Saturday, October 31, 2009

Cerita Pengalaman YAB Perdana Menteri dengan TNB-ke-60 Tahun


Salam,

Hari ini saya bekerja. Saya bekerja di hari yang sepatutnya cuti, saya kerja hari Sabtu. Jadi saya mahu membebel. Tak larat baca, sila ke tepi. Ok tarik napas. 

Segak dan kemas berkemeja biru dan berseluar hitam, berkasut hitam tak berapa nak kilat, saya ke Ibu Pejabat di Bangsar.

Saya bersama teman-teman yang lain terpilih untuk hadir bersama YAB Dato Seri dalam Perjumpaan hari ini. Terpilih, ya terpilih, sedap kan perkataan ni. Ini perkataan yang digunakan dalam Memo jemputan tempoh hari. 

Saya tidak memacu kenderaan seperti kebiasaannya, hari ini saya menikmati pengangkutan awam dan cuba belajar balik menggunakannya. Hari ini hari Sabtu, bukan hari kerja biasa. Kesesakan di waktu pagi tidak berlaku.

Saya mulakan perjalanan dari Gombak-Bangsar, menggunakan RapidKL LRT Laluan Kelana Jaya. RM2.40 dari Terminal Putra di Gombak hingga Abdullah Hukum di Bangsar.

Dalam LRT, saya terbaca satu iklan tentang tawaran Pasbulanan yang diperkenalkan oleh RapidKL LRT. Satu yang menarik perhatian saya ialah, Rapidpass Konsesi. Rapidpass Konsesi ini satu tawaran harga tiket yang diberikan kepada golongan tertentu sahaja, antaranya OKU. Bila kita sebut OKU, apa maksud OKU? Rasanya apa? Terjemahan sekarang ialah, Orang Kelainan Upaya. Saya baru tahu sudah diubah, baru saya periksa di sini, Dato Seri Shabery Cheek pernah mencadangkan tentang ini. Orang Kelainan Upaya. Ini satu yang baru bagi saya. Orang Kelainan Upaya. Ingat. Lekat dalam kepala sekarang.

30 minit saya tiba di Abdullah Hukum, buat pendaftaran, pinjam kunci Haz 'Ali, pinjam jaket biru dari Arbuzar, telefon Zultek, ambik 1 badge di kaunter, ambik 1 bungkus sarapan pagi, ada 1 kotak Milo, 1 botol air mineral, Roti Sweetie, dan karipap. Kena padanannya, air manis, air tawar, roti manis, kueh pedas. Ding-Dong.

Tiba di Dewan Serbaguna, dalam pukul 10 pagi Dato Seri tiba, diiringi dif-dif kehormat lainnya dan ramai pengawal peribadi yang telah tiba awal tanpa kita sedari. Sesudah berdoa, menyanyikan lagu Negaraku, lagu korporat dan lagu 1 Malaysia, Pengerusi TNB Tan Sri Leo Moggie berucap, tiba masanya YAB Dato Seri berucap.

Sepanjang ucapan Dato Seri, saya baru tahu, yang beliau pernah menjadi Timbalan Menteri Tenaga, Komunikasi & Pos satu masa dulu. Bos beliau ketika itu, Menteri bagi Kementerian itu, Tan Sri Leo Moggie sendiri. Satu yang menarik untuk kita lihat, satu masa dulu, orang ini orang bawah kita, satu masa nanti, dia jadi ketua kita pulak, kita tak dapat jangka apa nak jadi.

Beliau bercerita tentang TNB mengikut pengalaman beliau. Katanya pada tahun 60-70an semasa beliau belajar di UK, atas rasa kepentingan Negara mempunyai pengetahuan untuk menjaga pembekalan elektrik sendiri, Kerajaan mula menghantar anak-anak muda Negara ke Brighton untuk belajar bidang kejuruteraan melalui LLP/LLN masa itu. Katanya, boleh kita katakan, masa itu, kalau kita baling batu sahaja di Brighton, pasti terkena pelajar Malaysia di sana. Brighton telah menjadi perkampungan Malaysia.

YAB Dato Seri terus sambung, semasa beliau menjadi Timbalan Menteri kepada Tan Sri Leo Moggie, beliau telah diberikan tanggungjawab dalam pembekalan elektrik ke kawasan luar bandar dan kampung-kampung. Masa itu, beliau dengan bersemangatnya, turun padang, pusing habis satu Semenanjung, sampai ke Sabah, bersama Pasukan beliau, Pengerusi LLN/LLP masa itu dan beberapa lagi orang penting Negara. Kata beliau, masa itu, bila kita umum saja di satu-satu kampung, yang kampung ini akan diberi bekalan elektrik 24 jam, macam nak runtuh balai raya dibuatnya. Betapa seronoknya orang kita masa itu sebab mereka sebelum ini ada yang hanya dapat bekalan 12 jam dan ada yang berbekalkan pelita saja. Kelop-kelop isi dalam balang kaca paling kuat barangkali?

Beliau jugak menyentuh tentang cabaran TNB sekarang lebih hebat. Pertama, dengan kenaikan harga gas & arang batu, beliau berasakan Polisi 5 Bahan Api yang diperkenalkan Kerajaan terdahulu mesti dikaji semula. Beliau berkata, gas merupakan premium fuel, sudah tak sepatutnya digunakan untuk Penjanaan elektrik, harga arang batu sudah mahal. Maka kita sekarang ke arah Teknologi Hijau. Mencari alternatif lain dalam sumber bahan untuk menjana elektrik. Kedua, isu IPP yang tidak selesai, Dato Seri sendiri mengakui IPP ialah satu tajuk yang menjadi kegemaran Tan Sri Ani Arope sehingga sekarang, beban ini jugak akan diselesaikan. Ketiga, TNB mesti bersedia, bilamana pelabur datang bilamana pelanggan datang, menyatakan untuk melabur, TNB tanpa gentar, pastinya mampu menjamin memberikan bekalan elektrik yang sebaiknya 24jam. "Ini yang kita letak dalam KPI TNB, kalau boleh saya nyatakan disini," kata Dato Seri sambil pandang DS Che Khalib. Tersenyum lebar Dato Seri Che Khalib, langsung terus dapat KPI depan sekalian warga kerjanya.

Saya teringat yang kita ni jarang berseronok dengan elektrik yang kita dapat dan bayar untuk bekalan selama 24jam ni. Kita biasanya cepat amarah bila 1, 2 saat bekalan terputus. Pastinya, setiap kali gangguan, ada warga kerja yang sedang berusaha untuk menyambung balik seberapa pantas yang boleh.  TNB are working very hard, so that as soon as you switch on the light, the light is there.

YAB Dato Seri, RM 5 Billion peruntukan untuk kerja-kerja TNB dalam Belanjawan 2010, pastinya membantu TNB untuk terus menerus memberikan jaminan bekalan elektrik 24jam bermutu ke seluruh kawasannya.

Sebelum bersurai, YAB Dato Seri sempat berkata, "Kita sekarang ke arah Teknologi Hijau! Technology Green! Politically Blue! Selit sikit, saya nampak ramai pakai baju biru hari ni." Gelak tawa satu dewan walaupun berlainan warna, Politically. Seronok dapat dengar Ucapan orang handal ni, tambah pulak duduk sebelah teman-teman Alterian ni.

Selesai Ucapan Dato Seri, saya teman-teman dan ratusan yang hadir diberikan 2 keping voucher McDonald's bernilai RM5 setiap satu. Jugak ditawarkan cuti ganti khas separuh hari & boleh buat tuntutan perjalanan, ini semua memang menyeronokkan.

Saya pulang sekali lagi dengan RapidKL LRT Laluan Kelana Jaya, RM2.40 dari Bangsar-Taman Melati. Dari Taman Melati, kita naik Bas RapidKL T226 ke Taman Melewar, RM1.00. Untuk makluman, harga tiket, boleh diperiksa sebelum perjalanan di lamanweb RAPIDKL di panel kiri bawah.

Begitu sebanyaknya, kisah pengalaman dan halatuju yang dikongsi YAB Perdana Menteri tentang Tenaga Nasional Berhad.


Sebelum pulang, ada dengar suara orang-orang TNB yang kata, baju kita ni biru PKR bukan BN. Hahaha saya gelak saja, ini hanya warna. Rugilah kalau kita asingkan warna biru tua daripada hidup seharian. Begitu jugak rugilah kalau kita asingkan warna tertentu dalam hidup kita atas alasan politik. Tak baloi. Saraf di retina kita terima semua warna. Allahuakbar!


Ikhlas,
YASIR TAMIZI

Friday, October 30, 2009

Sekolah Satu Aliran - Tindak balas 4 teman terawal: Zulkifli Mohd Ali, Adni Ariff, Adi Hariez, Muhammad Hasreezan



Soalan:
Apa pandangan saudara, jugak saudari, tentang Satu Sekolah untuk Semua: Sekolah Satu Aliran?

"Buat apa nak ikut orang? Kita ada cara kita sendiri. Sekolah satu aliran ni tinggalan penjajah. Penjajah dulu buat banyak aliran sebab nak pecah-pecahkan. Buat apa sampai nak 3 aliran? Dekat Britain pakai 3 aliran ke? Mana ada sekolah Bahasa Melayu dekat Britian. Ada sekolah Cina? Tamil ada? " - Zulkifli Mohd Ali

"Pada hemat saya, idea ini tidak sewajarnya dilaksanakan secara serentak dan besar-besaran. Lihat dan kaji semula dasar-dasar pendidikan negara serta falsafahnya dalam melahirkan insan kamil biarpun berlainan aliran. Pembangunan insan wajib diletak sebagai peneraju semua sekolah2 seluruh negara. Usah diperkotak-katikkan anak2 kita dengan implementasi sedemikian. Saya mengerti pepatah "melentur buluh biarlah dari rebungnya" namun berapa banyakkah yang harus kita lentur? Sudahnya, rebung2 habis dimakan kulat. " - Adi Hariez

"Saya rasa idea ini telah dibincangkan dan didebat sejak sekian lama. Sekolah-sekolah dipecahkan mengikut aliran ini berpunca daripada zaman penjajahan British yang mengamalkan dasar pecah dan perintah. mungkin sudah tiba masanya kita membuka pintu kepada semua bangsa bersatu di bawah satu jenis aliran. Semua bangsa akan memperjuangkan hak bersama berbanding memperjuangkan hak aliran masing-masing sahaja. Saya mempunyai banyak lagi pendapat mengenai perkara ini, tetapi cukuplah dengan menyatakan sokongan saya buat masa ini. I'm sure it has its own pro's and con's, but i do believe that it's a right first step in the right direction towards bigger and better things for our children and ultimately our country, insya allah. Wallahua'lam." - Adni Ariff


"Saya setuju aje la. Lagipun saya dah tamat sekolah. Achey, kem salam kat mak ko ye. gua kenang lagi jasa die ajar gua matematik sampai pandai dulu. Hahaha." - Muhammad Hasreezan


Ini komen terawal dari teman-teman di sekeliling. Setakat ini, bersetuju dan ada cadangan tambahan jugak sentuhan nostalgia. Mantap. Mari tengok lagi pandangan teramai angkatan muda. Benci dengan Sekolah Satu Aliran?


Ikhlas,
YASIR TAMIZI

"Sekolah Satu Aliran" - Prof Emiratus Khoo Kay Kim; Ke-arah Penzahiran Bangsa Malaysia


Salam,

Satu Sekolah untuk Semua; Sekolah Satu Aliran sudah sampai ke peringkat Sidang yang punya tekad-politik yang tinggi. Bincang-bincang tepi dari kalangan guru generasi terdahulu, akhirnya sampai ke wadah yang wajar dan semakin berjaya meyakinkan Ahli Parlimen & Ahli Akademik.

Ke arah pemansuhan PPSMI, diperkenalkan MBMMBI tanda komitmen pemerintah memacu pemerkasaan dan pengukuhan asas pengetahuan murid.

Pemerkasaan dan Pengukuhan asas pengetahuan murid yang diperoleh adalah tidak selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan jika jatidiri tidak sempurna di peringkat awal, tidak rasa kepunyaan atas Malaysia, rela mewah di luar dari berjuang di dalam. Rasa kekitaan, rasa menerima dan rasa tidak mahu asing-asing lagi, ini yang membugarsemula kesatuan bangsa kita, Bangsa Malaysia.

Sekolah Satu Aliran, Satu Sekolah untuk Semua, ialah kepelbagaian pendekatan yang membawak kepada penzahiran Bangsa Malaysia yang sebenar bermula dari Darjah 1 di peringkat awal. Serap semua sekolah masuk Sekolah Kebangsaan, samada MRSM atau SBP, samada Sekolah Cina atau Tamil, buang semua elemen jaguh kampung hanya sesama keturunan suku, bukak cabaran seluasnya dan handal berpencak di dunia sebenar. Beri bantuan dan galakan yang banyak, naiktaraf cara pengajaran dan pembelajaran ke arah lebih kreatif dan berkesan, ubah sukatan matapelajaran, tambah matapelajaran baru kait budaya-bahasa dan cari jalan suntik semangat kebangsaan Malaysia dalam semua matapelajaran, bukan hanya tertumpu dalam matapelajaran Sejarah sahaja.

Saya yang tertanya latar masa dalam hal ini, pulang petang langsung terus merujuk Majlis Penasihat Agung. Diceritakan pada tahun 1990-an, sudah ada bincang-bincang antara guru-guru tenaga pengajar tentang perpaduan melalui Sekolah Satu Aliran hasil kegagalan pendekatan lain. Usul yang dicadang Dato Mukhriz Mahathir satu masa tak lama dulu sebelum gagasan 1Malaysia, betul menghidupkan dari tidur, walaupun awalnya disalahanggap, namun sudah banyak diiktiraf ahli akademik, guru-guru, ahli sejarah, Ahli Parlimen dan masyarakat teramai yang ikhlas. Penulisan tambahan di media internet, memang menguji keterbukaan namun akhirnya membangkit kesedaran ke arah penzahiran Bangsa Malaysia sebenar.

Saya menyokong penuh usul Satu Sekolah untuk Semua; Sekolah Satu Aliran.


Ikhlas,
YASIR TAMIZI

Saturday, October 24, 2009

People & Power: Democracy Asian Style



Salam,

Sesudah menonton wacana Demokrasi ala Asia yang ditayangkan di Al-Jazeera, mengingatkan saya perbualan santai antara Abang, Kak Anum & Professor Sejarah berwarganegara Australia di Melbourne pada tahun lepas.

Profesor Sejarah berwarga Australia ini mula bicara santai dan membuat penyata.

"I think Malaysia should be more democratic."

Beliau mula berkata kita tidak adil. Kita perlu samarata, samarasa. Kita negara yang melakukan diskriminasi keturunan. Kita tidak bebas. Media kita tidak bebas.

Soalan yang patut kita tanya, sejauh mana kebebasan patut kita beri? Sepenuhnya? Patut kita biarkan sentimen kaum dan agama yang memecah, bebas bergerak dalam arus media kita? Bagi seorang Australia keturunan British yang jajah tanah aborigines dan bunuh aborigines, apa layak ke mereka ni cakap pasal adil?

Secara umum, siapakah Barat untuk mengajar kita orang di Asia, untuk menjadi lebih demokrasi? Jadi lebih terbuka? Jadi lebih bebas? Sedangkan mereka, Barat, menjajah, merampas hak memerintah, merompak kekayaan kita, dan lebih teruk lagi ada yang sampai membunuh bangsa asal satu-satu negara. Fakta, Amerika sebuah negara Demokrasi yang dibanggakan, membenarkan perhambaan selama 100 tahun sebelum memansuhkannya. Apakah perhambaan itu demokratik? Apa betul Amerika layak bercakap soal layanan adil yang menjadi tunjang demokrasi?  Fakta, Amerika & sekutu Barat menyerang Afghanistan, Iraq, tekanan terhadap Iran dan isu Palestin. Ini ke contoh teladan yang kita mesti ikut?


Kita kena paham Demokrasi ni adalah satu sistem sahaja. Dia bukan satu-satunya penyelesaian kepada keharmonian, keselamatan, dan kemajuan. Awak ambik Komunis, saya ambik pendekatan Demokrasi. Awak Sosialis, saya pun bukan Kapitalis totok? Pelaksanaannya berlainan dan unik bagi setiap masyarakat. Barat tak boleh dijadikan contoh dalam Demokrasi. Demokrasi-lah yang patut disesuaikan dengan nilai-nilai budaya dan agama dalam satu negara. Walhal kalau kita lihat di Malaysia atau Singapura pun, kita bukan negara yang mengamalkan Kapitalis secara total.

Isunya di sini, dalam mengukur ketamadunan satu-satu negara, soalannya bukan sejauh mana Demokratik satu-satu negara itu. Isunya di sini ialah, urus tadbir yang betul, urus tadbir yang bertanggungjawab, good governance, accountable governance seperti yang dipersetujui Tuan Kishore Mahbubani, Dekan Institut Pemikiran Lee Kuan Yew, NUS dalam wacana tersebut.

Apa maksud Urus Tadbir Yang Betul? Saya tanya, ada awak kisah ini negara pakai sistem Demokrasi ke Komunis ke, Autokratik ke Kesultanan ke? Tak, kan. Selagi mana awak dapat cukup makan, cukup pakaian, ada tempat duduk, negara tak miskin, negara tak korup, tak seleweng, tak rasuah, negara aman, senang nak belajar, senang cari kerja, negara tak porak peranda, kebajikan terjaga, hak rakyat terbela, dapat semua ni, awak senyap dan gembira, awak tak kisah pun sistem apa.

Dan macam mana rakyat negara ni nak dapat semuanya tu? Caranya ialah, Urus Tadbir Yang Betul, Bertanggungjawab & Tidak Korup.

Ini Demokrasi Acuan Malaysia.

Wacana People & Power: Democracy Asian Style Al-Jazeera, membariskan panel, Tuan Kishore dari Singapura, Dato Seri Anwar Ibrahim dari Malaysia, Mrs. Tan Nu dari Vietnam dan Encik Chonkittavorn dari Thailand.

Tulisan ini hanya huraian kepada wacana tersebut.

Saya agak cenderung menonton wacana, kerana wacana ialah penceritaan beberapa buah 'buku' tanpa perlu membacanya.


Benar,
YASIR TAMIZI

Teori Hidung Beso


Salam,

Hari ini dapat kita memenuhi 3 jemputan Kenduri Kahwin dalam jajahan Gombak & Keramat cuma tak dapat mengikut rombongan Shahril Kembo ke Melaka, majlis bertunangnya. Yang pertama, Kenduri anak Pakcik Shaari, pakcik yang jual goreng pisang dekat tepi Jalan kecik nak ke Melewar, mantan AJK Masjid 2 penggal. Turut hadir, ADUN Gombak Setia, Dr. Hasan Ali. Selesai makan hidangan nasi putih dan lauk-lauk kampung, bersalam dengan Dr. Hasan Ali dan mohon undur diri untuk ke Majlis seterusnya ke kenduri Hj. Mohd Nor, bekas Polis, di Taman Batu sebelah Shell, majlis anaknya. Hj. Mohd Nor ni boleh kita kata sebagai pemegang khairat kematian Qariah Masjid Ar-Rahimah. Kesederhanaan Majlisnya dan hidangan yang menang, memang tak dapat tidak, menenangkan suasana, mengenyangkan selera dan melegakan dahaga. Rumah ke-3 di Keramat AU2. Pakcik Salahuddin, orang Surau. Majlisnya bergabung belah laki & perempuan.

Selesai 3 Majlis, Zul merencana mungkin berkumpul ini petang, tapi terbatal di saat akhir, bimbang terlalu terkejar-kejar dengan banyak rencana menarik; ada Cuci The Musical katanya malam ni.

Pak Ngah Sahar datang, ziarah ke rumah, bercerita tentang orang yang ber-Hidung Besar. Pak Ngah Sahar secara bergurau melepaskan teori Hidung Besar yang belum mampu saya pastikan, mungkin sedara/sedari boleh buktikan teori ini. Cerita dia, ada kawannya masih ingat lagi dia, kawan lama, kawan masa pergi Haji, jadi dia pun kata lah, "Orang Hidung Beso ni memang orang senang ingat. Betui dak, Yasir?" Tak pasal, saya penonton.

Saya tak dapat pastikan. Tapi ni soalan ke atau penyata yang saya pun geng Hidung Beso? Ini yang mula nak tengok cermin. Tuan-tuan boleh jawabkan soalan Pak Ngah Sahar saya. Seingat saya, Dr. Mahathir tu Hidung Beso, sampai Zunar dalam karikaturnya jelas lukis kebesaran hidung Chedet. Anwar Ibrahim boleh tahan besar hidungnya. Tun Hussein Onn? Dato Onn yang berketurunan Turki? 

Hidung Beso, pernafasan lancar barangkali. Apa definisi Hidung Beso?


Ikhlas,
YASIR TAMIZI

Tuesday, October 20, 2009

16 September: HARI MALAYSIA ke-arah Penzahiran Bangsa Malaysia


" Kita tidak kira apa bangsa keturunan kita, berazam untuk menumpah kasih dan taat setia kita, kepada negeri ini dan negeri ini sahaja." - Bapa Kemerdekaan, Tunku 1957.


Terima Kasih,
YASIR TAMIZI

Monday, October 19, 2009

Ke-Johor Bahru


Salam,

Ahad, saya di Johor Bahru, memenuhi undangan perkahwinan adik kepada Abang Junaidi jiran di Kampung Changkat. Suasana meriah, dengan bermacam jenis makanan, adalah yang pertama kali saya rasakan seumpamanya, 2 Majlis dalam 1 Kenduri, seperti Majlis Rumah Terbuka & Majlis Perkahwinan. Hidangan makanan yang pelbagai, bermula Nasi Puteh dan lauk-pauk, kemudian Nasi Ayam, Rojak Buah & Rojak Petis, Cendol, bermacam jenis kuih-muih dari Karipap ke Cream Puff, Mee Jawa, 3 jenis Air Bancuh, buat kita rambang mata. Majlis biar sederhana, namun makanan mestilah yang terbaik, yang tersedap dan terpaling cukup diberikan. Alhamdulillah selesai Majlis, saya pulang berbekal cenderamata daripada keluarga Abang Junaidi. Lepak-lepak malam hari di Singgah Selalu Danga Bay mengingatkan kita keriuhan gabungan gerai makan di Kuala Lumpur.

Hari sebelumnya, Sabtu, dalam perjalanan, saya singgah di Kluang, dekat 4 jam perjalanan, sampai di Pekan Kluang. Bertemu Dr. Anuar, mendengar bual bicara beliau, dan beliau berkongsi tentang perangkaan kemasukan pelajar-pelajar Melayu ke dalam bidang kritikal seperti kedoktoran, kejuruteraan dan lain-lain bidang, adalah amat rendah semenjak Sistem Meritokrasi diperkenalkan. Matlamat 30% orang Melayu tidak pernah dicapai. Dalam 20-30 pengambilan hanya 5-8 anak Melayu yang layak. Anak Melayu hanya sekitar 17%. Mana silapnya? Sistem Meritokrasi atau Sikap Anak Melayu itu sendiri? Bagi yang bijak-pandai, pastilah menyalahkan sikap anak Melayu itu, tetapi bagi yang kurang peluang pendidikan dan pendedahan, pastilah berasakan Sistem Meritokrasi ini tidak adil. Saya kata Sistem Meritokrasi ini adil, dan wajar dilaksana jika asas-asas pengetahuan dan pelajaran sudah dikuasai sepenuhnya majoriti Anak Melayu dan dihapuskan halangan bahasa.

Dr. Anuar, seorang Pakar Bius di KPJ, jugak berkongsi tentang demografi masyarakat di Kluang yang rata-ratanya dulu, majoritinya daripada bangsa Malaysia keturunan Tiong Hwa. Bagaimana Kerajaan menyeimbangkan komposisi masyarakat di Kluang, antara caranya ialah dengan memperkenalkan FELDA di sekeliling daerah Kluang dan cara ini berkesan. Kita faham, keseimbangan komposisi masyarakat di satu kawasan sangat penting, bagi terhindar daripada mewarisi cara tadbir British yang merugikan, Pecah & Perintah. Sepertimana yang kita paham, bandar-bandar baru jugak diperkenalkan sebagai alternatif kepada masyarakat kelas menengah & rendah, mengisi kelompongan di pinggir kawasan Pusat Aktiviti Ekonomi di satu-satu daerah. Di hujung ziarah, Dr. Anuar dan keluarga menghadiahkan 2 tin kopi yang biasanya digunakan di Kluang Coffee Station, jugak membuang bahasa menawarkan diri untuk memperkenalkan calon barangkali kalau sedang mencari. Payah untuk tidak menolak.

Sepanjang perjalanan pergi & pulang, di kesempatan masa yang ada selain memandu, saya cuba menghabiskan catatan Dr. Mahathir di dalam buku beliau, BLOG Merentas Halangan/Blogging to Unblock, bertanya apa punca sampai begitu penting hal komposisi ini? Kalau saya di Kg. Lasah, Sg. Siput, apa yang kita tanya dan kita dapati daripada bangsa Malaysia keturunan Melayu dan Tiong Hwa, di sana kita tinggal dengan harmoni. Saling berkaitan setiap hari. Saling muhibbah tanpa ada rasa ragu dan benci. Tolong menolong, saling kenal-mengenali secara kekeluargaan. Ini kehidupan kampung yang diteruskan dari sebelum Merdeka hingga ke hari ini, tidak terkesan langsung dengan propaganda politik perkauman. Dr. Mahathir menceritakan tentang Kontrak Sosial Malaysia, bagaimana dahulu, orang Melayu tidak pernah berasa terancam dengan kehadiran tetamu asing ketika itu, orang Cina dan India. Tetamu asing masa itu, (yang kalau boleh kita kaitkan sekarang seperti orang Negro, orang Myanmar atau Bangla) masa itu tetamu asing ini sudah kaya & moden jauh melebihi orang Melayu. Orang Melayu tidak kisah tentang itu dan tak terfikir pun tentang pemberian hak kewarganegaraaan. Namun selepas, kekalahan Jepun, selepas keganasan Komunis selama 14 hari yang mahu mengisytiharkan sebuah negara, maka disitu lah puncanya, ada perasaan kurang senang, antara orang Melayu dengan orang Cina yang Komunis. Dan kita tengok sejak Merdeka, hal ini tidak banyak selesai kerana 50 tahun kita terus dididik politik perkauman, sekarang baru kita tengok benih-benih perpaduan mula dibugarsemula dalam bentuk bual-bicara.

Bangsa Malaysia Bangsa Waras. Tak ke sudahnya rasis. Kita kena mula paham perkataan "Hak".


Ikhlas,
YASIR TAMIZI

Saturday, October 17, 2009

E-mail buat teman yang menyambut Deepavali

From: Muhammad Yasir Bin Tamizi
Sent: Friday, October 16, 2009 3:56 PM
To: Suhendden A/L Manohara; Sharindran a/l Gopal; Prabakaran A/L Balachandran; Manuel Samuel; Sateskumar A/L Samugam; Manohara Narasimuloo; Thanaraj a/l Sanmugham; Vikkineswaran a/l Supramaniyan; Tina Maria a/p Alphonse
Cc: Abuzar Bin Narin; Muhammad Hazali B Muhammad Shah; Syed Ahmad Zaki B Said Madeen; Zulkifli bin Mohd Ali; Ahmad Faizul B Ismail; Johann Jeffrie Bin Muhamad Ridzwan; Khairil Safuandy b. Md Salleh; Khairul Anuar Bin Zulkafli; Mahyarudin b. Mohd; Mohamad Azam b. Kasim; Mohd Adzuan B Che Azmi; Mohd Azlan Bin Mohmad Pandi; Mohd Hafiz b. Moslim; Mohd Hanif B Mohd Ibrahim; Mohd Khairulnizam b. Junoh; Mohd Nadzmi Mohd Noor; Mohd Nasrol B Abu Hasan; Mohd Norshahrizal Bin Mohamed Nor; Mohd Razli Isham B Md Radzi; Mohd Wadzirul Azam Bin Zaharuddin; Muhammad Yasir Bin Tamizi; Salmi B Samsudin; Toh Chih Kang
Subject: Deepavali & Selamat Bercuti

Salam & Selamat Sejahtera teman-teman,

Kita nak ucap sikit pada Suhenden a/l Manohara teman kita di Manjung, Sharindren orang kuat Nizar di Ipoh, Selamat Bergembira & Selamat Bercuti sempena Deepavali.

Pastinya sedang berseronok dengan keluarga. Apa lagi main la mercun kah, meriam kah, agihkan la sedeqah angpaw raya berapa yang patut seiring kelembapan ekonomi dunia, hehe mari la sikit angpaw, berhias rumah, bermaaf-maaf, berpakaian baru jugak makanan enak-enak ladoo dan manisan ye dak? Betul kan.

Semoga kisah-kisah tauladan hancurnya kejahatan syaitan dan kemenangan atas kebaikan dapat lah diambik iktibar sebaiknya, dapatlah kiranya teladan dan iktibar itu membakar semangat kita untuk jadi orang yang lebih berakhlak mulia, bermoral tinggi, menolak kejahatan dan kezaliman, menegakkan yang benar dan adil, bangga dengan perbezaan kita, menolak sentimen yang memecah, menghargai persamaan nilai-nilai akhlak mulia 1 keluarga yang bertamadun semacamana yang kita hajati.


Muhammad Yasir Tamizi
GPMS-Induk

Hari Akhir Perhimpunan Agung UMNO ke-60




Jiwa terus berpadu, 
Kita rumpun Melayu.


Salam,

Petang semalam, selesai tugasan kerja harian di pejabat, saya sempat singgah melihat-lihat suasana Perhimpunan Agung UMNO di PWTC. 

Suasananya meriah, ramai dan padat. Kelapangan masa untuk berjual-beli digunakan sepenuhnya oleh penjual dan pembeli sepanjang 4 hari Perhimpunan.

Boleh kita katakan, hampir seluruh penjual di situ, kalangan rumpun Melayu, dan Bumiputera. 1 peluang yang wajar direbut oleh bangsa Malaysia saban tahun Perhimpunan diadakan. 


Saya tidak berpeluang untuk ke Dewan Utama, menonton ucapan akhir di layaran di tingkat bawah sudah memadai. Saya pun tidak berapa pandai memanfaatkan tawaran Ayah Chu untuk dapat masuk ke Dewan Utama bersama Perwakilan dari Bahagian-bahagian. Tak mengapalah, segan saya, FB kata saya orang DAP.

Ada beberapa pemimpin UMNO yang kita nampak berada di lingkungan kepadatan gerai-gerai, antaranya, Raja Ahmad Zainuddin, Tan Sri Dato' Hj. Alimuddin Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, jugak Ketua segala Ketua Puteri 'UMNO' 'Datin' Hawa Zamani dan Dato Ahmad Shabery Cheek, Menteri Belia & Sukan.


Ucapan Dato Seri Najib di penghujungnya itu, ada sedikit isu, ada menyinggung rasa orang-orang sekitar, yang berasakan Pemimpin tidak harus tampil di khalayak dengan lawak-lawak berbaur tidak senonoh. Boleh menjatuhkan imej & kredibiliti pemimpin & Parti. Nampak kodi la, macam lawak-lawak kedai kopi yang tak ilmiah je. Lawak ilmiah ni bukan susah pun, ye dak Pejal? 


Selesai di PWTC, kita pun beransur jauh, berbuka, bergegas pulang dan malamnya, Ayah Chu sekeluarga datang ke rumah, berceritalah kita menyambung ulasan kepada Ucapan Dasar, Penggulungan & Pindaan Perlembagaan itu.


Kemeja linen biasa saja itu harganya dalam RM180. Mau cuba? Teman belum lagi.


Ikhlas,
YASIR TAMIZI

Wednesday, October 14, 2009

R. Ismail - Nasib Malang

Hujung minggu lepas, dalam perjalanan ke kenduri Majlis Kahwin Makcik Na di Kampung, saya dihidangkan dengan lagu-lagu klasik zaman Mak & Ayah kita dari Radio Klasik Nasional & Perak FM. Banyak lagu-lagu klasik yang tinggi mutu seni kata dan sabar tempo iramanya. Dan saya pilih yang ini, ini yang paling saya gemari, Nasib Malang, kalau dengar betul-betul, merintih sungguh Nordin Ahmad dalam filem Jula Juli Bintang Tujuh. Mari dengar sekali, dan berulang kali.



Sudah jauh daku mencari
Ku tinggalkan takhta dan dewi

Dahaga rindu tidak terperi-peri
Hendak bertemu dinda tujuh puteri

Aduhai nasibku yang malang

Tapi malang kecewa yang datang
Tak disangka citaku masih terhalang

Sudah lah dapat tempat yang dikenang-kenang
Tetapi dinda masih belum dapat dipandang

Aduhai nasib ku yang malang



Ikhlas,
YASIR TAMIZI

Ucapan Timbalan Presiden UMNO: Menggalas Tuntutan Perubahan



Salam 1Malaysia,

Membaca Ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin, membuatkan saya tertarik untuk terus menyelesaikan sehingga ke penghabisan.

Ucapan ini memperlihatkan aspirasi Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam gerak kerja Menggalas Tuntutan Perubahan.

PRU 12 & 7 PRK yang sudah, benar-benar menggoncang corak kerja UMNO yang telah kukuh sejak puluhan tahun. Agenda perubahan dalam Parti menjadi tonggak dan dokongan sejak tema Transformasi digerakkan, selaras dengan semangat 1Malaysia.

Saya gemar dengan bagaimana caranya Tan Sri Muhyiddin melayan andaian-andaian liar tentang masa depan UMNO. Jika Pakatan Rakyat berkata soal UMNO-BN bakal menjadi ibarat LDP di Jepun yang tumbang selepas bertahun-tahun berjasa dan berhempas-pulas membangunkan Negara, Tan Sri Muhyiddin bangun dengan menerangkan contoh nasib Parti-parti di dunia dari sudut pandang positif, Parti Kongres di India dan Parti Kuomintang di Taiwan yang pernah tewas, telah bangkit semula dengan pendekatan baru dalam politik.

4 Rukun yang digariskan Tan Sri Muhyiddin benar-benar menarik minat saya untuk meneruskan membaca isi sebenar rukun ini.

Pertama: Wahdatul Fikr
Kedua: Wahdatul Qalb
Ketiga: Wahdatul Amal
Keempat: Wahdatul Hadaf

Kesatuan Minda, Kesatuan Hati, Kesatuan Amal dan Kesatuan Matlamat.

Saya yakin, jika Tan Sri Muhyiddin Yassin memang bersungguh-sungguh berusaha, menterjemah isi Ucapan ini dalam bentuk Pelaksanaan yang Lengkap, bersama penghayatan Rukun Iman, Ikhlas & Ihsan, maka saya pasti tiada seorang rakyat pun akan menentang gagasan Menggalas Tuntutan Perubahan, tidak ada seorang pun akan berdaya untuk melawan lagi, malah UMNO akan menjadi Parti yang Unggul dan terus relevan tanpa kira kaum, ugama dan latar belakang di bawah kepimpinan Tan Sri.

Kita nampak Tan Sri Muhyiddin Yassin tekun dalam Menggalas Tuntutan Perubahan, memang jelas sejak UMNO-BN dirundung malang tsunami politik yang tak disangka Mac 2008. Ada perubahan yang sudah berhasil, ada yang sedang berjalan dan ke arah kesempurnaan. Ahli Parti yang meragui Dato Presiden, sudah mula menunjukkan sokongan yang kuat kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, sehingga berjaya mengumpul ribuan ahli UMNO dan menyatakan sokongan penuh kepada Tan Sri sejak isu Pengkhianat Melayu. Bagi saya, kita jangan sempit, kita jangan melihat ini 1 perpecahan dalaman UMNO, malah ini satu pergerakan yang lebih baik daripada mudarat dari sudut pandang UMNO, daripada ahli UMNO mengalih sokongan ke pihak lawan, lebih baik beralih dari Presiden ke Timbalan Presiden.

Mendasari Ucapan Timbalan Presiden, kalau saya ahli UMNO, kalau saya Pemuda UMNO, pemimpin ini lah yang akan saya angkat menjadi Presiden Parti, bila pelaksanaan kata-katanya jelas berjalan dengan penghayatan Rukun Iman, Ikhlas & Ihsan. Inilah pemimpin UMNO yang bijak membaca keadaan dan tuntutan semasa. Bijak menggunapakai segala modal dari Pakatan Rakyat & UMNO-BN dalam merangka satu Ucapan Indah. Cedokan daripada kisah Jaman Edan daripada pujangga Ronggowarsito yang sebelum ini saya baca dari lamanblog Dato Seri Anwar Ibrahim, jugak turut diselit dalam Ucapan Dasar Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri. Tapi ini kalau saja, nak buat macam mana sekarang? Kuiz Facebook kata saya DAP.


Orang kata orang UMNO kejar projek. Tak perlu cerita soal kekurangan projek bila pemimpin lain yang naik. Lakukan pekerjaan dengan baik, ada kemahiran, pasti ada keuntungannya di kemudian hari.

Penangan Pemimpin No. 1 UMNO Johor!


Ikhlas,
YASIR TAMIZI

Sunday, October 11, 2009

Cadangan kepada SPR: Undi Pos Tentera di-Mansuh


Salam,

Berikutan berlaku kekeliruan masa dulu dan kini, kebisingan pihak tertentu tentang undi pos tentera yang dimanipulasi, ketidakpercayaan kebanyakan rakyat kepada undi pos, pendedahan bekas tentera tentang undi pos mereka, maka kita mencadangkan kepada Suruhanjaya Pilihanraya SPR untuk memansuhkan Undi Pos daripada Angkatan Tentera Malaysia. 

Cadangan ini mungkin dilihat menafikan hak rakyat untuk mengundi jika kita kelaskan tentera sebagai rakyat biasa. Jadi, mengapa mahu dimansuhkan?

1. Perbedaan sokongan politik dalam Tentera boleh mengundang ketidakstabilan imej Tentera sebagai bebas daripada sebarang pengaruh.

2. Sokongan dan Kesetiaan Angkatan Tentera Malaysia bukan lah kepada mana-mana Kerajaan memerintah atau Parti politik. Ketaatan dan Kesetiaan Angkatan Tentera Malaysia hanyalah kepada Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong.

3. Tentera bukan kelas rakyat biasa. Tingkatan & peranan Angkatan Tentera Malaysia jauh lebih tinggi daripada rakyat biasa. Tentera ialah Pelindung Rakyat. Soldiers are not civilian.

Hakikat bahawa tentera berada terus di bawah Yang Dipertuan Agong, mesti dihayati. Tentera tidak terletak di bawah Badan Eksekutif atau Legislatif, tidak di bawah Perdana Menteri, jugak tidak di bawah Ketua Pembangkang. Tentera bersifat bebas daripada sebarang pengaruh propaganda politik. Lemah-lah Angkatan Tentera Malaysia jika dilihat mudah terpengaruh kepada mana-mana Parti politik. Tentera yang sedang berkhidmat sepatutnya bebas dan kebal daripada propaganda politik.

Cadangan ini adalah untuk pertimbangan Suruhanjaya Pilihanraya menjelang PRU yang ke-13 yang akan berlangsung tak berapa lama lagi, dan jugak kemungkinan beberapa lagi PRK yang bakal menyusul.

Pemansuhan ini nanti mestilah disusuli dengan insentif tambahan seperti elaun, kenaikan gaji pokok, peningkatan imej kerjaya professional sebagai tentera dan sebagainya yang boleh difikirkan perlu.


Ikhlas,
YASIR TAMIZI

Tuesday, October 06, 2009

PRK Bagan Pinang: PAS kalah!!!

Salam,

Seronoknya ada Pilihanraya Kecil, seronok mendengar pendedahan dan penerangan yang saling bercanggahan atau tidak berjawaban antara satu sama lain.

Sepertimana yang diucap oleh YB Azmin Ali satu masa dulu lebih kurang begini, "Kita memang suka Pilihanraya Kecil, sini lah ada peluang kita nak terangkan isu kepada masyarakat semuanya."

Saya tak reti nak ulas lah, tuan-tuan semua dah bijak pandai, besar belaka, paling kurang pun ada naluri fitrah cenderung ke arah kebaikan dalam diri kan, dah tahu mana baik mana buruk, hal itu dah jelas, jadi mari kita jenguk-jenguk sikit, saya cilok gambar dari lamanblog baganutama.blogspot.com


Terpesong apa? Aqidah ke? PAS suruh sembah Berhala Tugu Negara ke? Ah senyap lah! Tolak PAS! Tolak PAS! Tolak PAS! Tak nak sembah Tugu Negara!

Salah guna kanak-kanak! Ini boleh merosakkan aqidah kanak-kanak Hindu ini? Hidup UMNO! UMNO tak ada gambar macam ni! UMNO ketuanan Melayu!?


Jangan bimbang orang Bagan Pinang! Polis dikerah di sini beramai-ramai, untuk keselamatan rakyat! Jangan bimbang, tak ada bom, tak ada teroris, tak ada kes ragut, tak ada pengebom, macam tak ada penjenayah di tempat lain. Kita tumpu Bagan Pinang! Terima kasih KDN.

Pakatan Rakyat = Politik Rusuhan! Jahat! Suka buat perhimpunan! Tapi berhimpun tu dengan merusuh lain. Berhimpun macam Perhimpunan sekolah. Merusuh macam bakar kedai semua 13Mei. Ah jangan degil. Sama je! Jangan lawan! Ingat tak Malayan Union? Siapa dalang mengajar orang Melayu buat tunjuk perasaan? Sekarang 1Malaysia, tunjuk perasaan dan demonstrasi lagi boleh!... Anti-ISA ada di Jalan TAR, Pro-ISA ada di Central Market.


Apa tulis Jawi ni? Kolot! Ingat zaman dulu ka, masa nak merdeka boleh la letak, masa tu orang Melayu pun lancar je baca Jawi lagi. Ingat Alif Mim Nun Wau Sarkis kah? Macam mana pun, walaupun saya tak rasa apa kalau buang tulisan jawi dekat papantanda sebab dari kecik belajar tulis rumi, tapi saya rasa tulisan Jawi boleh jadi Kod Perantara sesama kita.


Siapa kata Isa Samad tak bersih? Jangan cakap sebarang Tun, setiap orang ada masanya dia insaf, dia taubat, hapus semua dosanya. Kalau menang macamana? Malu je Tun, bekas PM yang tak pandai! Ha Ha Ha.

Tolak la PAS! Tolak PAS! Tak ada pembangunan materi. Asik nak pembangunan akhlak je, moral je, nilai-nilai baik je, macam lah boleh bina KLCC dengan akhlak, moral dan nilai-nilai baik? KLCC pun bukan orang Malaysia yang buat! Ha Ha Ha, ada bangunan je, tapi pembangunan kepakaran tak ada, baik tak payah. Piramid pun rakyat Firaun sendiri yang bina. Kita dekat sini, yang tolong jirus simen pun sedara Indon. Mana orang kita? Ha Ha Ha saya keliru. Orang kita suka gah berlagak, tengok je.

Hebat dan lebat kempen BN, saya rasa PAS kalah! Tapi saya dah muak dengan kempen-kempen BN yang begini, dari tv bawak ke radio sampai semua media. Apa-apa pun, nak sembang politik, biar ada kesudahnya, mana sudahnya? Sudah kan dengan mengundi lah, ngai. Pergi daftar pemilih SPR di Pejabat POS, baru boleh menolong siapa yang disokong, asik sembang saja, tak ada tindakan, itu pasal jawabnya sembang kosong, buang masa, merapek cakap tak serupa bikin. Kecoh!


Ikhlas,
YASIR TAMIZI

Saturday, October 03, 2009

Sengsara Gempa di-Padang Sumatera Indonesia


Salam,

Ucapan takziah kepada saudara kita, warga Indonesia di Padang, Sumatera. Kita di sini, jugak tak terlepas merasai tempias gegaran gempa, yang mengundang keributan orang ramai, meretakkan bangunan-bangunan, ini baru tempias sahaja. Tak dapat kita bayangkan, kehancuran, kesayuan, ketakutan, yang dialami warga di sana. Kita simpati dan berdoa mintak dilindungi dan dijauhi daripada serangan bencana alam.

Kita, bangsa Malaysia ni, kita perhatikan, pengasihan jugak orangnya ya. Walaupun kita sudah kalut diancam buluh runcing di Jakarta, Indonesia tempoh hari, kita jugalah antara awal yang menyatakan kesediaan untuk membantu jika diperlukan. 

Mana tak kesiannya, Padang, Sumatera itu kalau kita tengok-tengok balik, entah ada susur galur keluarga kita barangkali dari situ. Jadi, kita ni adik-abang tetangga, bergaduh lah macam mana pun, bercakar ke, bergigit ke, mana mungkin kita tak tolong, itu adik beradik jugak, rumpun kita, yang paling penting saudara seugama kita.

Iktibar untuk kita dan negara tetangga Indonesia, menginsafi kecelakaan gempa, menghargai pertolongan yang dihulur sesama saudara.

Bangkit MALINDO. Negara Bangsa Serumpun. Saling memanfaat.

Bangsa Malaysia itu bila orang berbudi, dia berbahasa orangnya.


Ikhlas,
YASIR TAMIZI

Lagi Makan Lagi Sakit Datang?


Salam,

Teringat-ingat balik Ramadhan lepas ni.

Ramadhan lepas saya ada ikut Emak ke Pusat Rawatan Islam buat pemeriksaan biasa di Jalan Ipoh, Kolumpo. Ikut la kan, anak manja, untung-untung boleh dapat "Cikedis".

Saya masuk saja ruang menunggu, lengang, kosong, sepi, hanya ada 2 keluarga. Saya tertanya lah, sebab bulan lain, dulu ramai orang. Orang sakit lah kan yang ramai. Sampai berlari-lari anak-anak kecik ni, tapinya kali ni lengang. Dulu punya cerita lah, tak tahu lah sekarang kan, kot ramai dah sihat, kita sekarang ada kaedah perubatan lain selain kaedah perubatan konvensional ni. Orang kita sekarang pun dah celik, ramai dah istiqamah dengan Madu & Habbatus Sawda'. 

Khasiat Madu & Habbatus Sawda' tak boleh disangkal dan dipersoalkan lagi kan. Ini bukan saja persoalan khasiat tapi lebih besar lagi persoalannya, iaitu Iman, percaya kepada Allah, Rasul & Kitab.

Jadi sambung cerita, bila masuk ke kamar Doktor, sudah pemeriksaan, kita pun mula bertanya pada Dr. Maiyasah, doktor yang biasanya memang ada di PUSRAWI Jalan Ipoh dan KLINIK KELUARGA di Gombak. Tanya untuk dapat kepastian kedatangan pesakit saja kan, "Bulan puasa orang kurang ya doktor?". Doktor senyum saja, ngangguk dia. "Kalau macam tu doktor, tak payah ambik ubat lah, suruh semua orang puasa, semua sihat." Doktor pun sambung, "Memang ya, bulan puasa ni kurang orang, bulan biasa tu ramai."  

(Kalau kurang orang pergi klinik, kurang lah laris ubat-ubatan dadah ni nanti, mungkin tak untung lah.) Betul ke? Saya silap kot hehe.

Dr. Maiyasah dan Jururawatnya, yang manis belaka, mengesahkan pemerhatian tadi.


"Punca penyakit adalah dari perut (makanan)." - Maksud Hadis Nabi S.A.W. - Jabatan Agama Islam Selangor


Ini hanya pemerhatian rakyat hamba sahaya dan pengesahan dari Dr. Maiyasah di situ. 

Saya tengok-tengok saja.

1Malaysia; Bangsa Malaysia kan bangsa yang makan tak berlebih-lebih, makan bila lapo, pastu beghenti sebelum kenyang.


Ikhlas,
YASIR TAMIZI