Sunday, December 27, 2009

Mengoptima Muatan Beban Stesen Hidro Elektrik Bakun: Mengapa Tidak ke Sabah?



Salam,

Di sebalik keriuhan Dewan Rakyat dengan bahas Belanjawan 2010, persoalan yang baik muncul di Dewan Negara berkenaan pembekalan elektrik dari Stesen Hidroelektrik Bakun 2400MW(Megawatt). Tarif rumah kita pakai kWj(Kilowatt-jam).

Pemula kata, samada perasan atau tidak kita mungkin biasa sudah terlihat menara talian penghantaran elektrik yang berada di sekeliling Kuala Lumpur dan di bukit-bukit sepanjang perjalanan di lebuhraya. Merata dan Melata mata memandang.

Melihat laporan KeTTHA 2008, projek kabel dasar laut ini mungkin menelan belanja RM10 bilion bagi menghantar bekalan elektrik dari Bakun ke Semenanjung & jarak kabel dasar laut yang akan direntangkan itu adalah sepanjang 676km.

Soalan yang terbit di Dewan Negara pada 21/12/2009 ialah:




6. Datuk Maijol Mahap minta Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air menyatakan, kenapakah hidro tenaga di Bakun akan membekalkan tenaga ke Sarawak dan seluruh Semenanjung Malaysia tetapi tidak ke Sabah?

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air [Puan Noriah binti Kasnon]:
Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat perancangan untuk menyalurkan bekalan elektrik dari Projek Hidro Elektrik Bakun ke Semenanjung merupakan salah satu perancangan jangka panjang bagi memenuhi keperluan bekalan elektrik di semenanjung, serta mengurangkan kebergantungan kepada sumber bahan api fosil. Pada masa ini Tuan Yang di-Pertua, bahan api fosil membekalkan lebih daripada 90% keperluan bekalan elektrik di Semenanjung Malaysia.

Kebergantungan yang begitu besar kepada bahan api fosil akan mendedahkan Semenanjung kepada risiko perbekalan serta harga bahan api yang tidak menentu. Ini menjejaskan keselamatan bekalan elektrik bagi Semenanjung Malaysia. Oleh itu kerajaan telah membuat keputusan untuk
menyalurkan bekalan elektrik dari Projek Hidro Elektrik Bakun ke Semenanjung bagi menjamin bekalan yang mencukupi, berdaya harap dan menawarkan harga yang berpatutan kepada pengguna.

Tuan Yang di-Pertua, faktor lain yang menyebabkan kerajaan memutuskan supaya bekalan elektrik dari empangan hidro elektrik Bakun disalurkan ke Semenanjung adalah juga seperti
kos bagi menyalurkan bekalan elektrik dari Projek Hidro Elektrik Bakun ke Sabah adalah begitu tinggi disebabkan permintaan bekalan elektrik yang rendah di negeri tersebut iaitu dalam lingkungan 300 megawatt sahaja. Oleh itu, pembinaan stesen-stesen jana kuasa yang lebih efektif dari segi kos adalah lebih wajar dipertimbangkan bagi memenuhi permintaan elektrik di Sabah khususnya di kawasan Pantai Timur Sabah. Pembinaan talian penghantaran yang jauh dari Projek Hidro Elektrik Bakun ke Sabah serta merentasi kawasan yang mempunyai muka bumi yang begitu mencabar turut memberi impak terhadap kos penyaluran bekalan elektrik dari Projek Hidro Elektrik Bakun ke Semenanjung. Dalam perancangan pembangunan tenaga elektrik berasaskan sumber hidro bagi negeri Sabah kerajaan telah mengenal pasti dua stesen janakuasa hidro yang berpotensi iaitu di Ulu Padas dan juga di Liwagu sebagai salah satu usaha untuk mengatasi masalah bekalan elektrik di Sabah. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.


Secara peribadinya, kakak saudara saya, Kak Ima, mengajar di Kunak, Sabah. Saya simpati dengan keadaan di Sabah. Dalam membangunkan bandar, dalam usaha kita menarik pelabur, dalam persediaan kita dalam meniaga, kemudahan asas adalah yang terpaling penting. Bagaimana orang niaga nak bina kilang dekat Sabah kalau mereka dapat tahu kemampuan bekalan elektrik Sabah itu terhad dan bekalannya tak stabil, tak berdayaharap dan kerap terputus dalam setahun? Kalau nak meniaga restoran kena ada air lah, kena ada letrik lah. Kalau bekalan air letrik putus-putus amacam? Yakin ke tidak nak meniaga?



Belanjawan 2010, jelas memperuntukkan perbelanjaan 5 billion oleh TNB di bawah tajuk Menyediakan Persekitaran Mesra Pelanggan, perkara 27 secara khusus menyentuh soal memperkukuh sistem penghantaran dan pengagihan di Sabah. Pembinaan talian menara penghantaran dari Bakun ke Sabah jugak wajar diambil kira sebahagian daripada usaha memperkukuh sistem penghantaran ke Sabah.


Ikhlas,
YASIR TAMIZI

Friday, December 25, 2009

Tekad Maal Hijrah 1431 dan Tahun Baru 2010 Masehi: Melaksana Yang Direncana


Salam,

Tahun Hijrah sudah masuk ke tahun baru. Minggu hadapan, giliran Tahun Masehi pulak. Tahun baru Hijrah masuk pada waktu Maghrib, tahun baru Masehi masuk pada waktu tengahmalam. Tidak mengira mana-mana tahun baru pun, setiap kalinya, mungkin ada disusuli dengan tekad dan azam yang padu untuk kesekian tahun berikutnya, mungkin jugak ada azam lepas yang sudah hancur dan mengecewakan tanpa pencapaian pun.

Apa matlamat untuk tahun depan? Eloklah jika azam ini berkait tahap kecemerlangan keperibadian dan bukan lah semata-mata ke arah kemewahan benda.

Kita punya azam yang berbeza. Azam boleh bermacam azam. Azam Kasim pun boleh. Saya jugak punya azam dan tekad tersendiri. Setelah kian tahun, azam dikuatkan tidak mengira waktu dan tarikh, boleh kiranya diambil sempena "2 tahun baru" ini, tema tekad dan azam yang sentiasa relevan ialah Melaksana Yang Direncana.

Banyak kesilapan dan kelemahan yang tetap berlaku dari sudut pelaksanaan walaupun perencanaannya hebat dan megah. Kita ada bermacam rancangan, rencana, pelan, buah fikiran tetapi semuanya gagal jika pelaksanaannya longgar. Ini tak payah cerita hal negara, tengok diri sendiri sudah. Muhasabah. Cermin diri.

Misalnya kita azam tahun depan, nak beli buku banyak-banyak, nak baca buku banyak, nak beli alat sukan, simpan resit bayar zakat atau mudahnya nak kumpul resit-resit sekali untuk dapat potongan cukai, tapi resit tak simpan, resitnya hilang, pengurusan resit pun lemah dan longgar, maka, habis lah apabila diperiksa nanti. Al-Padanmuka. Tak melaksana apa yang direncana.

Melaksana Yang Direncana ini serupalah macam Cakap Serupa Bikin, Buat-lah! Sembang Lebat Tak Guna, Jangan Cakap Kosong! Tak Payah Nak Janji Manis.

Jadi secanggih mana pun azam dan tekad kita hari ini, bila Rencananya sudah menarik, yang dijaga ialah Pelaksanaannya. Dan kita, bangsa yang ada agama, mesti mulakan Pelaksanaan dengan Doa, menyerah diri kepada Allah, mohon dipermudahkan, dan baru mulakan kerjanya. Selesai kerja, mohon doa, mintak menjadi sebaik-baiknya dan sesungguhnya Allah Sahaja Yang Maha Mengetahui Apa Yang Baik Untuk Kita. Hajat kita, supaya dari awal kerja hingga selesai kerja kita itu, semuanya terbimbing, dengan izin Allah Taala.

Isinya. Doa. Melaksana Yang Direncana & Doa.

Salam Maal Hijrah 1431 & Selamat Tahun Baru 2010.


Benar,
YASIR TAMIZI

Keling bukan Pariah


Salam,

Apa makna Keling? Kita buka ruang, letak lah definisi Keling masing-masing.

Masa sekolah rendah dulu, cukup minat cakap Keling, kalau ada kita berkawan dengan kawan berketurunan India, kita akan dikatakan berkawan dengan Keling, seolah-olah diejek dan hasil suasana begitu, pergaulan antara keturunan bangsa ini jarang terjadi dengan manis. Dan kita pun ada dengar, teman-teman keturunan India tak gemar dipanggil Keling.

Masuk sekolah menengah di SEMERBAK, Tingkatan 4 Bestari. Masa itu, saya pelajar baru kelas 4 Bestari. Saya duduk di sebelah Faizal, ada Mubarak, Sufi, ada Mukhlis, ada Christ dan ada Maheswaran. Saudara Maheswaran ini teman saya di Tingkatan 4 Bestari. Latar belakangnya, beliau seorang yang kuat beragama, punya nilai-nilai akhlak dan moral yang baik, dan beliau tekun berulang-alik ke kuil di Batu Caves. Pernah saya terserempak dengan Maheswaran di pintu pagar Sekolah, masa itu waktu Maghrib, saya sedang pulang dari padang, dan Maheswaran berjalan kaki melalui kawasan Sekolah, berjalan ke arah tempat bas di tepi Masjid Biru. Saya gurau-gurau dengan Mahes, "Mahes, rajin sangat ni pergi sekolah Maghrib-Maghrib?" Dia pun segan-segan rendah diri cakap, "Nak pergi Batu Caves, sembahyang."

Mahes punya cara percakapannya, lembut, sopan dan gemar senyum sambil bergurau. Jadi satu hari, saya tanya Mahes pasal kenapa orang India(Hindu maksud saya) tak selesa dipanggil Keling? Satu soalan yang saya rasa kurang senang untuk bertanya tapi penjelasan ini perlu untuk saya sendiri. Maka Mahes jawab, "Sebenarnya tak ada apa pun panggil Keling, tak patut pun marah, aku tak ada rasa apa." Saya cakap, "Keling ni kasta paling rendah dalam masyarakat India ke?" Dia terangkan, "Tak ada lah, Keling bukan kasta paling rendah, Keling ni sebenarnya orang panggil India Muslim tu Keling lah."

Orang India Muslim itu sebenarnya Keling lah. Orang yang salah guna nama Keling tu. Itu pasal bila pikir-pikir, rupanya patut lah di Pulau Pinang ada satu Masjid yang namanya, Masjid Kapitan Keling. Kalau Keling itu nama kutukan atas orang India-Hindu, atau nama kasta dalam masyarakat India, tak kan lah diletakkan pada nama Masjid. Mau ke kita letak nama Masjid, Masjid Otai-Taiko pulak kan? Jadi bila kita cuba kait-kait, maka saya peganglah pada takrifan Keling itu sebenarnya India-Muslim. Rupanya yang teman-teman India sensitif tu Pariah, bukan Keling, dan sekeliling yang meracun tentang Keling Pariah ini jelas merosakkan hubungan saudara zaman kanak-kanak, yang sepatutnya belum kenal erti rasis.

Kemudian saya ada cakap lagi, "Mahes aku tengok ko rajin pergi Kuil, ko punya kasta macam tinggi-tinggi punya je." "Oh, keluarga aku kasta Brahmin, jangan bagitau sapa-sapa, kasta Brahmin ni macam golongan Sami lah, Bangsawan lah." Mahes ni memang punya nilai moral yang baik. Jelas kita tengok, apa keturunan sekalipun, Cina ke India ke Punjabi ke, bila rapat dengan agama, amalkan nilai moral & akhlak, ada rasa takut dengan Tuhan, setia dengan undang-undang, maka inilah titik persamaan kita dan di sinilah datangnya persaudaraan sesama insan seperti yang dituntut oleh Saidina Ali K.W. iaitu Akhukum fil Insaniah, persaudaraan insaniah. Begitulah keterbukaan dan konsep persaudaraan dalam Islam yang patutnya diamalkan, bukan perkauman sempit yang memecah yang tak sudah-sudah.

Cerita pasal konsep persaudaraan dalam Islam, cerita pasal YB Khalid Samad yang memang terkenal dengan keterbukaan beliau. Tadi dalam jalan pulang, saya melalui Tabika Kemas Kg. Changkat, saya nampak ada ceramah Pakatan Rakyat di Tabika Kemas tu, Tabika Kemas ni selalu kait dengan UMNO je, jadi singgah sekejap tengok dan dengar apa terbaru. Ini bukan ceramah besar pun, takat peringkat cabang ranting je. Yang hadir YB Nik Nazmi ADUN Seri Setia dan YB Khalid Samad AP Shah Alam. Kecik aje Dewannya, ada lah orang-orang kampung yang datang, dalam 50-60 orang. Mulanya, saya ke dalam Dewan, mendengar sedikit sebanyak perkongsian cerita oleh YB Nik Nazmi, kemudian saya keluar, dan bersembang dengan pembantu YB Khalid Samad, Encik Zainal. Saya tanya apa cerita kereta YB hilang? Dia pun cerita panjang lah, kereta tu baru lagi, Fortuner, baru pakai 4 bulan, tak puas lagi pegang stereng katanya. YB Khalid Samad dalam Dewan Tabika Kemas pun ada cakap pasal kereta nya hilang dekat pejabatnya. Cakapnya tu memang memujuk hati yang resah kehilangan kereta, katanya, "Apa nak hairan kereta hilang. Kereta memang ada enjin tayar siap, tinggal nak gerak je. Dalam negara kita ni, enjin kapal terbang yang tak boleh gerak tu pun hilang." Gelak la orang yang hadir.

Selesai semua dalam pukul 12, kita salam dan kita pulang. Kita ni tak pandai bekerja dengan Parti, jadi menyatakan sokongan dengan meramaikan majlis pun jadi. Paling kurang, ada nampak orang muda dekat situ.

Persaudaraan Sesama Insan.
Ontre Kulam Oruvane Thevan.
Si Hai Zhi Nie Jie Xiong Di.


Ikhlas,
YASIR TAMIZI

Friday, December 11, 2009

Makcik TEKUN Yang Jual Kerepek


Salam,

Pernah dengar kan TEKUN NASIONAL? 

Tapi pasti kita biasa dengan Makcik Tua yang membawak 2 bungkus plastik besar yang ada bungkusan kerepek pelbagai jenis dari kerepek pisang ke kerepek pedash. 

Tahun 2008, semasa saya bertugas di Manjung, saya ada berbual dengan beberapa orang makcik yang menjual kerepek ini di kedai-kedai makan. Hasil bual santai bersama makcik sambil membelek kerepek kegemaran, sempat saya bertanya tentang asal usul makcik dan siapakah majikan makcik tersebut. Seingat saya, masa itu saya dan Zul sedang menunggu makanan di Ramli Medan Selera bersama Ijal dan Kecik. Kita dapat tahu yang majikan makcik ini ialah Tekun Nasional, dan sejak itu saya kenal makcik-makcik ini sebagai Makcik TEKUN. Makcik TEKUN jugak pernah menawarkan diri dan membuka peluang niaga untuk bekerja dengan saya dan Zul sebagai pengedar kerepek-kerepek. Segan rasanya.

Jadi, rata-rata kalau kita tanya setakat ini, berasal dari mana Makcik TEKUN, jawapannya di kawasan sekitar Barat Selangor, daerah-daerah penanaman padi dan menghadap laut seperti Sabak Bernam, Sg. Besar, Sg. Burung, Tanjung Karang, dan daerah-daerah di Barat Selangor. 

Seminggu sebelum Majlis Perkahwinan Faizal-Sarini, saya bersama Faizal Rashid dan Izzudin Sidek sempat bersidang dan berbual sambil bertukar pandang seperti kebiasaannya, sidang di Boraque Kopitiam, Danau Kota. 

Penjual DVD cetak rompak pastinya akan menyinggah menawarkan filem terbaru, kita sebagai pemuaturun yang tegar, hanya membelek tajuk untuk disedut tika lapang nanti. Dan Makcik TEKUN jugak ada di sekitar sambil menjual produk kerepeknya. Saya, Faizal dan Izzudin memang ada minat tersendiri dengan kerepek sejak dari Tingkatan 2 lagi. Kalau boleh kita imbau balik, Surau SEMERBAK waktu petang, 1998, solat Asar jemaah anjuran sekolah, ada makcik yang jual kerepek jugak di Surau, dan kita masih ingat bait-bait lama makcik itu, "Nak~, kerepek tinggal dua~". Tanda penghabisan. Cukup imbas kembali, berbalik kepada kisahnya tadi, maka kami pun mengambil 3 bungkus kerepek pelbagai rasa dengan harga RM10. Saya masih berhutang RM3 dengan Faizal untuk kerepek pedash mungkin.

Seperti kebiasaannya, kita bertanya pada Makcik TEKUN bagi melengkapkan tinjauan dari mana asal Makcik TEKUN, "Makcik, asal mana makcik?" Makcik menjawab Sungai Besar. Oh jauh tu makcik? Jauh. Kita cuba tambah ramah, "Makcik asal Sungai Besar? Kawasan Khir Toyo la ni?" Lalu Makcik TEKUN bertukar rupanya seperti mengerut dan balas, "Makcik tak nak dengar nama tu, Khir Toyo?" Saya tanya lagi, "Makcik tak ada terjumpa dia dekat mana-mana ke?" dan Makcik TEKUN balas, "Makcik tak pernah jumpa dia."

Lepas Faizal hulur wang 10, Makcik TEKUN tersebut meninggalkan kami. Kami makan kerepek tadi, sambil kehairanan dengan ketegasan dan nada amarah Makcik TEKUN tadi. Betul punya marah Makcik TEKUN ni?

Sambil hairan sambil ketawa kecil kemudian terbahak-bahak dan terkokol tersangkut kerepek bukan pada Makcik TEKUN, tapi nama tadi.

Jauh Makcik TEKUN ni dibawak untuk jual kerepek-kerepek ni. Kalau boleh tak mahulah hampakan Makcik TEKUN. Kalau minum di Pekan Lama boleh, Boraque boleh, Sudut Memori boleh, Kopi-O RM3.20 sanggup teguk, apalah sangat RM10 untuk 3 bungkus kerepek. Sedap pun sedap. Layan dan syok sambil minum dan sembang. Rasa macam di rumah sambil nonton televisyen pulak rasanya.

TEKUN NASIONAL (Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga) Produk Bumiputera. 


Ikhlas,
YASIR TAMIZI

Tuesday, December 08, 2009

Perutusan buat Yang di-Raikan Raja Duahari Ashabul Shekh Faizal Ar-rashid & Permaisuri-nya Sarini di-Sisi


Salam,

Pertamanya, ampun maaf teman pohon, atas kekurangan, jangan cantas kepala patik.

Tercatit sudah di Luhmahfuz, walau apa duga dan cabar yang cuba menyinggah, pasti terketis ke tepi, berkahwin lah sudah teman saya, Faizal Rashid dan Sarini Ramli pada 4 haribulan 12 bertahun Al-Maseh 2009.

Saya kenal Faizal sejak di Tingkatan 1 Kesatria. Sarini pulak, saya kenal kemudian di Tingkatan 4. Empat Cendekiawan. Kalau boleh saya ingat lagi, seperkenalan saya dengan Faizal, sejak 1997 sampai ke 2009 ni, saya boleh tolong sahkan kepada Sarini bagipihak Faizal, yang beliau bujang, bujang trang tang tang, belum berpunya atau terpunya sebelum tahun 2001.

Faizal yang sepertimana dikenali oleh semua teman-temannya, telinganya cepat merah. Kalau cakap Faizal Rashid, orang sudah tahu, oh itu, pendiam, baik, soleh, tajdid, tahmid, tahlil, ta marbutoh dan tak nakal-nakal. Kecanggungan beliau atas sesuatu yang menyegankan, mudah dikesan, bila mana denyutan rasa terus mengarus ke telinga beliau dahulu sebelum sempat diproses. Maka menyala lah amaran merah.

Telinga merah bukan tujuannya tadi, apa yang saya cuba beritahu, beliau ni baik orangnya, dan bicara bila perlu dan selesa.

Tanpa perlu saya ceritakan panjang lebar biodata Faizal, Faizal sebagai pemikir teras Angkatan Pemuda Insaf API di 4 Cendekiawan, sebelum menceritakan (dengan izin) asal kisahnya mereka ini, benarkan saya berkata manis tentang Sarini sebentar. Sarini saya kenal di kelas 4 Cendekiawan 2000. Saya, Faizal, Mubarak, Sufi, dan teman-teman pasti kenal Sarini sebagai anak emas Cikgu Ibrahim. Sarini dan Aliza, tapi untuk episod ni, Sarini dulu lah, ini perutusan untuk Shekh dan Permaisurinya. Haha. Ok, baik. Sarini handal dalam Lukisan Kejuruteraan. Sebagai anak emas Cikgu Ibrahim, beliau sentiasa ditonjolkan sebagai handal dalam LK oleh Cikgu. Beliau anak emas Cikgu sepertimana Permatang Pasir, Manek Urai dan Bagan Pinang yang menjadi anakemas Kerajaan Barisan Nasional. Memang menjadi kehendak untuk mendapatkan khidmat nasihat LK daripada Sarini namun kewarakannya, kesolehahannya, ketundukkan pandangannya, membuatkan jejaka-jejaka kacak kurang berani. Haha, saya dan Faizal sempat kenal melalui kaedah telekinetik dan kutuk-mengutuk belakang disebabkan keemasan beliau yang terlalu diangkat oleh Cikgu Ibrahim. Haha tak adalah. Jadi pada waktu itu, sekitar tahun 2000 dan 2001, dalam suasana internet yang terbatas kepada insan terpilih, maka perhubungan bergantung kepada kehandalan peribadi yang terpapar selapis dan paling kuat sekeping surat pengganti diri barangkali. Namun apa yang terjadi antara Faizal dan Sarini, bukan melalui jalan-jalan ortodoks, tiada surat, tiada bunga, ada bagi kek dak masa Cake's Day? Saya kurang ingat. Semua berlaku selepas selesai melalui peperiksaan getir dan pedih, SPM. Cewah pedih tu. Biasa lah lepas SPM, remaja? Kemuntahan.

Saya dan Faizal mencuba dunia telefon, saya ke situ, beliau ke Kg. Changkat. Saya gagal, beliau cemerlang, tengok hari ni? Siapa di sebelahnya? Kg. Changkat. Eh rumah Sarini dikira Kg. Changkat kan. Aku kurang arif keluasan Kg. Changkat ni, hebat kampungnya. Jadi, lepas SPM, saya Faizal dan Sarini ada berhubungan di telefon, tidak kerap tapi ada, saya kurang kerap, saya tak tahu Faizal macam mana? Tikam belakang seh. Haha. Mengenali Sarini melalui telefon ternyata berbeda dengan Sarini yang dianggap. Hoh. Beliau mudah berbicara, topik boleh dicari. Cuma keheningan mungkin terjadi bila Sarini bertelefon dengan Faizal yang kacak, merah dan kelu. Maka disebabkan ini, hasrat Faizal diperlukan untuk mengetahui sejauh mana kesungguhan Faizal bagi memudahkan Sarini yang bagi saya masa itu sudah selesa dengan Faizal, lalu rancangan bersama Sarini dilancarkan, dan Faizal bertindak balas mengikut caranya, Shekh Faizal seorang yang pendiam lagi penyegan, menyatakan kesungguhan beliau dengan segala macam caranya yang saya sendiri tak tahu macam mana, saya rasa perkataannya mungkin sekitar, "ermmm, haaa, yaaa". Rancangan apa, saya tak perlu hurai. Jadi sejak 2001 hingga 2009, Faizal dan Sarini berkawan baik, dan merapat sampai nombor hp Sarini pun saya tak ada atau dihapuskan daripada hp saya? Saya kurang pasti hahaha. Alhamdulillah Majlis mereka berjalan lancar di Taman Rowther dan Kg. Changkat atas akad nikahnya pada 4/12/2009 dimeriahkan dengan acara-acara gemilang.

Saya tak dapat hadir pada Majlis yang sudah saya peruntukkan wajib-hadir dan turut-serta sejak bertunangnya beliau. Keperluan dan kehendak kerja yang ditetapkan, menghalang kehadiran saya sebagai tetamu dan yang paling terkesan tidak dapat memenuhi hajat Raja As-Shekh untuk menjadi Pengapit-Yang-Bertatasusila-Manis-Tawaduk-Pemalu-Pemanduanberhemah-Tepatiwaktu dan Berbudibahasapulaktu. Kalaulah saya pengapit, izinkan saya memilih pasang pengapit perempuannya, Tuanku. Kalau sudah tak berguna lagi. Oh.

Pohon ampun maaf Faizal dan Sarini kerana tidak dapat hadir, namun dari jauh saya mengharapkan segala yang terbaik dan paling lancar berjalan di Majlis, dan Alhamdulillah, Segala Puji Hanya Allah, semuanya selesai dengan baik-baik. Warna Biru Muda dan Emas Coklat jadi padanan di Majlis Faizal-Sarini. InsyaAllah ketemu kita lusa atau besok sepaling cepat yang dijangka. Faizal orangnya tetap serupa, dari dulu, baik sungguh, bukan pendiam cuma tak bicara jika tak perlu, punya pendirian kental, kukuh bertahan tanpa goyang di balik goda gadis-gadis KSH, gadis YM atau blogspot, mahupun terbaru di FB kan Sarini? Hehe yang paling penting, tahap humor atau tahap kelucuan beliau bukan calang-calang bagi yang kenal. Kelucuannya berada di tahap hampir bahaya, kerana bermain dengan ungkap bahasa agama dan sendaan berganda, sangat rugi jika tidak mendengar kata-kata lawak Comparative Religion beliau. Hahaha ini kemahiran yang diteroka dari 4 Cendekiawan lagi dan masih panas-panas membakar hati.

Yang penghabisan, saya doakan segala yang baik-baik sahaja untuk Faizal dan Sarini. Fasa baru dalam hidup. Faizal sudah berjaya membentuk Kerajaan bukan autonomi tapi Kerajaan Pemerintahan-Sendiri, sudah ada negaranya, sudah ada rakyatnya yang dikasihi, sudah ada jajahan takluknya, sudah ada belanjawan tahunan harus dikongsikan jugak. Siapa yang menceroboh pasti lunyai, awas! Achtung! Saya tak layak nak bicara atau nasihat tentang hidup bernikah, tapi seingat terdengar di sana sini, ada perkataan hebat yang berulangan iaitu Taat & Hormat. Betapa tinggi tanggungjawab suami itu, sampai Solat Sunat si isteri pun mesti meminta kebenaran suami. Isteri mahu berpuasa sunat pun, mesti meminta kebenaran suami. Perkara lain amacam? Jadi taat dan taat lah pada yang WAJIB ditaati. Hormat & Taat.

Tapi asal tetiba cerita serius ni kan? Dah tak semangat dah rasanya. Rilek sudah. Baik, kalau begitu, ayuh usah berlengah, ronggeng! Selamat Pengantin Baru Faizal & Sarini. Sudah hilang rentak menulis bila lama meninggalkan. Salamat salamat salamat Shekh. Gelek. Patik mohon mengadap dalam waktu terdekat.


Yale-yale,
YASIR TAMIZI

Thursday, December 03, 2009

Hapuskan Rasuah Sampai Ke Akarnya


Salam,

Akar rasuah bermula dari diri kita sendiri. Usah salahkan Polis yang korup, usah salahkan Kerajaan yang khianat ribuan juta ringgit, usah-lah nak bercakap pasal rasuah orang lain kalau kita bersetuju dengan amalan rasuah, walaupun seringkas memberi kepada Polis untuk mengelakkan diri daripada disaman.

Semenjak 1998, sejak penyelewengan wang Negara dan rasuah dibongkar oleh pihak tertentu, pada mula nya kita berasakan terkejut dengan situasi masa itu, tetapi setelah masa berlalu, rasuah kronisma dan nepotisma sudah diterima pulak dan dirasakan 1 lubuk untuk mencari duit haram tambahan.

Saya katakan akar rasuah itu bermula atas diri kita sendiri, tulisan ini ditulis atas rasa perlunya cara melaporkan ini dikongsi apabila seorang teman saya, bercerita tentang bagaimana bakal suami beliau seperti dipaksa oleh pihak berkuasa untuk memberi rasuah bukan atas kerelaan beliau.

Saya ringkaskan cerita, beliau (bakal suami teman saya yang akan jadi suaminya hujung minggu ini), beliau ditahan oleh Polis atas kesalahan tertentu, kemudian, beliau sememangnya menolak amalan rasuah, memberi atau menerima, maka beliau bersetuju untuk disaman sahaja, tetapi Polis tersebut mahu hal itu diselesaikan di balai. Maka Polis tersebut dipercayai mahukan habuan sahaja, bakal suami teman saya ini berkata yang dia hanya ada 30 ringgit, 10 untuk isi minyak, disebabkan ketamakan dan kerasukan syaitan yang sudah menjadi amalan harian barangkali, maka baki RM20 pun mereka mahu dan berlakulah urusan syaitan tersebut tanpa rela. Itu kesnya.

Kalau itu lah kesnya bagaimana cara? Bagi yang masih bersih daripada amalan rasuah, ada kaedahnya untuk terus bersih, baru-baru ini, saya ada menghadiri sesi bertukar pandangan dengan SPRM 2 minggu lepas di Jalan Timur, Petaling Jaya. Pegawai SPRM menyatakan bahawa jika hal seperti ini terjadi, laporkan kepada SPRM, tapi apa yang nak dilaporkan, gambar tak ada, video tak ada, kalau ada pun tak boleh jadi bukti sebab tak jelas, maka sila lah:-

1. Catitkan nombor siri pada wang kertas yang akan diberikan.
- Jika ada teman lain bersama kereta, sila buat-buat suruh teman anda mengira duit tersebut, sambil menyalin nombor siri wang kertas berkenaan. Mungkin kalau tak sempat keluarkan pen dan kertas, boleh gunakan hp untuk simpan nombor siri wang kertas yang terpaksa diberikan itu. SPRM akan bekerjasama dengan Bank Negara dalam hal ini.

2. Catitkan nombor pegawai tersebut.
- Setiap seragam polis ada nombor pekerja nya di dada baju. Jangan segan silu, salin jugak nombor tersebut. Tarikh dan waktu kejadian.

3. Setelah wang dipagut, maka jangan malu dan gundah, terus sahaja, catitkan jenis kenderaan yang dinaiki oleh pegawai berkenaan dan nombor plat keretanya.
- Ini perlu kerana, pihak SPRM punya kebenaran untuk periksa buku log penggunaan kenderaan Polis, siapa yang menggunakan kenderaan tersebut, pada waktu tertentu dan tarikh tertentu.

Setelah berjaya mendapatkan maklumat ini dengan cekap dan tenang, maka teruskan membuat laporan ke SPRM, melalui beberapa cara yang boleh diketahui dengan merujuk lamanweb SPRM.

Tentang keselamatan anda sebagai saksi yang anda ragui disebabkan kes Teoh Beng Hock, jangan risau, kes anda sebenarnya kes ikan bilis dan bukan kes politik, dan tidak perlu digundahkan, kes anda insyaAllah akan dilayan seperti kes-kes lainnya. Laporkan sahaja. Saya ada ajukan soalan tentang keselamatan saksi, SPRM menegaskan bahawa pemberi maklumat akan dirahsiakan dan jika berlaku ugutan, maka pengugut bakal menerima 2 pertuduhan, 1 pertuduhan jatuh salah hukumnya 20 tahun penjara, jumlahnya 40 tahun penjara.

Mungkin ada yang baca ni dan kemudian berpandangan yang SPRM pun sudah tidak boleh dipercayai. Kalau begitu, bilalah rasanya orang-orang yang berurusan rasuah ini akan menerima padahnya?

Kaedah tadi telah disarankan oleh SPRM, dan SPRM mengakui telah ada yang berjaya menggunakan cara ini dan yang bersalah sudah disabitkan hukum.

Bagi yang gemar melepaskan diri daripada kesalahan diri dengan menyumbat duit haram ke pihak berkuasa, yang turut menjalankan urusan syaitan ini, sudah-sudah lah. Kita hentikan. Tak ada yang memberi, tak ada yang menerima. Tak ada yang memintak, tak ada yang memberi. Jangan sebab, sekeping duit kopi kononnya, habis maruah kita jatuh sejatuhnya kerana terjebak dengan rasuah. Saya cakap begini, sebab ada teman-teman yang dah mula OK dengan merasuah. Teman-teman yang nampak nerd atau skema atau baik, pun rasuah. Abah-abah. Bukan semua, tapi ada. Tak mahu lah berulat perut anak beranak berketurunan nanti.

Takrifan SPRM tentang rasuah, sedang secangkir kopi pun dikira rasuah jika ianya daripada orang yang berkepentingan.


Hapus Rasuah,
YASIR TAMIZI