Wednesday, July 28, 2010

Forum Intelektual UIAM: Malaysia & Dayasaingnya di-Masa Hadapan


Salam,

Diizinkan Allah Taala kita sempat hadir di satu Forum yang agak bersejarah di mana nama-nama besar dalam sayap pergerakan pemuda masakini bertemu dan berkongsi pandangan dalam satu isu yang penting iaitu Malaysia dan daya saingnya di masa hadapan. Forum ini dalam Bahasa Penjajah, Bahasa Inggeris, izinkan saya terjemah ke Bahasa Ibunda, Bahasa Melayu.

Kali terakhir saya menonton forum seumpama ini ialah pada satu forum pada tahun 1999, di UKM, dalam satu forum bertajuk Wajarkah Mahasiswa Berpolitik yang masa itu ahli panelnya ialah Sdr Mahfuz Omar, Mustapha Kamil Ayub, Zein Isma, Suhaimi Ibrahim dan Sdr. Zaharuddin(atau sekarang lebih dikenali sebagai Ustaz Zaharuddin.net). Forum yang bertepatan dengan tahun-tahun panas gelombang mahasiswa bangkit selepas tragedi 1998. Yang ini sejarah masa kita di tingkat 3, malam ini kita cerita tentang semalam di UIA.

Di UIA semalam, forum yang bertajuk Malaysia & Dayasaingnya ini dibarisi oleh ahli panel, Sdr. Khairy Jamaluddin, Shamsul Iskandar, Dr. Marzuki dan Dr. Zohdi. Saya tiba lewat sedikit, terlepas pembentangan pertama Khairy Jamaluddin. Yang kita sempat sedut daripada pusingan pertama forum ialah Sdr Shamsul membentangkan fakta tentang kemerosotan dayasaing kita berdasarkan Laporan Pelaburan Dunia 2010 yang dikeluarkan oleh UNCTAD. Laporan ini juga telah diterangkan oleh YB Tony Pua sebelum ini di laman blog beliau. Kalau kita baca laporan ini, secara kesimpulannya, kita akan dapati angka-angka yang tak manis yang menunjukkan kemerosotan teruk pelaburan masuk dalam Negara dan kehilangan daya tarikan kepada pelabur untuk berniaga di sini. Perbandingan mengikut negara menunjukkan, kita Malaysia ketinggalan, dan kita sudah turun liga. Mudah cakapnya, orang tak yakin dengan kita dan tak minat nak meniaga dengan kita. Nak jual barang, orang lari sebab ingat kita penyangak dan kaki temberang barangkali.

Saya kurang berminat mendengar celoteh Dr. Marzuki walaupun beliau ini dari Jabatan Perdana Menteri, kerana hampir sepanjang forum, beliau gemar bercakap sendirian. Mungkin ada teman halusinasi yang ajak bersembang saya tak tahu, tapi cara penyampaiannya kurang menarik dan tiada isi yang sedap. Tentang Dr. Zohdi (Universiti Malaya), beliau memberikan satu pandangan alternatif, yang mana dayasaing ini tidak hanya bercerita soal angka FDI atau aliran pelaburan, tetapi faktor seperti kebebasan bersuara, keadilan, kedaulatan undang-undang dan hapus rasuah, mesti diberi penekanan utama dalam membaiki kerosakan prestasi pelaburan Negara dalam meraih balik kepercayaan pelabur untuk ke sini.

Antara 4 panel ini, saya gemar dengan lenggok bahasa Sdr. Khairy Jamaluddin. KJ tak pernah mengecewakan penonton dari segi kelucuannya, kebolehan bertutur dalam bahasa rakyat bawah dan penyusunan hujah untuk menjawab persoalan yang berbangkit. Cik Juwairiyah dan Farah, berpendapat yang KJ buat kerja rumah. Beliau mahir mengejek ahli panel yang lain sambil dibantu orang-orang kuat Pemuda dari belah kerusi hadirin. Namun dalam kehandalan beliau bergebang, ada satu persoalan yang beliau timbulkan yang saya rasakan wajar 'diamati' beramai-ramai. Apa kata beliau? Beliau menyatakan perbandingan antara Malaysia dan Singapura adalah tidak tepat, bukan antara epal dan epal. Katanya Singapura itu kecil, satu hari boleh pusing, dalam erti kata lain mudah urus. Saya jadi keliru, adakah ini forum geografi yang menjadikan saiz tanah sebagai perbandingan. Yang patut kita fikirkan, mengapa Singapura negara yang kecil cenonet ini, tak ada hasil pulak, boleh lebih berdaya saing, boleh lebih menarik pelaburan berbanding kita Malaysia, sebuah negara kaya, lebih besar, banyak hasil mahsul, minyak melimpah, tapi gagal berdaya saing, ketinggalan dengan negara Filipina dan Timor Leste. Timor Leste shekh. Tak pernah ada dalam radar.

Dalam sesi soal jawab, banyak soalan merujuk kepada kata-kata saranan kesatuan dan perpaduan, dalam mencapai satu penyelesaian cabaran ekonomi bersama-sama. Petanda bahawa ada orang Muda sudah terikut-ikut dengan agenda media arus perdana mutakhir ini. Kata-kata perpaduan disebut berulang kali sehingga 2 ahli panel doktor falsafah menyebut dengan terang nama Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai faktor penyatu. Dr. Marzuki sedikit sentimental mengenang cita-cita penyatuan Muslim yang dibawa DS Anwar Ibrahim tika ABIM dulu. Dr. Zohdi pula menyatakan DS Anwar ialah faktor penyatu Melayu paling sesuai. Sdr KJ positif dengan idea penganjuran forum sebagai permulaan untuk kerjasama yang berterusan di masa akan datang. Manakala Sdr Shamsul bersetuju dan beliau menambah dengan 2 potong ayat Al-Quran yang merupakan kesimpulan mujarab untuk isu perpaduan malam itu. Satu ayat berkenaan tuntutan Islah Mastata'tum dan sepotong lagi Ayat 2, Surah Al-Ma'idah.


"Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan"


Forum sebegini wajar dianjurkan lagi di seluruh institut pengajian tinggi. Ternyata bermanfaat untuk siswa dan masyarakat, memahami isu semasa dan mengenali watak pimpinan muda Negara dengan lebih dekat dan nyata. Pencerahan dengan pendekatan forum semacam ini mampu menarik minat orang Muda kembali mengambil tahu hal-hal kenegaraan dalam menjadi warganegara yang celik dan berilmu.

Kesimpulan forum antara Ketua Pemuda dan Ketua Angkatan Muda, ibarat permainan bola sepak World Cup 2010. Kalau pun banyak seni samba, boleh pusing bola atas dahi, timbang ratusan kali, tapi tak disudahkan dengan gol adalah tidak berguna. Kita mahu gol! Kita penonton pintar. Kita mahu fakta, kita tak leka dengan gebang. Hadirin UIAM sememangnya seronok meraikan fakta!

Dasar Ekonomi Manusiawi.


Ikhlas,
YASIR TAMIZI

Monday, July 26, 2010

Menuju Nisfu Syaaban 1431


Salam Nisfu Syaaban,

Petang tadi sekitar 6 petang, dalam perjalanan pulang singgah ke Boraque Kopitiam Danau Kota, berjanji temu dengan saudara Hasizan, teman lama, untuk lepak sembang sambil ditemani kopi berasap dan bau wangi.

Sebelum masuk Nisfu Syaaban waktu maghrib tadi, bermacam cerita dibicarakan tanpa hakim. Al-maklum cerita kedai kopi, tiada hakim, tiada saksi, cerita sensasi di kedai kopi. Pertama sekali, saya nak sebut sini Boraque bukanlah kopitiam yang disebut akhbar yang sumber bekalan ayamnya bukan dari Muslim. Boraque halal, Muslim Johor, insyaAllah.

Isu seperti pewarna rambut ada disentuh, huraian logik sudah cukup menidakkan penggunaan pewarna rambut di khalayak ramai. Kisah lulus dan batal lesen judi sukan diulangtayang bagi menjelaskan yang keliru. Yang keliru itu datang dari alasan yang menghalalkan judi kerana ianya untuk awam, untuk negara dan bukan untuk Muslim. Sekali lagi, sejarah pembabitan Muslim Malaysia dalam judi nombor ekor dijadikan perbandingan berguna. Bertahun-tahun kedai nombor ekor beroperasi kononnya judi bukan untuk Muslim, apa betul Muslim tak belikah? Lagi lulus lesen lagi terbuka peluang berjudi. Bukan takat Muslim sahaja bantah, orang bukan Muslim pun bantah. UMNO Johor bantah. Pemuda UMNO Kedah bantah. PAS dengan jelas bantah. PKR parti berbilang kaum dan agama itu pun bantah. DAP dan Gerakan yang majoriti berketurunan Tiong Hwa terang-terang bantah. Tak ada kita jumpa satu kajian manusia pun yang menyatakan judi ini berkhasiat untuk mana-mana masyarakat. Siapa yang kata begitu maka orang itu sewel.

Namun yang paling menarik, kisah kelangsungan hidup di asrama yang dikongsikan Hasizan memang menyeronokkan dan ada juga rasa kasihan. Sudah ramai yang bicara tentang asrama dan kongsikan pengalaman, rata-rata seolah-olah menyuarakan satu suara kejayaan yang sama iaitu, langgar undang-undang. Saya tak fikir, kita masa di sekolah diajar supaya langgar undang-undang. Saya fikir, sistem sekolah yang sempit itu yang membentuk kita kreatif melanggar undang-undang. Pelajar kita semakin berkembang, kurungan fizikal dengan peraturan-peraturan kolot dan sentalan minda untuk kecemerlangan A sahaja itu sudah patut dikajisemula sejak dahulu. Hal ini juga pernah dibincangkan bersama tuan Akmal Halimy Haron semasa perjalanan ke Sungai Perak satu tika dulu. Kita boleh perhatikan anak-anak buah kita, atau anak sedara kita, mereka semakin cepat pintar dan memahami logik dunia canggih ini, tapi sistem asrama dan pendidikan yang berjalan itu sangat berbeza, sudah ketinggalan zaman, tidak cair dan dinamik. Mengapa institusi pendidikan alternatif berusaha memberikan pendidikan dalam pendekatan yang ceria dan memukau? Bila lagi sistem pendidikan rasmi negara mahu dirombak habis-habisan supaya tidak lagi skema seperti mengikut buku teks 40 tahun dulu? Dan menjadi lebih menarik dan sesuai dengan corak pemikiran terkini kanak-kanak dan orang muda. Ini harapan kita.

Harap dipunggah segala kajian sarjana dan doktor falsafah tempatan dalam hal kaedah pengajaran paling berkesan mengikut umur untuk masyarakat kita.

Puas bersidang, tiba Maghrib kita pulang ke pondok berteduh. Selamat menikmati Nisfu Syaaban. Apa pun kata orang tentang bidaah atau apa-apa, berpuasa sunat memang baik. Buku baru atau lama, yang paling penting, isi buku itu. Tapi pastinya boleh jadikan hari ini alsabab untuk memperbaharui azam yang berhabuk.


InsyaAllah,
YASIR TAMIZI

Thursday, July 22, 2010

Samba Pingpong


Salam,

Kalau Brazil terkenal dengan permainan bola sepak samba, nampaknya ping pong jugak ada sambanya yang tersendiri.

Berbulan menjalani permainan pingpong santai hampir di setiap petang bersama teman-teman Pertubuhan Pingpong Kolar Puteh, akhirnya ia membuahkan hasil seni permainan pingpong yang digelar Samba Pingpong.

Apa itu Samba Pingpong? Samba Pingpong ialah satu permainan pingpong yang mengutamakan seni dan tari. Gerak langkah dan kekuda silat diserap dalam setiap jurus dan bunga pingpong. Gerakan silang pemain pingpong beregu yang bersamba tidak mungkin terduga. Dan permainan Samba Pingpong ini, kita tidak hanya mengutamakan kemenangan tetapi yang lebih menjadi matlamat utama adalah seni jurus dan libas yang halus bersulam kawalan nafsu membedil.

Mana mungkin kita takrifkan Samba Pingpong dengan bual bicara tulisan sahaja, ia harus dirasai bukan difikir-fikir lagi. Kalau asyik difikir tapi tak dirasa bersama, ibarat hanya di lapisan permukaan sahaja, tidak dapat menyelami dalam-dalam. Mungkin pencatur Samba Pingpong, Ali, Zul dan Oden sahaja yang mampu menterjemah erti Samba Pingpong dalam permainan sebenar. Nad mengunjurkan mungkin lebih sesuai jika dinamakan Sambal, lebih ke"Malaysia"an barangkali.

Samba Pingpong. Bila fizik dianyam seni. Lucu dan berani oleh Pertubuhan Pingpong Kolar Puteh.


Ikhlas,
YASIR TAMIZI

Thursday, July 15, 2010

Enakmen Kebebasan Maklumat (Selangor): Permohonan Pertama & Pelaburan Super


Salam,

Kisahnya

Saya merujuk pembentangan Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat (Selangor) yang dibacakan oleh YB Eli Wong di Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini.

Antara penerangan YB Eli Wong tentang Enakmen ini ialah:

1. Rang undang-undang ini bertujuan untuk mempertingkatkan penzahiran maklumat bagi kepentingan awam, untuk memberi kepada setiap individu peluang untuk akses kepada maklumat yang dibuat oleh setiap jabatan.

2. Setiap jabatan di bawah kerajaan negeri akan melantik seorang pegawai maklumat yang berfungsi sebagai perantara jabatan dengan orang awam dalam permohonan maklumat.

3. Tambahnya, langkah ini dijangka bakal meningkat keyakinan pelabur dan kepercayaan rakyat kepada sistem pemerintahan.

4. Keterbukaan dan kepercayaan jadi asas budaya semua, dari pegawai kerajaan hingga kepada Menteri Besar sendiri.


Permohonan Maklumat Pertama

Saya tidak dapat gambaran bagaimana proses permohonan bagi mendapatkan maklumat ini akan dibangunkan, tapi saya harapkan proses permohonan ini mesra Teknologi Maklumat, perhubungan talian.

Kita melawat laman rasmi Kerajaan Negeri Selangor dan dilihat di bawah bahagian jabatan-jabatan kerajaan negeri, kita dapati ada ~32 jabatan dalam negeri Selangor.

Rujuk isi no. 2 di atas yang menyala warna merahnya, yang menyatakan bahawa setiap jabatan akan dilantik seorang pegawai maklumat. 1 Jabatan 1 pegawai. 32 jabatan, 32 pegawai.

Maka, saya mahu membuat permohonan maklumat pertama. Berapakah jumlah belanja yang dijangka dalam setahun setelah melantik seluruh pegawai maklumat bagi seluruh jabatan? Dan bagaimana perbelanjaan ini akan diterjemahkan dalam bentuk keuntungan kepada Negeri Selangor dalam masa setahun?

Cadangan ke Arah Pelaburan Super

Saya gabungkan isi no. 1, 3 dan 4, boleh lah kita katakan, dengan Enakmen ini, keterbukaan dan kepercayaan akan menjadi asas budaya rakyat Selangor, di mana setiap rakyat layak untuk menembusi maklumat yang dibuat oleh setiap jabatan. Kesannya, pelaburan akan meningkat.

Jika logik Enakmen itu begini, "maklumat terbuka ke rakyat, pelaburan meningkat," maka saya terlintas alangkah indahnya kalau maklumat itu super terbuka, maka pelaburan pasti super meningkat!

Saya cadangkan, rasanya tak perlu ~32 pegawai maklumat ini semua, sebab ini mungkin memakan belanja yang tidak signifikan kepada kehidupan rakyat.

Jadi kaedah pilihan ialah mungkin kita boleh lambakkan maklumat yang dikatakan mahu dikongsi dengan rakyat itu ke dalam server. Dan izinkan sesiapa sahaja untuk muaturun maklumat tersebut secara percuma dari laman web tanpa perlu menunggu pegawai proses permohonan selama 30 hari atau 7 hari. Leceh dan lambat nanti. Buat permulaan barangkali boleh jadikan laman web Kerajaan Negeri sebagai pusat sehenti untuk proses perolehan maklumat ini.

Hal ini penting, kerana semasa kita orang Gombak terdengar kisah Gereja Baru di kawasan Taman Selaseh belakang Giant, sedang kawan saya Mubarak Bakri mungkin mahu menzahirkan perasaan bersama jiran-jirannya, saya cuba rujuk laman web MPS untuk cari satu Tatacara atau Garis Panduan berkaitan dengan Kedudukan Rumah Ibadat, tapi saya tidak jumpa. Tujuan saya hanyalah untuk menyemak samada dakwaan yang menyatakan kawasan 80% Muslim tak boleh ada rumah ibadat lain itu berasas atau tidak. Mungkin kaedah carian yang lemah, tapi apabila saya tanyakan tentang kewujudan Garis Panduan untuk Rumah Ibadat ini, kepada YB Nik Nazmi, YB termuda berusia 28 tahun itu, beliau menjawab, Garis Panduan ini memang ada. Tapi saya tidak jumpa di laman Majlis Perbandaran Selayang pada waktu itu.

Kita harap dengan adanya Enakmen Kebebasan Maklumat (Selangor) ini, kita rakyat Selangor dan orang Gombak khususnya, ambik kesempatan ini, untuk dapatkan seberapa banyak maklumat yang boleh, sebagai rujukan kepada urusan masing-masing.

Boleh muaturun Enakmen Kebebasan Maklumat (Selangor) di sini.


Ikhlas,
YASIR TAMIZI

Tuesday, July 13, 2010

Perlombongan Pasir Secara Haram di-Selangor


Salam,

Al-Kisah

Pada 11 Julai 2010, Datuk Seri Khir Toyo membuat kenyataan berkenaan perlombongan pasir secara haram di Kg. Bukit Changgang, Dengkil, Selangor.

Pada 12 Julai 2010, Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor telah menjawab persoalan kenyataan DS Khir Toyo tersebut.

Kesimpulan untuk hari ini, tentang persoalan Lombong Pasir Haram di Negeri Selangor yang kian kecoh di akhbar, adalah seperti jadual di atas. Klik jadual di atas untuk rujukan.

Duit Tepi Terbuka Untuk Semua

Menteri Besar Selangor juga memberitahu bahawa Kerajaan Negeri akan membayar wang saguhati RM 5000 kepada pemberi maklumat yg dedah kegiatan curi pasir di Selangor.

Monday, July 12, 2010

Gaji Minima: Kadar Pengangguran Negara Berkaitan


Salam,

Sedikit sembang bersama Tuan Khalid Jaafar di Facebook sebentar tadi, membawa keingingan untuk menjalankan sedikit perbandingan ringkas tentang gaji minima. Kebimbangan timbul apabila Gaji Minima dilaksana Kadar Pengangguran akan meningkat kerana majikan tidak mampu memenuhi Gaji Minima yang ditetapkan. Susunan di bawah menunjukkan perbandingan ringkas, beza kadar pengangguran antara negara yang melaksanakan Gaji Minima dengan negara yang tidak melaksanakan Gaji Minima.

Kadar Pengangguran Terbaru di Negara Dengan Gaji Minima
Australia - 5.1%
Brazil - 7.5%
Kanada - 8.1%
Taiwan - 5.6%
Perancis - 9.9%
Hong Kong - 4.9%
Jepun - 5.2%
Korea Selatan - 3.2%
Thailand - 1.6%
Turki - 11%
US - 9.5%
UK - 7.9%
Vietnam - 2.9%

Kadar Pengangguran Terbaru Di Negara Tanpa Gaji Minima
Austria - 4%
Bahrain - 3.7%
Brunai - 3.6%

China - 4.2%
Denmark - 4.1%
Jerman - 8.2%
Iceland - 8.3%
Malaysia - 3.7%
Arab Saudi - 11.6%
Swiss - 4%
UAE - 4.2%

*Sumber TradingEconomics.com & IndexMundi. Tulisan tebal mewakili kadar terendah bagi setiap kumpulan.

Saya tidak membuat kesimpulan mana yang lebih baik atau tidak, kerana itu bergantung kepada keutamaan masing-masing.

Jika keutamaan kita pada angka kadar pengangguran maka kita boleh bandingkan sendiri yang mana lebih baik dengan angka-angka tersebut. Kalau kita mahu laksanakan Gaji Minima, kaedah pelaksanaan yang bagaimana yang patut kita jalankan, mungkin dengan mencontohi negara-negara berkenaan? Misal kata, kita tidak peduli kadar pengangguran tinggi, kerana kita punya sistem bantuan penganggur yang berkesan dan menguntungkan dalam jangka masa panjang, jadi saya fikir Gaji Minima tiada masalah.

Jadi perbandingan ringkas di atas hanyalah sekadar perkongsian data yang mungkin diperlukan untuk dicerna menjadi maklumat berguna bagi kegunaan mereka yang Ahli.


Ikhlas,
YASIR TAMIZI

Sunday, July 11, 2010

Agih Kekayaan Negara Dengan Adil Untuk Semua


Salam,

Semalam, kita menikmati perlawanan Jerman dan Uruguay di NZ bawah yang lama, yang sudah bertukar namanya, tapi masih dipanggil NZ oleh Hasreezan. Perlawanan yang dramatik itu diselang seli dengan perbincangan bersama Pengurus Vatos Locos, mencari kata sepakat dalam isu hari. Gol encik Forlan yang mengujakan agak menggugat sokongan kepada Jerman semalam. Namun sebelum perlawanan bermula, kita bersidang sedikit sebanyak isu kenegaraan. Sidang semalam dipenuhi Sdr Hasreezan, Azuwan, Adi Hariez, Yan dan Raja Rizal Iskandar. Banyak isu berbangkit, antaranya Felda dan Judi, tapi yang paling menarik perhatian ialah soal pengagihan kekayaan negara.

Mengapa isu pengagihan kekayaan negara begitu diminati? Sebabnya, kekayaan negara ini sememangnya melibatkan kita, negara kaya, agih dengan betul, rakyat senang. Logiknya begitu. Sdr Hasreezan menyatakan minatnya pada ucapan Tun Mahathir dalam Utusan baru-baru yang berjudul Agih Secara Adil. Huraiannya, kekayaan negara bukan diagih samarata, kerana samarata bukan adil tapi agihan mestilah mengikut pecahan kaum. Jika kaum Melayu 50% daripada penduduk negara ini, maka 50% kekayaan negara patut dilimpahkan kepada kaum Melayu. Kiranya kalau ada 10 bijik buah oren, letak di pasar, 5 biji wajib bagi pada Melayu tak kira samada mampu atau tidak Melayu beli, selebihnya bangsa lain berkongsilah mengikut pecahan kamu, mungkin kaum Tiong Hwa 3 biji dan India 1 biji dan lain-lain 1 biji.

Cadangan yang memukau. Saya orang Melayu, saya akan terpengaruh dengan cadangan ini sekarang sebab cadangan ini memihak kepada saya. Tapi, saya berfikir-fikir balik, apa akan terjadi, misal kata, selepas kita semua orang Malaysia setuju dengan cadangan ini, selepas 50 tahun, entah macam mana, bilangan kaum Punjabi melonjak ke 50% dan Melayu menjadi minoriti. Semasa itu, 10 biji buah oren yang diletak di pasar tadi, mestilah menepati dasar yang dipersetujui asal tadi, maka 5 biji wajib diberi ke kaum Punjabi, Melayu mungkin dapat 3 biji, Tiong Hwa mungkin 1 dan kaum India mungkin 1. Adakah Melayu akan kata dasar ini masih adil? Mustahil!

Apa maksud Adil? Takrif ADIL ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya. Sefaham saya pada agama saya, bila dah kaya, bila dah mampu, maka kongsikan kekayaan kepada orang yang tak mampu, yang miskin. Dalam Islam, kita ada tuntutan Zakat dan perbanyakkan Sedekah. Sudah kaya, bagi zakat, agih kaya kepada yang memerlukan, bantu yang miskin. Zaman sekarang kita panggil ini, sebagai Keadilan Sosial.

Yang wajib dibantu, yang wajib dapat peruntukan lebih, yang lebih memerlukan tumpuan ialah kumpulan yang memerlukan, mereka yang miskin, bukan kumpulan yang berdasarkan kaum. Kalau kita bicara bantuan kepada miskin, maka kita akan dapat sapu semua bangsa, Melayu India Cina Iban Kadazan semua dapat bantuan. Tapi kalau kita cakap tumpuan patut lebih kepada bumiputera sahaja, maka bumiputera sajalah yang dapat lebih, sedangkan bangsa lain pun susah payah juga, ada yang miskin juga, mereka juga layak untuk dapat agihan kekayaan negara sebab mereka pun rakyat Negara ini.

Maka ketetapan kita semalam, Sidang sudah pun serba maklum bahawa pengagihan kekayaan Negara mesti diagih dengan adil, bukan berdasarkan kaum, tapi pengagihan kekayaan Negara mestilah kepada seluruh rakyat yang memerlukan. Ini Negara kita punya. Sesiapa yang bernaung dalam Negara kita mesti dapat pembelaan dan keadilan.

Bagi zakat kepada asnaf. Agih kaya kepada yang perlu.


Ikhlas,
YASIR TAMIZI

Saturday, July 03, 2010

Umur Dah Lanjut; Daftar Pemilih Segera!


Salam,

Hai Anak Muda Negara, mari singgah sebentar di Pejabat Pos untuk mendaftar sebagai pemilih.

Apa kelebihan pemilih? Kita berkuasa untuk pilih Kerajaan mana yang kita kurang benci di Pilihanraya Umum yang akan datang. Boleh rujuk laman SPR untuk maklumat, Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia.

Mengapa seruan ini hadir? Kerana nampaknya, Pilihanraya Umum seolah-olah akan berlaku tidak berapa lama lagi kerana terdapat laporan 1:40 yang berbau perkauman seolah-olah mendesak Melayu segera mendaftar dan satu lagi laporan berita berkaitan jangkaan Pilihanraya Umum akan berlangsung pada bulan September ini. Yang tentang 1:40 itu, usah percaya cucukan jahat perkauman, baca fakta ini, "Nisbah pengundi 2:1 bukan 1:40" & "1:40 Malay Non-Malay ratio of newly registered voters".

Kemungkinan kenyataan media tentang prestasi ekonomi Negara yang cemerlang akan terumum tidak lama lagi. Saya cukup teruja dengan angka-angka Ringgit yang dipapar di akhbar sekarang. Kalau dulu kita terkejut dengan angka ratus juta, kemudian angka ribuan juta dan bilion, tapi yang terbaru betul menggerunkan iaitu, mencapai angka trillion. Sekadar pembacaan yang cetek, angka-angka trilion begini saya baru ternampak dalam belanjawan Amerika Syarikat. Adakah maknanya tahap ekonomi Malaysia sudah tak jauh lagi untuk capai tahap ekonomi Amerika? He He. Ini cerita lain.

Baik, saranan kita sekali lagi, mari daftar pemilih. Daftar sekarang! Kerana pendaftaran kita mungkin makan masa sekitar 3 bulan untuk selesai diproses. Gunakan kuasa kita sedaya-upaya. Kita berkuasa untuk pilih Kerajaan mana, yang kita mahu di Pilihanraya Umum yang akan datang. Yang korup atau tak korup? Yang seleweng atau tak seleweng? Yang kotor atau bersih?

Bagi yang sudah mendaftar boleh periksa status kita di Laman Semakan Daftar Pemilih SPR di sini.

Awak, sila daftar sekarang! Daftar segera! Ya, awak yang dah dewasa ini, umur dah lanjut, dah lebih 21 tahun semuanya. Selamatkan Malaysia.


Ikhlas,
YASIR TAMIZI

UPSR Mesti Diubah Nama ke-TPSR


Salam,

Hasil dari perbincangan tentang Bahasa dan Pelajaran, yang lahir dari teman-teman Ahli Sidang & Majlis Penasihat Agung, maka kita mencadangkan agar Kementerian Pelajaran Malaysia tidak memansuhkan UPSR tetapi merekayasa cara ujiannya dan pengajarannya yang menggalakkan anak-anak murid berfikir, faham dan bukan hanya menghafal. Hafalan sahaja tidak membawa kepada pemikiran tetapi menjadikan kita robot penjawab soalan.

Maka selaras dengan penemuan yang sudah lama Ahli Sidang Meja Bujur GPMS temui dalam Kamus Dewan Bahasa Pustaka, lalu kita cadangkan rekayasa UPSR ini wajar menerima satu nama baru bagi membezakan tanggapan UPSR yang lama dan UPSR yang baru.

UPSR yang baru, kita cadangkan supaya dinamakan sebagai, Teraian Pencapaian Sekolah Rendah. Sungguh bertepatan dengan perkataan TRY yang sudah dibahasamelayukan menjadi TERAI, dan sudah diserap ke dalam Kamus Dewan Bahasa & Pustaka. Tak percaya? Boleh ke pautan PRPM.DBP yang tersedia.

Jangan herdik anak-anak kalau mereka menulis laporan rasmi sambil guna perkataan TERAI! Ia termaktub dalam Kamus Dewan! Hebat! Kan?


Benar,
YASIR TAMIZI

Friday, July 02, 2010

Utusan & Anwar Ibrahim


Salam,

Saya suka baca Utusan. Hari-hari saya baca Utusan. Sebab apa saya baca Utusan, sebab cikgu Bahasa saya kata dulu, kalau nak pandai menulis karangan dalam Bahasa, kena baca suratkhabar. Dulu-dulu masa zaman membeli suratkhabar, saya membaca Berita Harian, tapi kemajuan teknologi terkini membuatkan saya tidak membeli lagi, malah membaca atas talian sahaja. Dan akhbar talian yang paling saya gemari ialah Utusan, kerana mudah untuk kita pautkan ke mana-mana sebagai bukti hidup. Ha Ha. Biar yang lain bicara soal berat, hari ini kita sembang isu yang sangat enteng.

Sejak banyak menjak ini, hampir setiap hari Utusan mengeluarkan kisah-kisah Anwar Ibrahim. Menarik kisahnya. Saya fikir, Utusan ini peminat setia Anwar Ibrahim, jadi dia promo Anwar Ibrahim hari-hari. Muka surat depan pulak tu. Dada akhbar. Terpampang. Iya lah, Utusan pun nak melariskan jualan, nak atau tidak, terpaksa akur dengan kehendak majoriti pelanggan, apa kehendak majoriti pelanggannya? Anwar Ibrahim! Ini kita namakan strategi pemasaran. Ha Ha.

Awat cakap pasal Utusan asyik rasa nak gelak? Adakah Utusan akhbar humor? Setanding Majalah Ujang satu masa dulu? Saya rasa Utusan ke arah itu. Lucu. Tapi tujuan tulisan ini bukan untuk menggelakkan, tapi untuk mengingatkan kepada wartawan atau editor Utusan, perkara paling asas dalam pengajaran Bahasa, iaitu cara penggunaan kata nama khas.

Cikgu Bahasa ajar dulu, kalau tulis nama khas dalam laporan rasmi, contohnya Ali, Ah Chong, Ramasamy, mesti diletakkan huruf besar di huruf pertama pada nama itu. Mana boleh letak huruf kecil. Tak kan nak eja najib, mahathir dan tompok untuk tujuan laporan rasmi. Tak sopan. Nanti ada yang kena gam. Ha Ha.

Jadi disebabkan Utusan sudah jadi peminat fanatik Anwar Ibrahim, dan hari-hari tulis pasal Anwar Ibrahim, maka saya hairan, mengapa masih lagi ada silap? Rujuk gambar di atas. Mungkin itu protes wartawan barangkali, dah lelah asyik taip nama Anwar Ibrahim saja. Terlepas pandang mungkin, longgar jari menaip. Saya suka baca Utusan, hari-hari saya baca Utusan. Saya gemar Utusan talian kerana boleh dijadikan bukti hidup. Ha Ha.

Utusan, sila perbetul kesilapan demi pendidikan anak-anak murid kita di sekolah. Nanti payah, kalau anak murid tanya, Cikgu kenapa nama "anwar" ni tak huruf besar. Terpaksa Cikgu ceria bercerita kisahnya sejak demonstrasi Baling, ABIM, peristiwa 1998, Reformasi dan semuanya. Ha ha.


Yang Ceria,
YASIR TAMIZI