
Salam,
GPMS ada tugasan kerja 3 hari di Stesen Janaelektrik Gelugor 2 minggu lepas. Saya, Hazali & Mali (Bos merangkap Akmal Halimy Haron) bergerak melalui Lebuhraya Utara Selatan, dan singgah sekejap di R&R Tapah untuk makan tengahari. Petang nanti sampai, terus masuk ke Stesen. Kelebihan tidak memandu sepanjang pergi dan balik, dimanfaatkan untuk menatap puas pemandangan & Nahdah Asia.
Mutu rasa bagi juadah yang terjual di R&R tidak berada pada par. Masam manis pedas itu ada, tapi satu kesimpulan rasa yang sedap itu belum ada, belum pernah ada, kalau tidak pasti ada terdengar nama khas seperti Mee Kari R&R Tapah, Nasi Lemak R&R Ladang Bikam dsb atau saya yang tidak tahu? Saya yakin lebih banyak lagi kedai-kedai makan yang enak di seberang tol sana, tapi kena bayar tol dulu pastinya. Kita tidak mahu bercakap dari sudut makanan sahaja. Itu sebahagiannya.
Sedang makan, saya usulkan ke teman-teman, soalan, kalau tak ada tol macam mana? Mesti kita jumpa makanan yang jauh lagi sedap. Soalan & penyata yang merakyatkan selera perut. Maka kita bersidang. Meja Bujur GPMS dibuka di meja makan R&R Tapah. Ahli Majlis Sdr. Hazali & Sdr. Mali. Kita bahas.
Melihat Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) yang menyediakan tol sebagai bayaran upah membina jalan sepanjang 772 km yang siap dibina tahun 1995 dengan 65 plaza tol, kita membayangkan jika tiada tol dan membandingkan dengan lebuhraya yang tidak ber-tol.
Pengguna PLUS biasanya berhenti di R&R untuk solat, makan, minum, berehat, nyahtinja & mengisi minyak. Jika tiada Tol & tiada R&R, pengguna PLUS tidak akan teragak-agak singgah di pekan-pekan berdekatan susur keluar untuk aktiviti ini. Ini mengurangkan perbelanjaan PLUS untuk membina dan menyelenggara R&R. Tiada keperluan sebuah R&R. PLUS jimat.
Apa terjadi apabila semua pengguna PLUS singgah di pekan terdekat? Pekan-pekan ini akan hidup, kerana aktiviti jual-beli rancak berjalan. Pekan yang sudah lesu, perniagaannya akan kembali tangkas, dengan kedatangan pengunjung sekaligus menjana pendapatan tempatan. Masyarakat di pekan akan mendapat untung dan kita akan mendapat perkhidmatan yang terbaik hasil daripada persaingan sihat yang lebih luas. Banding dengan mutu makan & perkhidmatan di R&R yang mana persaingan perniagaan di R&R yang ada unsur monopoli oleh PLUS, terhad dan tidak luas. Apabila aktiviti ekonomi rancak berjalan di pekan-pekan kecil ini, maka kita boleh nampak Kek Kekayaan itu teragih melata dengan semulajadi.
Ini lah yang terjadi sejak zaman purba sampai hari ini. Apabila musafir-musafir yang jauh berkelana berhenti rehat di satu kawasan, maka akan muncul peluang perniagaan. Semakin cekap masyarakat di kawasan itu menyediakan jawapan kepada permasalahan musafir ini, maka kawasan itu akan semakin digemari, dan cerita ini akan tersampai ke musafir-musafir lain melalui pengiklanan semulajadi. Contohnya: "Tuan hamba, hamba mencari tempat untuk menjahit luka di kaki hamba, al-maklum bertempur dengan Harimau Berantai" maka akan jawab musafir lain, "Tuan hamba boleh ke Pekan Dantai Palam, di sana ada Tabib di-Raja, beliau memang cukup masak dengan luka-luka Harimau Berantai, hanya 10 tahil perak, tuan hamba akan pulih dengan segera." Ini contoh.
Hal ini boleh dilihat pun pada zaman sekarang. Boleh cuba tengok di Jalan Lingkaran Tengah 2 (JLT2 atau MRR2). MRR2 tidak ada tol. Sila perhatikan, perkembangan pekan-pekan kecil di sisi jalan itu. Boleh tengok dari Sg. Buloh ke Kepong ke Gombak ke Taman Melawati ke Ampang sampai ke Sg Besi, semua pekan-pekan di tepi MRR2 meriah dengan naiknya Pusat Perniagaan dan Perumahan Baru. Nak makan singgah Taman Melati, nak isi minyak singgah ESSO di Bukit Antarabangsa, nak solat singgah Masjid Taman Melawati, nak beli barang kering dapur singgah TESCO Ampang & TESCO Cheras. Ini kesan daripada pembinaan lebuhraya yang tidak mengenakan tol. Kerancakan aktiviti ekonomi yang terzahir.
Tengok pulak di Lebuhraya Persekutuan sebelum tol RM1.10. Pekan-pekan di tepi lebuhraya sangat meriah. Sampai tak cukup-cukup ruang menampungnya. Sampai dibawak Jambatan Pulau Pinang ke sini. Petaling Jaya hidup daripada MPPJ jadi MBPJ, Subang Jaya hidup, Kelana Jaya dapat tempias dan Shah Alam sememangnya. Nak makan singgah SS15, nak solat pergi Masjid di UM, ada yang singgah gereja di PJ, hibur dan libur di Sunway Piramid Berhala Singa yang tak jauh pun dari Lebuhraya Persekutuan.
Apabila kita melupuskan tol, sepertimana rajinnya kita melupuskan subsidi gula, subsidi minyak masak, subsidi minyak petrol & melupuskan enjin jet, hasilnya Kek Kekayaan dapat teragih dengan semulajadi. Tak perlu lagi hairan mengapa bandar satelit di pinggir KL maju, mengapa pekan Sungkai tak maju? Kita boleh mengurangkan kebergantungan masyarakat tempatan kepada kepadatan Bandaraya untuk mencari peluang kerja, kerana peluang kerja yang banyak sudah terbuka di pekan masing-masing kesan daripada kerancakan ekonomi di tempat masing-masing tadi.
Zaman dulu kala, kalau ada samseng tengah jalan meminta cukai keselamatan, pastinya jalan itu tidak lagi diminati, pasti pengguna jalan menukar laluan dengan menggunakan tepi jalan atau jalan lain.
Untuk makluman, melalui satu Memorandum, MCA Selangor pernah mencadangkan pada tahun 2008, supaya Kerajaan membeli syarikat konsesi tol PLUS. Kerajaan yang sudah pun ada pegangan 74% PLUS, boleh membeli baki saham selebihnya yang berharga RM3.67 bilion untuk memiliki penuh PLUS. Pemilikan penuh PLUS, membolehkan pelupusan tol terlaksana.
Daripada menaja Pasukan F1 1Malaysia Lotus yang bernilai RM 1 bilion, belum termasuk kos selenggaraan dan pembinaan pusat latihan & kemudahan di Sepang, lebih baik... sambung sendiri.
Kesimpulan Sidang Meja Bujur GPMS bersama Sdr. Hazali & Mali: Lupus Tol, Kek Kekayaan Teragih Semulajadi.
Mohon dibahaskan ke umum.
Ikhlas,
YASIR TAMIZI






