
Salam,
Risenli, ai tengok, so a lot of demej yang jadi dekat awer Meley Lengguej. Ai not so heppi dengan benda ni, but yu no, as a Meley, ai am veri konsen baut mai Lengguej. Ai orang Melayu, so sape yang nak rosakkan or buang Bahasa Melayu dari negara ai, ai cukup diskomfert oke? And Ai akan lawan. Yu jangan buang Meley Lengguej or Jawi Raiting, bikos det is mai root.
Saya penat menulis perenggan di atas. Saya cuba untuk menyelami penulisan bangsa kita 10 ke 20 tahun lagi. Kenyataan ini semakin terlihat dalam kehidupan seharian yang melibatkan urusan rasmi. Dan apa yang akan terjadi akan datang, digambarkan dengan hari ini.
Hari ini, kita cukup pantang, kalau-kalau Bahasa Melayu itu hendak dihapuskan, misal kata, besok ada seorang bangun dalam media, dan teriakkan, Bahasa Melayu sudah tidak relevan, Bahasa Melayu lembik dan lucu, Bahasa Melayu mesti diletak tepi, maka pastinya ramai anak-anak muda yang telah disuntik, berteriak menentang perseorangan tersebut. Begitu juga, apabila ada perseorangan yang bangkit mahu membuang Tulisan Jawi, maka juak-juak kita bangun sekali lagi, terus berdendam dengan perseorangan itu. Tapi apakah rasa itu tulen? Atau semata mahu melihat Bahasa atau Tulisan itu wujud, tapi hanya di muzium.
Khamis lepas, saya dan Syed ke LHDN, Syed bergegas mahu menyelesaikan urusan cop setem beliau dan saya juga teman-teman GPMS menemaninya. Sedang saya menonton keganasan kes samun di tv, beliau menunjukkan kepada saya, kaunter pelanggan yang dikhaskan untuk kerja-kerja kelulusan. Kaunter itu dinamakan kaunter "ENDOSMEN". Saya terus SMS 'penguatkuasa DBP cabang GPMS' Sdr. Hazali, untuk makluman beliau. Selesai urusan, kami berbahas, apa terjemahan terus perkataan ini? Kita jumpa perkataannya, kelulusan atau pengesahan. Ada rupanya perkataan dalam Bahasa Melayu. Dan kita terus kecewa, dengan pembongkaran beberapa lagi perkataan-perkataan baru yang telah menggauli Bahasa Melayu itu, tanpa rela penggunanya.
Sdr. Hazali, baru-baru ini membangkitkan isu perkataan "DISCAJ" yang digunapakai dengan meluas dalam bidang Perubatan. Pesakit yang sudah dibenarkan pulang dari perhatian wad, dipanggil discaj. Ini penggunaan rasmi di hospital. Seolah-olah tak wujud perkataan "PULANG" dalam Bahasa. Mengapa hal ini terjadi? Mengapa tidak ada kepekaan bahasa dalam jiwa setiap warga dalam Pengurusan Hospital itu? Tetapi cuba kita tampar minda mereka, dengan berkata yang Bahasa Melayu sudah tidak relevan, lucu dan mesti dipinggirkan, maka pasti bangun mereka menentang. Entah apa yang ditentangnya, sedang dalam jiwa sendiri tak ada rasa peka pada soal Bahasa. Mengapa dalam kecergasan kita melahirkan ribuan Doktor, melahirkan ribuan Jurutera, melahirkan ribuan Akauntan, tidak kita pupuk sekali semangat kenegaraan, semangat bahasa dan semangat jatidiri?
Dulu, sewaktu berita kenaikan bayaran tambahan untuk bas ekspres, perkataan "SURCAJ" digunapakai melata. Seluruh akhbar dan laporan, menggunakan istilah ini seolah-olah tiada perkataan dalam Bahasa. Sudah lah digauli terus, sebutannya pun digauli Inggeris. Surcaj itu tidak disebut sebagai SUR-CAJ tetapi disebut Ser-caj sebijik sebutan Inggeris.
Lagi pembongkaran perkataan yang telah digunakan dengan rasminya di Parlimen sejak beberapa tahun lepas, iaitu perkataan "BAJET". Ini bukan perkataan yang sesuai untuk hal rasmi. Bajet bukan Bahasa Melayu. Bahasa Melayu untuk budget ialah "BELANJAWAN." Ini lah rogolan Bahasa peringkat tertinggi dalam negara kerana ini melibatkan pembentangan perbelanjaan negara secara rasmi di Dewan Rakyat, yang Bahasa Rasminya Bahasa Melayu. Mengapa tidak dipakai perkataan "BELANJAWAN"?
Apabila saya dan teman-teman, memeriksa Kamus Dewan, sudah banyak perkataan-perkataan Inggeris ini didaftarkan sebagai Bahasa Melayu walaupun terjemahannya jelas wujud. Tuan-tuan boleh periksa, perkataan seperti "SOFISTIKATED" ada dalam Kamus Dewan dan terjemahannya "CANGGIH." "KOMITED" itu "BERSUNGGUH." Mengapa hal ini terus dibiarkan? Mengapa ada penggunaan rasmi kepada perkataan-perkataan penjajah ini? Mengapa mahu membiarkan Bahasa Melayu kita dijajah dan digasir dengan unsur Penjajah tanpa merujuk dulu kewajarannya. Kita bukan bicara soal istilah dalam jurusan tertentu. Kita bicara soal perkataan yang sudah ada terjemahannya.
Dan yang terakhir untuk pengetahuan saudara saudari yang manis lagi kacak ini, cuba cari dalam Kamus Dewan, sudah ada perkataan "TERAI". Apa maksud perkataan "TERAI"? Maksudnya tuan-tuan, sebijik maksud bahasa Inggerisnya, MENCUBA!
Perkara ini, kita tidak mempersoalkan istilah-istilah dalam jurusan professional tertentu yang sukar hendak difahami atau digunakan jika ia diterjemahkan. Soal itu kita cukup faham, namun bukan alasan untuk tidak menggunakan terjemahannya. Tekad mesti kuat. Jatidiri mesti ada. Persoalan kita ialah, mengapa perkataan-perkataan biasa yang ada terjemahannya, yang mana pasti boleh difahami, tidak mahu digunakan, tidak mahu dipakai, malah dirobek-robek Bahasa Melayu sehingga nampaknya seperti Melayu tapi isinya sudah Inggeris. Luarannya sambal tumis, tapi isinya keju. Kulit sawo matang, perasan kulit putih merah freckles(bintik-bintik). Kan pening?
Kekecewaan ini semakin dirasa hari ke hari. Bahasa Melayu itu makin dijajah Inggeris. Dan penjajahan ini bukan dari bangsa Inggeris, tapi dari Bangsa itu sendiri. Satu bangsa yang telah dimajukan dari sudut kemahiran professional dan bertauliah, dalam pada masa sama telah dimundurkan dari sudut semangat bahasa dan jatidirinya.
Kita wajib peka dalam soal Bahasa kerana akhirnya mahukah negeri ini, kita lihat seperti jiran kita, yang mana rakyatnya, tak kira Melayu atau Cina atau India, sudah tidak lagi bertutur dalam Bahasa Ibunda masing-masing, sudah tidak lagi menjiwai kebudayaan dan keseniaan bahasa ibunda, lalu akhirnya jatidiri mereka itu berpaksikan Bahasa Inggeris. Bekas Perdana Menteri Singapura, Tuan Lee Kuan Yew sendiri terpaksa berkempen kepada rakyatnya supaya kembali menghargai Bahasa Ibunda dan kepentingan tulisan Mandarin, setelah puluhan tahun beliau menggasak minda rakyatnya mengagungkan Bahasa Inggeris.
Kita tidak mahu hal terjadi kepada kita, kita harus belajar dari kesilapan orang lain. Itu membuatkan kita lebih baik hari ini daripada semalam. Intinya kita mesti mengambil iktibar dari pembacaan kita, bukan sekadar membaca dan melaungkan semula pembacaan.
Ini bukan masalah Dewan Bahasa & Pustaka sahaja, cara penggunaan Bahasa dalam urusan rasmi peringkat tertinggi juga penyumbang utama kepada permasalahan Bahasa.
"GPMS" itu lebih luas daripada Generation Plant Maintenance System.
Jongang-jongang-jongang. Oh Halimah jongang.
Ikhlas,
YASIR TAMIZI





