Keadilan Sosial, Kebajikan, Hak Wanita, Alam Sekitar, Hidup Berdampingan, Pendidikan dan Kesihatan. Sebagai Muslim, dalam mencapai Keadilan dari segi perundangan, saya percaya dengan undang-undang Islam dan adalah menjadi hak bagi saya seorang Muslim di Malaysia, seperti tuntutan wajib lain seperti puasa dan solat, untuk mengamalkan hak beragama saya seperti orang lain seperti yang tertakluk dalam Perkara 11, Kebebasan Beragama.


Hudud adalah kewajipan atas Muslim. Tak ada kewajipan atas orang bukan Muslim. Jika saya diberikan kuasa untuk laksanakan Hudud, saya akan pastikan kewajipan itu pada Muslim dan tidak ada kewajipan atas bukan Muslim. Apakah tuntutan Hudud ini ada dalam kitab-kitab bukan Muslim? Saya tidak tahu, tapi untuk Muslim ia WAJIB!


Sejarah Tanah Melayu jelas menunjukkan, Hudud telah digunapakai sejak zaman purba dalam undang-undang negara Orang-orang Melayu. Ratusan tahun Orang Melayu laksanakan Hudud. Hudud di zaman Kesultanan Melaka digelar Hukum Kanun Melaka. Hudud di Kesultanan Perak disebut sebagai Undang-undang 99. Kerajaan yang memerintah sejak Kesultanan Melayu Melaka telah melaksanakan Hudud dalam pentadbirannya, dan Hudud ini tidak asing lagi dalam masyarakat Melayu dan masyarakat bukan Melayu dalam pentadbiran Kesultanan Melayu Melaka ketika itu. Apa kita ingat Melayu sahajakah yang tinggal di Melaka ketika zaman Melaka menjadi pusat tumpuan pedagang, pelabuhan entrepot ketika itu? Cuma apabila penjajahan demi penjajahan, Hudud telah digasir sehingga menjadi asing bagi masyarakat kita sampai hanya dijadikan sebagai Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu dan peranannya menjadi tersisih.


Saya tidak akan menolak jika ada upaya untuk melaksanakan Undang-undang Islam dalam sistem perundangan Negeri atau Negara. Bahkan terus menggalakkan perdebatan rasional pelaksanaannya. Bukan sahaja Ekonomi harus progresif, undang-undang juga harus progresif. Undang-undang juga harus dipinda dan terus dipinda bersesuaian dengan peredaran zaman. Sudah tahun 2010, tapi mengapa masih menggunapakai akta dan undang-undang yang dipinda pada 1960an dan 70an? Undang-undang yang ketinggalan zaman mesti dipinda, jika tidak, perundangan kita akan jadi kolot, dan tak dapat menampung kecanggihan jenayah kini. Namun saya cukup terbuka untuk tidak menamakannya sebagai Enakmen Undang-undang Syariah atau Hudud misalnya, kerana yang penting isinya bukan kulitnya. Saya lebih gemar nama yang dekat dengan jatidiri kita sebagai seorang warga Malaysia. Cadangan saya:



1. Menggalakkan Pindaan undang-undang Negeri atau Negara yang progresif dengan penerapan undang-undang sepertimana yang telah terbukti berjaya dilaksanakan di zaman kegemilangan Kerajaan Melayu Lama.


2. Pelaksanaan undang-undang Islam misalnya, mestilah dianalisa perangkaan keberkesanannya setiap 1 tahun, 3 tahun dan 5 tahun, dan Proses Penambahbaikan itu berkekalan dan tidak beku.


3. Nama Undang-undang Islam tersebut tidaklah dinamakan sebagai Hudud atau Enakmen Syariah, tetapi menggunapakai nama-nama yang dekat dengan unsur Malaysia. Cth: Undang-undang Bunga Raya.


4. Yang terpenting, pelaksaannya ADIL mendasari prinsip Maqasid Syariah, yakni memelihara Deen dan menjamin keselamatan dan kesejahteraan harta, nyawa dan negara.



Ikhlas,

YASIR TAMIZI

Sunday, September 19, 2010

Kuala Berang



Salam,

Kuala Berang, sebuah Bandar yang terletak hampir 400km dari Gombak. Perjalanan dari Gombak ke Kuala Berang memakan masa 5 jam pergerakan matahari.

Perjalanan lebuhraya menyeronokkan hingga lalai tentang adanya mata-mata ghaib yang mengintip halaju pergerakan kenderaan. Selepas Maran, Akak sms beri ingatan tentang perangkap laju yang banyak di LPT. Pasrah dengan kelajuan sebelumnya, perjalanan kembali tenang mengikut peraturan jalanraya. 110-119km/j.

Ada 3 tol yang dilalui. Tol GBK. Tol Karak. Tol Jabor. RM5, RM3 dan RM21. Jumlahnya RM29. Minyak? ~RM70.

Cuma jalan lama dari Jabor ke Kuala Berang agak membosankan, sebenarnya lebih mengantukkan. Bukan kerana terpaksa memintas kenderaan lain, tapi lebih kepada suasana yang damai, keredupan pohonan rimbun dan sering ditanya-tanya pokok perihal ke mana, menyebabkan tidak sabar untuk tiba dan melepaskan lelah pemanduan.

Setibanya di Masjid di simpang ke Kenyir, peluang berehat dimanfaat sepenuhnya sambil menikmati nasi goreng dan rendang ayam yang dibekalkan. Selesai makan, menghirup air kosong sambil kunyah kudapan cempedak goreng memang mengkhayalkan.

Perjalanan diteruskan untuk 15 minit seterusnya, dan tiba ke Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud, Kenyir, Terengganu. (Sepanjang perjalanan di jalan lama ada ternampak 2 papan iklan Kerajaan Negeri Terengganu berbunyi Merakyatkan Pentadbiran & Pembangunan, macam pernah dengar? Hehe)

Tugasan hari ini lebih kepada persiapan awal untuk kerja-kerja yang lebih besar. Maka soal keselamatan menjadi perkara asas yang menjadi keutamaan. Kerja-kerja dilihat berjalan dengan baik sepanjang hari. Kontraktor menjalankan tugas dengan tekun untuk hari ini.

Selesai pemantauan dan pengemaskinian, bergerak pulang bersama sdr Hafiz dan Muaz, singgah pekena pisang goreng Kg Kuala Pueh di depan kawasan kubur. Pisang goreng di sini memang menangkap. Digoreng dengan minyak yang dihangatkan dengan bakaran kayu api. Masih menggunakan kaedah lama. Bau-bau asap kampung yang dirindui mengiringi sesi makan dan minum petang di sini. Pisang goreng kayu api dan teh ais, duduk di bangku kayu dan meja yang tak cukup dimensi, pengalaman baru yang sukar didapati di kota. Harganya? Tidak ternilai.

Petang sebelum Maghrib, ambil kunci rumah tamu nombor 76, dan meninjau keadaan rumah. Puas hati lalu pastikan pula keberadaan kemudahan Internet yang diragui kewujudannya. Alhamdulillah, internet terhidang percuma. Siapa kata Kuala Berang tak ada internet, itu pemikiran kolot. Hehe. Maka inilah kemaskini yang pertama dari Kuala Berang. InsyaAllah kalau hubungan internet baik dan lapang, akan terus dikongsikan kisah di sini. Seluruh hala perjalanan pergi dipandu dari jauh oleh Tuan Tanah Stesen Kenyir, Tuan Jurutera Nadzmi Mohd Noor.

Rasa macam Jdorama saja. Drama Jepun. Tulis tentang kisah hari ini. Sudah lama tak buat perangai begini. Haha. Boleh ya, santai sebentar sebelum kembali ke isu-isu harian.


Ikhlas,
YASIR TAMIZI

Thursday, September 16, 2010

Malaysia Saya di-Gombak


Salam,

Apa itu Malaysia bagi saya? Menonton ucapan tentang "What It Means To Be Malaysian" oleh Sdr Azmi Baharom dan Rafizi Ramli, membuatkan saya juga bertanya pada diri saya soalan yang sama.

Pertama saya harus faham dulu, apakah Malaysia itu? Adakah Malaysia itu kisah 13 Negeri dan 1 Wilayah? Apa takrif Malaysia bagi saya?

Semestinya bila cakap tentang Malaysia, kita tahu Malaysia sebagai sebuah negara. Tapi saya tak rasa itu dirasai semua. Diketahui tapi tak dirasai. Jadi apa itu Malaysia bagi saya? Fikir punya fikir, saya rasa Malaysia bagi saya ialah Gombak. Mudah saja. Gombak itu Malaysia, dan Malaysia itu Gombak. Saya lahir di Gombak dan 26 tahun saya tinggal di Gombak sebagai warganegara Malaysia. Jadi fahaman saya, kalau aman makmur Gombak itu maka Malaysia itu aman makmur. Kalau jalanraya di Gombak sesak, maka sesak lah gambaran saya tentang jalanraya Malaysia. Kalau harga barang di Gombak mahal, maka mahal lah harga barang di Malaysia. Faham? Maksudnya apa yang di sekeliling saya dan rutin harian saya sahaja, itu lah Malaysia.

Apabila saya terima Gombak itu Malaysia, jadi apa yang saya faham tentang Gombak itu? Yang saya faham Gombak ialah satu kawasan yang dihuni berbilang bangsa yang majoritinya Melayu. Gombak, masyarakatnya majmuk. Ada bermacam bangsa, ada Punjabi, Cina di sekitar Seri Gombak, India berdekatan Batu Caves, Melayu di semua tempat dan bukan bangsa-bangsa teras sahaja, dengan adanya Institut Pengajian Tinggi di Gombak, maka Orang Gombak berkembang dengan percampuran bangsa-bangsa dari benua dunia, bangsa Arab, Parsi, Afrika, Bangladesh & Pakistan juga sedikit warga Myanmar di beberapa tempat. Hidup berdampingan dan pemahaman perihal masing-masing menjadi tunjang kehidupan seharian Orang Gombak.

Orang Gombak juga punya perbezaan latar agama yang ketara. Siapa yang tidak tahu tentang Sambutan Thaipusam dan Deepavali di Batu Caves? Dan siapa tidak maklum Universiti Islam Antarabangsa ada di Gombak? Saya fikir, puluh tahun, Orang Gombak berhubungan, Orang Gombak cukup faham dengan aktiviti keagamaan masing-masing. Suasana Ramadhan, perayaan Hari Raya dan sambutan Deepavali menjadi peristiwa penting dalam kalendar Orang Gombak.

Kalau dari segi kemudahan pengangkutan awam dan kemudahan sumber makanan, Gombak termasuk dalam Sistem RapidKL yang melibatkan pengangkutan awam seperti Bas dan LRT, Gombak punya Pasar Borong yang besar di Selayang untuk sumber makanan dan lokasi Gombak sebagai Pintu Gerbang ke Kuala Lumpur dari arah Timur dan Utara Semenanjung, menjadikan Gombak antara daerah paling sibuk dan tangkas aktiviti ekonominya. Secara kasarnya, ini yang saya faham tentang Malaysia, yakni Gombak. Bagi saya inilah yang terbaik.

Namun, jauh berjalan, luas pemandangan, luas pendedahan. Saya berpeluang juga melihat kawasan-kawasan lain di luar Gombak. Saya pernah bertugas di Manjung dan beberapa siri tugasan jangka pendek di Gelugor, Kota Bharu, Port Dickson, Sungai Perak dan Cameron Highland. Semestinya perbandingan dengan Gombak tak dapat dielakkan. Bila diperhatikan, nampak berbeza sekali tempat-tempat ini dengan 'Malaysia Saya' itu. Dan perlunya 'Malaysia Saya' itu mengambil pelajaran daripada segenap Malaysia yang lain, dan begitu jugak sebaliknya. 'Malaysia yang lain' dan 'Malaysia Saya' harus saling memanfaatkan kelebihan masing-masing. Barangkali Convivencia Gombak boleh dihayati dan keadaan di tempat lain boleh diinsafi dan diteladani.

Maka, yang saya lihat, saling memanfaatkan antara 'Malaysia Saya' itu dengan 'Malaysia Lain', ini yang berikan kesedaran menyeluruh tentang satu negara yang namanya Malaysia. Lalu, jika Malaysia Saya punya pengangkutan awam yang baik, mengapa Malaysia Lain tidak dapat pengangkutan awam yang baik? Jika Malaysia Saya punya sistem pendidikan yang pelbagai pendekatan, mengapa tidak di tempat lain? Jika Malaysia Lain punya Semangat Agama yang mengagumkan, mengapa tidak di Malaysia Saya? Kerana akhirnya semua sekali itu kan Malaysia. Semua mesti dapat kemudahan yang sama, taraf pendidikan yang sama, pendedahan yang sama. Kalau tak sama maknanya semacam ada dwi-piawai. Tapi ini cuma apa yang saya rasa saja. Lain padang, lain belalang.

Moganya, Hari Malaysia ini dapat mengukuhkan lagi penghayatan kita tentang Malaysia secara keluruhannya dan rasa kebersamaan antara 'Malaysia Kita' dan 'Malaysia-Malaysia selainnya.'

Alhamdulillah, Selamat Hari Malaysia.


Orang Gombak,
YASIR TAMIZI

Thursday, September 09, 2010

Selamat Hari Raya Aidilfitri 1431


Salam Aidilfitri,

Eid Mubarak. Ini hari keraian, syukur Alhamdulillah, mari kita sambutnya dengan gilang gemilang. Sebulan yang lalu kita mula berpuasa, mula puasa pada 11 Ogos lalu dan hari ini akhir kita berpuasa, tak berapa minit lagi masuklah Syawal.

Bersebaran salam dan ucapan raya, mencari pakaian baru untuk Hari Raya pertama, ini semua sunnah yang disarankan dan telah sebati dalam budaya masyarakat Muslim kita. Syukur lagi. Malam ini kalau pakat-pakat nak ke KL tu sedialah untuk hadap kesesakan. Macet di sana sini. Berkongsi sikit kisah, saya pernah jugak ke Chow Kit pada malam raya, bersama Mak Ayah, dan Arwah Pakcik Malik sekeluarga, memang meriah suasana di sana. Seronok untuk dirasai untuk julung-julung kali. Memang banyak barang yang murah. Biskut satu bekas tu RM1 saja boleh jadi.

Jadi Hari Raya ini, kita ambil kesempatan, dengan gembiranya, dengan bertakbir raya dari mula Maghrib sebentar saja lagi hingga ke solat sunat Hari Raya Aidilfitri besok pagi. InsyaAllah. Takbir masa bulan Ramadhan, ditegah orang. Ini sudah berpeluang, takbir puas-puas, optimakan.

Sikit ingatan bersama bahawa Perayaan Aidilfitri ini perayaan keagamaan bukan kebudayaan. Jadi sambutlah mengikut cara agama.

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin. Buat teman-teman dan saudara-mara yang memandu pulang, semoga diberkati perjalanan dan selamat sampai. Ada yang dah sampai pun.


Allahu Akbar,
YASIR TAMIZI