Tuesday, March 30, 2010

Kehebatan Genre "Roy"


Salam,

Kenal Roy? "Tidak mengapa makcik, pertolongan saya ikhlas."

Bukan Roy Gila-Gila Remaja lakonan Faizal Hussin, tapi ini Roy penyanyi terkenal di RTM.

Seawal pertandingan lagu 1Malaysia di Hot.FM dibuka, saya memilih untuk menggemari rentak lagu rancak Malaysia Satu nyanyian Faizal Tahir. Kawan-kawan berbeda pandangan, bagi mereka jauh enak lagu-lagu karangan budak amatur masa itu. Selera kita berbeda.

Apabila lagu Malaysia Satu jadi pemenang, lagu itu dimainkan dengan ligat. Dan saya rasa, kalau lagu ini dijadikan lagu propaganda di Sekolah-sekolah memang menarik dan pasti cergas murid-murid di awal pagi.

Sejurus selepas menang, saya kira dalam minggu-minggu selepas itu, saya sudah dengar lagu Malaysia Satu versi baru di RTM. Saya memang agak ketinggalan menonton tv, tapi kalau kita sedar, lagu untuk iklan facebook 1Malaysia menggunakan lagu Malaysia Satu versi baru RTM. Bunyi memang lain. Boleh meremang.

Kagum dan teruja, RTM berjaya meng"roy"kan lagu itu. Saya rasa kita semua maklum dengan penyanyi patriotik tersohor, Roy. Apa lagu sekalipun, kalau dapat ke anak tekak Roy, pasti Roy lagu itu. Cakap mudahnya, pasti jadi lagu patriotik ala RTM lagu itu.

Roy punyai ciri nyanyian tersendiri. Walaupun terdengar yang beliau penyanyi asal kumpulan Lefthanded sebelum Nash, tapi pengaruh kumpulan rock beliau tidak kedengaran lagi dalam nyanyian beliau. Cuba jugak bayangkan bunyi lagu Tiada Lagi Kidungmu dengan alunan Roy. Terutama tang korus. Pasti menyengat!

Roy tetap pendirian. Roy tidak terpengaruh dengan perubahan muzik yang mendesak corak muzik pendengar masa kini. Tiada rock, tiada nasyid mahupun hiphop bagi Roy, Roy teguh berdiri di depan Jalur Gemilang dengan lagu-lagu patriotiknya.

Ini yang buatkan saya terpesona, kerana tak ramai penyanyi, ataupun rasanya tak ada langsung yang berani terjun ke genre patriotik, menyebabkan Roy memonopoli industri lagu patriotik. Dato Ahmad Jais pun ada lagu Bahtera Merdeka saja. Tapi Roy? Roy cekap! Cekap memanfaatkan peluang. Sekarang, genre patriotik ialah POP bagi Roy.

Getaran suara Roy menjentik rasa hasad untuk ditiru, terutama di keraian perkahwinan. Kini, genre Roy sudah menguasai segenap pelusuk lagu-lagu patriotik. Syabas Encik Roy! Mengapa tidak genre Roy dijadikan salah satu genre mingguan untuk AF atau OIAM? Kan mencabar!

Sa~~~~tu Malaysia~~~

Kalaulah suara Roy melalui auto-tune, Jay Sean pun tumpas.


Ikhlas,
YASIR TAMIZI

Saturday, March 27, 2010

Hero Orang Melayu Yang PERKASA

Rumus yang menyimpulkan kelompok warga Asia memang cenderung kepada pengagungan wira atau "hero-worship", mengesahkan kegiatan orang Melayu, salah satu daripada bangsa Asia, sentiasa mencari-cari hero sebenar bangsa Melayu. Orang Melayu sudah lama menunggu kelahiran seorang hero Melayu.

Saya pernah dengar secara langsung teori bahawa hero Melayu sudah tiada semenjak 1998. Watak hero Melayu sudah terhapus sama sekali. Maka orang Melayu teruskan lagi pencariannya. Teori Hasmi Hashim nyatakan bahawa kehebatan watak hero Melayu itu tidak mampu ditandingi oleh pemilik watak hero Melayu itu sekarang. Teori ini lupa, hero Melayu yang didakwanya itu mendapat liputan media sepenuhnya pada masa itu. Hero Melayunya itu menjadi hero, bukan kerana wadah yang disertainya ketika itu, bukan kerana songkoknya, bukan kerana baju Melayunya, tetapi kerana prinsip menegakkan keadilan yang dibawanya sejak awal lagi. Hero itu menjadi hero, jauh sebelum terjunan politiknya. Hero itu sudah dinobatkan sebagai "Perdana Menteri" ketika waktu mudanya lagi, lama sebelum beliau masuk politik Melayu arus perdana.

Tapi hari ini, akhirnya orang Melayu sudah lega, orang Melayu sudah ada hero yang dicari selama ini, inilah Hero Orang Melayu!

Datuk Ibrahim Ali

Ibrahim Ali ialah Hero Melayu sepanjang zaman. Orang Melayu sayangkan Ibrahim Ali. Orang Melayu agungkan Ibrahim Ali. Orang Melayu akan berjuang di belakang Ibrahim Ali.

Ibrahim Ali ialah Hero Melayu! Ibrahim Ali ialah Pemimpin Akhir Zaman Melayu! Ibrahim Ali Al-Masih Melayu! Ibrahim Ali Penyelamat Melayu! Ibrahim Ali The Malay Messiah!?

Beginikah sosok rupanya Hero Melayu saudara-saudara? Cuba tengok balik gambar tu, berulang kali.


Ikhlas,
YASIR TAMIZI

Thursday, March 25, 2010

Kudis Retorik Makin Koyak: Khidmat Klinik Kesihatan & Hospital Kerajaan Wajib "Dirawat"

Gambar hiasan: Kulitnya dah cantik, isinya mesti mahu sedap.


Salam,

Masih ada ruang untuk "merawat" sistem penyampaian dan perkhidmatan di Klinik Kesihatan Kerajaan merangkap Anak Hospital Kerajaan.

Dua tahun lepas pada Mei 2008, selepas rombakan Kabinet Mac 2008, Menteri Kesihatan yang baru dilantik, Datuk Liow Tiong Lai, menetapkan tempoh menunggu 30 minit untuk rawatan biasa bagi pesakit luar di hospital kerajaan.

Setahun lepas, pada Januari 2009, bagi mengatasi masalah tempoh menunggu yang lama, Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai, memanjangkan waktu bekerja bagi doktor di bahagian pesakit luar di kebanyakan hospital kerajaan. Doktor yang bertugas akan disumbangkan elaun kerja lebih masa, RM80 sejam. Pada ketika itu, tinjauan dilakukan menunjukkan tempoh menunggu untuk pesakit luar mendapatkan rawatan, boleh mencapai 3 jam.

Januari 2010, ikhtiar terbaru Kementerian Kesihatan ialah memperkenalkan Sistem Peringatan Temu Janji dan Pengurusan (QMARS). Pemantauan tentang keberkesanan sistem ini akan dilakukan bagi mengetahui samada sistem ini mampu mengurangkan tempoh menunggu bagi pesakit luar. Pesakit akan mendapat kelegaan untuk menjalankan aktiviti lain sementara menunggu panggilan nombor giliran melalui SMS.

Semalam, 24 Mac 2010, saya mendapat luahan terkini pelanggan-pelanggan khidmat perubatan Kerajaan, tentang tempoh menunggu di Klinik Kesihatan Kerajaan yang mewajarkan "rawatan" menyeluruh dilakukan ke atas semua sistem "organ" penyampaian dan perkhidmatan pesakit luar di premis kesihatan Kerajaan. Tempoh menunggu untuk urusan sakit demam, dari pendaftaran seawal 8 pagi sampai selesai terima ubat dan Sijil Perubatan, tempoh masanya hanya, 2 jam setengah. Pelanggan yang hadir direlakan menunggu lama untuk menyelesaikan urusan sakit mereka.

Sistem penyampaian dan perkhidmatan di premis kesihatan Kerajaan masih di tahap akut, sakit teruk! Selepas 2 tahun Datuk Liow Tiong Lai menetapkan 30 minit tempoh menunggu, pesakit masih menanggung masalah sama; tunggu 2 jam! Kalau lah dapat kita bayangkan, kalau kita terpaksa menunggu kawan selama 2 jam? Tunggu bukan untuk urusan sakit, tapi urusan santai sahaja. Agak-agak apa rasanya? Boleh tahan? Sekarang, cuba bayangkan kita sakit, kita yang terpaksa menunggu 2 jam untuk selesai urusan sakit kita di premis kesihatan Kerajaan? Boleh?

Kalau masih tidak ada iltizam teguh dalam bentuk daya usaha yang cekap dan berkesan, dari pihak bertanggungjawab, "penyakit" khidmat perubatan Kerajaan ini akan membawa kepada "kematian" sistem itu sendiri dan sekaligus kita dan keluarga, yang menanggung beban, sedangkan kita pembayar cukai yang tegar secara langsung atau tak langsung.

Persoalan terakhir, tentang Sistem QMARS yang diperkenalkan awal tahun ini. Saya bawakan hal ini ke Sidang Ringkas Meja Bujur GPMS petang tadi, teman-teman (sdr. Buzar, Hazali, Syed, Zul) mencadangkan sistem ini selayaknya terlaksana di jabatan-jabatan Kerajaan yang lain, yang juga mempunyai masalah indeks menunggu yang tinggi. Kata-kata daripada Datuk Liow Tiong Lai seperti, "Selepas mendaftar, pesakit boleh pergi ke tempat lain dan datang semula ke klinik selepas menerima sms yang memberi peringatan mengenai giliran mereka berjumpa dengan doktor" adalah sangat tidak sesuai untuk khidmat perubatan di premis kesihatan Kerajaan. Logik mudah, mana pulak datangnya kederat orang sakit, yang pergi ke klinik kemudian bersiar-siar dulu, kemudian baru datang semula. Pelanggan khidmat perubatan ini ialah orang yang sakit, orang yang memerlukan rawatan, bukan orang sihat yang berkederat, bukan orang yang datang untuk buat Pasport.

Oleh itu, sempena Dewan Rakyat Bersidang sekarang, saya dan teman-teman, ingin sekali memohon kepada Ahli Parlimen Bentong merangkap Menteri Kesihatan untuk menjawab persoalan atau YB Lee Boon Chye, YB Mohd Hayati Osman dan YB Tan Seng Giaw(wakil rakyat PR untuk Kementerian Kesihatan), menanyakan soalan:

1. Sepanjang waktu 2 tahun penetapan "30 minit tempoh menunggu" di hospital Kerajaan diumumkan, sejauh manakah pencapaian? Berapa cepat tempoh menunggu paling baik yang dicatat dan berapa lama tempoh paling teruk dicatat? Dan berapakah purata tempoh menunggu? Kegagalan mencapai janji, jelas memaparkan kudis retorik yang makin koyak.

2. Senaraikan semua usaha Kementerian, bagi mencapai janji 30 minit tempoh menunggu, dan memohon tempoh menunggu 30 minit ini dijadikan kayu-ukur sebagai penentuan KPI setiap tahun bagi Kementerian Kesihatan. 2 tahun sudah berlalu, keadaan masih serupa. Kejayaan mencapai tempoh menunggu 30 minit mestilah di semua premis kesihatan Kerajaan di bandaraya atau di perbandaran.


Kita tak perlukan Pasukan F1 1Malaysia, RM1 bilion. Kita sangat perlukan khidmat perubatan yang terbaik untuk semua!


Ikhlas,
YASIR TAMIZI

Friday, March 19, 2010

Libur di Kota Darul Naim - BRI



Salam,

Sejak Ahad yang lepas, atas tugasan kerja bagi membantu kelancaran Forum Kendalian & Selenggaraan 2010 Bahagian Penjanaan, saya bersama Ahli Sidang Meja Bujur GPMS, bermukim selama 3 hari di negeri Kelantan Darul Naim, di Hotel Renaissance Kota Bharu. The Asian Renaissance? Syukur Alhamdulillah, forum yang bertemakan Beyond 2010: Business Expansion & Deregulation, berjalan dengan selesa, lancar dan yang paling penting, bermanfaat kepada seluruh warga. Syabas buat teman sekuncu, Sdr. Latif Razak dari Stesen Janaelektrik Tuanku Jaafar, yang dinobat sebagai pembentang terbaik.

Selesai urusan Forum yang memenuhi waktu dari pagi ke petang, malamnya kita isi dengan agenda ronda sambil mengalas perut. Makanan gorengan di Ardi Tomyam, Colek di PCB dan Jaimah Nasi Kukus di Bulatan Jalan Gok Kapur, sudah lebih memadai bagi selera kecil orang-orang Muda. Dipandu jalan oleh Syed dan aplikasi lokus dalam 2 matra pada Google Maps, pencarian lubuk makanan terpilih semakin mudah.

Rabu, sehari selepas Resolusi Kota Bharu dicapai dan Forum tamat, sedang seluruh rombongan kerja berangkat pulang ke Kuala Lumpur, saya bersama sdr. Abuzar, Zul dan Syed mengambil peluang yang tak berapa kali ada sepanjang hayat, untuk menyambung liburan bersama, di Kota Bharu dan negeri Kelantan. Kebetulan, Kenduri Walimah teman se-Manjung, Hanif, berlangsung di Pasir Hor pada Jumaat 19 Mac 2010. Nampak molek terencana, lalu kegiatan disusun padat dari Rabu tengahari hingga Jumaat.

Agenda libur bermula dengan makan-makan di Nasi Ulam Kampung Kraftangan, Kota Bharu. Makan ber-7 dengan lauk ayam goreng, sayur campur, keli besar goreng, gulai lemak ikan patin, budu dan tempoyak serta ulam-ulaman juga air bandung cincau 2 jag, dapat dinikmati dengan modal RM55. Jauh lebih enak berbanding Tupai-tupai di Jalan Bukit Petaling. Sesudah Kampung Kraftangan, kita bergerak ke Rumah Hinggap, tempat menginap sepanjang keberadaan di Kota Bharu dari Rabu hingga Jumaat. Terima kasih tak terhitung, atas kesediaan Syed dan isteri, membantu dan menyediakan tempat berteduh untuk kami, siap dengan dipandu melawat keliling Kelantan merentas Jajahan, dan semua ini atas ikhlas beliau dan isteri; semua ini gratis! (khidmat begini nyata istimewa dan khusus untuk pelancong naif seperti kami, terbaik! terima kasih lagi!) Di sebelah petang, Syed terus bawakan saya dan teman-teman ke Pantai Irama, di Bachok. Melalui Rumah Tok Guru di Pulau Melaka.

Aktiviti di Pantai Irama bermula jinak dengan menjamah ringkas colek dan menikmati deru angin kencang. Gelombang ombak yang besar, berjaya menghasut pengunjung, meredah ke tengah laut. Airnya cetek di pinggang, namun di sesetengah tempat ombaknya hampir 2 meter. Angan-angan berpapanluncur wajar tergambar. Dekat ke senja, tunaikan kewajiban sebaiknya, memacu pula ke rumah Mentua Syed, ibu dan ayah Fatin mempelawa makan malam di rumah mereka. Kesan pening berombak di Pantai Irama, dalam perjalanan, watak Bachok dan Jeli dimainkan ceria ala slot Pendekar TV3, tetapi masih tidak melampaui kelucuan munasabah.

Tiba di Rumah Mentua Syed, bersembang asal-usul dan saling terjawab persoalan Wakaf dengan Pakcik, makan malam pun tersedia untuk dibedal. Lauk pauk yang dahsyat selesai dihadam dengan baik dan tertib. Kenyang dan penuh; Makcik melancarkan hidangan penutup yang paling menang, yang tidak saya ingat namanya. Saya namakan, Sasugu-krim, Sagu-Susukrim-Gulamerah & Aiskrim. Dengan makan sedapnya, dengan kelelahan berombaknya, memang satu resepi untuk proses pra-tidur yang terbaik! Besoknya rencana lebih jauh, teringat sekejap soal Wakaf yang bukan bermaksud kampung tapi lebih kepada tempat persinggahan, lalu setibanya kita di Rumah Hinggap, tanpa beralasan, tetapkan titik asalan masing-masing dan semua pengsan seperti dibedil Gas Sarin. Selesai hari pertama.


Benar,
YASIR TAMIZI

Saturday, March 06, 2010

Halang Puaka Tengin; Penyucian Pilihanraya


Salam,

Menonton Berita Dunia jam 1105 malam tadi, sambil berjeda di ruang tv, mengingatkan saya pekikan dan laungan bermesej tatkala Perhimpunan Aman Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil.

Menariknya laporan berita tentang perjalanan pilihanraya di Iraq yang sedang berlangsung, memperlihatkan dengan jelas bagaimana pelaksanaan penggunaan dakwat kekal semasa pilihanraya.

Antara cadangan Bersih dalam Memorandum kepada Duli Yang Maha Mulia, Yang di-Pertuan Agong, Perkara 5h. menyebut penggunaan dakwat kekal (seperti yang diamalkan di India dan Indonesia). Penggunaan dakwat kekal ini dicadangkan bagi mengelakkan berlakunya pengundian yang berulang kali daripada seorang pemilih. Ini antara kaedah bagi menjamin, 1 pemilih, 1 undi. Kan selari dengan 1 Malaysia? (walaupun dah getik dengan slogan 1Malaysia tapi anggaplah ini pujukan mesra)

Hari ini kita lihat, Iraq, sebuah negara yang dijajah Amerika dan bergolak, sedang melaksanakan proses ini, bagi menjamin kebersihan pilihanraya yang sedang berlangsung. Pilihanraya yang berjalan mestilah bersih, dan nampak bersih.

Melihat kepada pembatalan penarikan balik subsidi petrol melalui akhbar hari ini, barangkali dengan tindak balas kita yang lega dan sedikit ceria? Pilihanraya Umum mungkin bakal berlangsung tidak berapa lama jika dirasakan suasana selesa. Namun saya melihat perkara ini sebagai, satu penundaan sahaja kepada pengumuman penarikan balik(nama manjanya: penstrukturan) subsidi petrol sahaja. Nantikan sekitar bulan April atau Mei.

Jadi harus bersedia dengan sebarang kemungkinan. Saranan Bersih satu masa dahulu wajar diwar-war semula sebagai ingatan. Dan cadangan supaya seluruh rakyat didaftarkan terus secara langsung sebagai pemilih apabila layak, sepatutnya dipertimbangkan dengan berat.

Terngiang-ngiang sorak-sorai 8 Mac 2008.


Ikhlas,
YASIR TAMIZI