
Salam,
Baru pulang petang tadi dari tugasan di Stesen Janaelektrik Cameron Highland bersama teman sa-GPMS, Abuzar Narin. Tugasan 4 hari ini penuh dengan kelas dan kerja-kerja pembangunan modul kejuruteraan bersama warga di Stesen Jor. Layanan makan minum yang terbaik daripada pihak Stesen sangat kita hargai dan kita ucap berbanyak terima kaseh untuk itu. Hari-hari dapat lauk sedap, masakan kampung, memang syok. Tak lupa, penghargaan tertinggi kepada Tuan Rumah, sedara Sham Sulaiman, yang menjemput dan melayan tetamu dari KL ini sehabis baiknya. Selimut cukup, bantal ada, tilam Vono siap, walaupun dah mula nak terasa semacam asing, tapi Sham memang pandai meraikan tetamu. Pandai ambik hati Sham ni. Vanggey tak dilupa.
Saya tidak mahu bersembang panjang soal tugasan, tapi mahu juga menyelitkan sedikit kisah di Stesen. Stesen sekarang sedang melalui hari-hari sibuk, Pemeriksaan Besar-Besaran dan Projek Penggantian OVV dan GV di UVC sedang berlangsung. Saya tak akan cerita apa itu OVV atau GV atau UVC, yang penting OVV dan GV itu barang dan UVC itu nama tempat. Cukup itu. Pada hari kedua, Sham dan Hanif, membawa kita ke UVC, tempat berjalannya kerja-kerja Projek tersebut. Perjalanan ini difahamkan mencabar dan Sham menyarankan perjalanan ini dirakamkan di blog. Maka saya kongsikan sekali di sini. UVC terletak di atas tanah tinggi. Sungguh tinggi sehingga kita setara dengan puncak-puncak bukit di keliling. Laluan ke UVC bukan melalui jalanraya cantik Cameron Highland tetapi melalui jalan hutan yang kecil, muat sebuah Triton sahaja. Di permulaan perjalanan, Sham menunjukkan kecekapan beliau memandu Triton, cuma bila tiba di satu selekoh, kami dinasihatkan berhenti rehat di tepi terlebih dulu sebab ada lori 12 tan sedang turun dari UVC. Kalau degil mahu teruskan juga, maka akan bertembunglah 2 momentum yang tak seimbang. Kalau tak remuk, maka hancur atau tergolek ke gaung. Selesai lori 12 tan berlalu, kita teruskan pendakian dengan Triton. Mencabar keyakinan minda tapi tak meloyakan. Saya akui saya seorang yang gayat, sikit. Hehe. Tapi misal kata kita gayat dengan jalan naik ke Cameron ikut Tapah, saya yakin, selepas melalui jalan hutan ke UVC ini, jalan ke Cameron ikut Tapah itu tidak menjadi kehairanan lagi. Baik, sudah tiba di puncak dengan Triton, perjalanan belum habis. Jalan hutan tadi hanyalah untuk capaian kenderaan sahaja. Selepas itu kena mendaki tangga lagi sikit. Tangga Batu Caves itu 273 anak tangga. Dakian ke UVC ini dikatakan 500 anak tangga. Curam, boleh dikatakan sudutnya lebih 45 darjah. Nak daki ke tak nak daki, tak ada pilihan. Daki! Memang tangkap peha. Ulang alik 10 kali boleh melentik tulang pinggul. Syukur, berbekal stamina yang tak berapa ada, sampai di atas, kita dengan Sham dan Hanif terus menuju ke terowong di mana UVC berada di hujungnya. Memasuki terowong saya teringatkan kes-kes pekerja lombong arang batu di Negara China yang tersangkut dalam terowong runtuh. Gelap dan bercahaya sayup-sayup. Yang baiknya perjalanan begini, doa dan selawat tak mungkin terabai. Selesai runding-runding dengan kontraktor yang mengusahakan pemasangan GV dan OVV itu tadi, kita bergerak turun. Perjalanan turun pastinya ringan dan menggembirakan sendi.
Lenguh sendi disambung dengan beberapa siri perlawanan pingpong antara wakil Ibu Pejabat bertemu wakil Stesen. Nampaknya wakil Ibu Pejabat tidak pernah mengecewakan, kita menang bergaya 3-2. Saya harap siri perlawanan ini dapat dipanjangkan ke Stesen lain kalau kita berkesempatan ke Stesen lain, selepas ini nanti. Sham mempertaruhkan Nasi Ganja atau Nasi Vanggey di Ipoh sebagai pemangkin semangat bertempur. Mana mungkin kita tumpas, kalau kisah Nasi Vanggey ini sudah berulang kali dicanang kekhayalannya. Namun, Sham masih belum melangsaikan Nasi Vanggey lagi. Kita akan terus tunggu.
Besoknya, selesai tugasan, kita terus dibawa Sham ke ruang Turbin Hidro yang menempatkan 4 unit turbin, melalui terowong sejauh 1 kilometer ke dalam tanah. Kebetulan, turbin unit 3 tak silap saya, sedang dibongkar, maka terburailah isi perut turbin hidro berkenaan. Nampaklah kita, bilah-bilah Roda Pelton secara terus dan segala macam alatan di sekelilingnya. Dengan penerangan Jurutera Operasi, sdr Sham, maka dapat lah kita hadam sedikit sebanyak proses asas bagi Stesen Janaelektrik Hidro. Sebelah malam semalam diisi dengan sedikit wisata ke Ringlet, Tanah Rata dan Brinchang bersama teman GAD, Apis. Usai mendapatkan sayuran segar dan jem strawberi untuk bekalan di rumah, kita menuju ke Brinchang. Di Brinchang, ada sebuah masjid yang bernama Masjid Kayangan Brinchang. Saya tergelak sendirian membaca perkataan "Kayangan". Mungkin sempena suasana kononnya di kayangan dikaburi kabus-kabus sejuk. Setelah bersidang dengan Buzar, Sham dan Apis, sebarang dua tentang solat jamak-qasar yang berimamkan solat tamam, kita putuskan untuk jamak-qasar Maghrib-Isyak bersekali dengan jemaah Solat Maghrib. Amatlah sejuknya masa berwuduk, seperti menyiram ais kosong ke anggota rasanya. Selepas agenda di Masjid Kayangan Brinchang, kita halakan diri ke Restoran Tomyam berhampiran untuk mengisi perut. Kebetulan kawasan itu elektrik putus, haram masing-masing nak pakai jaket TNB. Disebabkan kita menghormati prinsip pengasingan kuasa antara Penjanaan, Penghantaran dan Pembahagian, walaupun yang makan di Restoran itu, berlatarbelakang kejuruteraan mekanikal dan elektrikal, maka pasrahkan sahaja dan kita beri kepercayaan kepada pakar-pakar di bahagian Pembahagian untuk menyelesaikannya. Selesai makan, lampu pun hidup. Alhamdulillah kenyang, entah apa yang masuk perut tadi, tak ada lah nampak sangat. Sudah telan.
Hari ini sebelum pulang, kita dijemput mendengar ceramah sempena Ramadhan, disampaikan oleh Ustaz Ibrahim. Ustaz Ibrahim bercakap dengan loghat Perak, persis loghat di kampung belah Ayah di Malim Nawar. Sebabkan beliau bersembang dengan loghat Perak pekat, ala "ate ate ley", maka jegang jugak bijik mata dibuatnya. Teringat Ustaz Kazim Elias. Ada lawaknya, ada selambanya. Dan ada satu persoalan kita yang terdahulu yang tergantung, terjawab oleh Ustaz Ibrahim. Persoalan kita, "Benar solat itu mencegah dari mungkar, mengapa kita masih berbuat mungkar walaupun bersolat?" Maka Ustaz Ibrahim menerangkan, solat yang sempurna itu ada 3 ciri, "Cukup, Betul dan Ikhlas." Cukup rukun dan solatnya, betul pelaksanaannya tak ada yang salah, dan ikhlas dalam bersolat. Mengapa masih ada kemungkaran walaupun bersolat? Maknanya, ada lah salah satu daripada ciri ini yang tidak dipenuhi.
Sebagai penutup, apabila kita berada di sekitar Cameron Highland atau pun sepanjang jalan ke sana, tak dapat tidak, kita akan melihat masyarakat Orang Asal menjual produk hutan seperti madu, petai dan durian di tepi jalan. Melihat kepada jumlahnya yang ramai, perlunya masyarakat Orang Asal di sini diberikan peluang pendidikan dan pendedahan yang lebih. Ilmu dan kebajikan mereka mesti seiring. Sudah 50 tahun merdeka, tak kan orang Melayu sahaja yang sudah ada masyarakat kelas menengah daripada DEB? Semua berhak mendapat peluang yang sama. Kebetulan saya mengulangbaca
Dasar Bersama Pakatan Rakyat, saya kongsikan iltizam Pakatan Rakyat berkenaan Orang Asal ataupun yang kita biasa panggil sebagai Asli:
"vii. Meningkatkan kebajikan Orang Asli, Orang Asal dan golongan minoriti lain di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak selain mempertahankan hak asasi, ekonomi dan sosial mereka." - Dasar Bersama Pakatan Rakyat, Perkara 3 Keadilan Sosial dan Pembangunan Insan, (a)vii.
Benar,
YASIR TAMIZI