Friday, February 10, 2012

Muhammad Wujud Sebelum Adam


Diceritakan...

"Tatkala Adam melakukan kesilapan dengan memakan buah larangan Allah dalam syurga, Baginda berkata, "Wahai Tuhan! Aku memohon dengan hak Muhammad agar Engkau ampuni aku." Allah berfirman, "Wahai Adam! Bagaimana engkau mengenali Muhammad sedangkan Aku belum menciptakannya?" Adam menjawab, "Tatkala Kau menciptakan aku, Kau meniupkan roh ke dalam jasadku maka aku mengangkat kepalaku lantas aku melihat pada tiang-tiang ‘Arasy tertulis ((Lailaha illallah Muhammad Rasulullah)), maka tahulah aku bahawa Engkau tidak akan menyandarkan nama seseorang kepada-Mu kecuali dia adalah yang Engkau kasihi dikalangan makhluk-Mu." Firman Allah, "Benarlah engkau wahai Adam. Dia amat Aku cintai berbanding sekalian makhluk lain. Jika engkau meminta daripada-Ku dengan haknya nescaya Aku ampuni engkau. Jika tidak kerana Muhammad, tidak Aku ciptakanmu wahai Adam. Dia ialah nabi yang terakhir dari zuriatmu." - (Diriwayatkan oleh Al-Hakim, disahkan oleh Al-Baihaqi dan Abu Nu'aim dalam Ad-Dalail serta At-Tobrani dalam Ausat Wasoghir juga Ibnu ‘Asakir dan Al-Ajriyy dari Saidina Umar Al-Khattab r.anhu.)

Saya tertanya-tanya, mengapa nama baginda Nabi Muhammad S.A.W. sudah pun tercatat di sana lebih awal daripada penciptaan Nabi Adam A.S.?

Adakah Muhammad sudah wujud sebelum Adam diciptakan?

Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. kekasih Allah S.W.T. penghulu segala Rasul. Allahu Allah.

Tuesday, February 07, 2012

Melayu Singapura Tidak Melayu?


Kalau betul Melayu Singapura ditindas kerana kaum, adakah hari ini mereka mahu jadi rakyat Malaysia di bawah pemerintahan BN yang kononnya membela Melayu? 

Ahad lalu saya berkenalan dengan seorang kawan, namanya Zaid, seorang Melayu Singapura yang bekerja di Singapura dan tinggal di Malaysia. Beliau kongsikan pengalamannya tentang kemudahan yang diberikan kepada rakyat Singapura seluruhnya oleh kerajaan Singapura yang diperintah oleh parti PAP. Untuk makluman, beliau berumahtangga dengan seorang Melayu Malaysia dan tinggal di Johor Bahru. Saya berpeluang hadir di sambutan hari lahir anak beliau dan anak kawan saya yang diadakan di rumahnya di Perling. 

Zaid bekerja sebagai anggota Jabatan Pertahanan Awam Singapura. Beliau bukan seorang yang berjawatan pegawai tinggi dan beliau memilih hospital kerajaan di Singapura untuk isterinya bersalin. Dikongsikan bahawa ketika isterinya dalam fasa bersalin, ketika masuk ke Hospital Kerajaan Singapura, isterinya, seorang Melayu Malaysia menjangkakan yang itu adalah hospital swasta kerana baginya, kemudahan bermutu seperti itu hanya boleh didapati di hospital swasta di Malaysia, namun jangkaannya silap, itu adalah Hospital Kerajaan Singapura. 

Kemudahan kesihatan yang bermutu di Singapura telah dinikmati Zaid dan isteri. Tapi bukan itu sahaja, Kerajaan Singapura turut menghadiahkan S$3000 bagi setiap anak yang lahir. Mengenangkan kemudahan yang seindah begini, semua anaknya dirancangkan dilahirkan di Singapura. S$3k setiap anak, tanpa had anak. Siapa tidak mahu? Dan sesuatu yang harus diperhatikan adalah kemudahan bermutu ini diberikan kepada seluruh rakyat Singapura tanpa mengira latar kaum, Melayu atau Cina, semua menikmatinya, asalkan rakyat Singapura. 

Laporan media perdana kita sejak puluh tahun dulu, sejak zaman Tun Mahathir, gemar mencaci dan memaki Singapura dengan gelaran cauvinis, walhal Kerajaan Singapura yang cauvinis itu jugalah yang menyediakan kemudahan kesihatan bermutu untuk semua rakyat mereka, termasuk Melayu. 

Bayangkan, jika kita mahu mengajak Melayu Singapura kembali ke Malaysia dengan menggunakan sentimen yang kononnya Malaysia ini syurga Melayu, mahukah mereka? Adakah Melayu Singapura tidak Melayu dengan menyokong kemudahan kesihatan begitu dan mahu anak-anak mereka menikmati pelbagai kemudahan yang baik daripada Kerajaan Singapura? 

Apa jadi kepada Malaysia yang suatu masa dulu, kerancakkan ekonominya setanding Singapura, Korea Selatan dan Taiwan, hari ini hanya berlegar sekitar liga negara-negara dunia ketiga? Tidak mahukah kita kembali kepada landasan ekonomi kita? 

Kalau boleh saya kongsikan, insyaAllah melalui Agenda Ekonomi Malaysia, kita akan kembali ke landasan ekonomi yang betul. Ubah sekarang, selamatkan Malaysia.

Wednesday, January 25, 2012

Siapakah Awan Nano?



Sebelum saya kongsikan pandangan(Abang saya sebenarnya) tentang Awan Nano ini, saya petik dulu kata-kata rakan blogger yang juga cuba merungkai maksud Awan Nano ini:

"Kata seorang teman kepada Buddhi di tansrikudu.blogspot, Awan Nano bukan sekadar lagu, ia adalah sejarah. Buddhi Hekayat pula kata awan nano kalau diceritakan, takutnya akan berkolah air mata." - OrangLipis.Blogspot.

Kalau boleh saya juga mahu menambah kupasan tentang Awan Nano. Kalau boleh dikaitkan kupasan ini dengan komen Orang Lipis, ada kaitan juga barangkali kerana kupasan ini turut terkait dengan sejarah dan sejarah ini bila dihayati sungguh-sungguh boleh menitiskan air mata.

Ramai yang tertanya-tanya makna Awan Nano. Ada yang cuba mencari maknanya. Dan ada yang bersungguh mencari. Persoalannya mengapa ada yang bersungguh mencari makna Awan Nano ini? Siapakah Awan Nano sebenarnya?

Yang mencari makna Awan Nano, rata-rata mentafsirkannya secara tersirat. Mungkin perlambangan jasa seorang Ayah yang melindungi anaknya barangkali, seperti yang digambarkan klip video Hafiz AF. Cumanya, mengapa tidak cuba ditafsirkan secara tersurat saja?

Saya menghormati hajat tuan penulis lirik agar tafsiran tentang Awan Nano dibebaskan mengikut pendengar. Yang akan saya kongsikan bukan kata-kata penulis, tapi yang saya akan kongsikan adalah pandangan Abang, yang saya juga turut terima. Bagi saya, apalah gunanya saya menulis kalau tidak boleh saya berikan sesuatu yang baik, supaya kita sama-sama terjana, berkolah air mata mengambil iktibar, akan ketinggian kasih dan kesetiaan sebentuk Awan, memayungi Kekasih Kita S.A.W.

Kasihnya,
Kasih tiada banding,
Setia tiada tara,
Bagaimanapun jua... - Lirik Awan Nano

Tuesday, January 24, 2012

Smoking Epidemic in Indonesia



Watching this video, I remember one day when I had a dinner at Rasta TTDI near Kampung Sungai Penchala together with my officemate, Zul, there was a cute girl standing just beside the counter, wearing short skirt with white and red shirt, and she's holding 2 pack of cigarettes. Finished my dinner, we headed to the counter to pay our bill and just a second before I open my wallet, this cute girl offer me a pack of cigarettes. Politely, I informed her that I'm not smoking. While waiting my turn to pay my dinner, I was thinking to ask her whether she smoke or not, and it is not just a thought, I did ask her. My thinking is that may be she's smoking and that's why she promotes the culture of smoking and help her company to propagate the idea of coolness in smoking, plus to take this opportunity to talk with her, at least something to start a conversation may be? Ha ha I'm kidding. It took courage for me to ask someone a question which I think it's quite personal to whom I don't know. I asked her, "Do you smoke?" and she answered me with confidence, "I'm not." Enjoy the 42 minutes worth-watching video about our brothers and sisters who struggle on their fight towards the tyranny of the cigarettes tycoon in Indonesia. Credit to Azwan, he triggered me with the issue, thank you. Salam.

Monday, January 23, 2012

Semua Agama Benar?


Baru-baru ini aku didatangi satu ide baru tentang agama, hasil daripada kupasan ide dan perbincangan panjang yang berlangsung di tepi CIMB Bangsar sambil menghirup teh dan menikmati roti naan keju di Restoran Mahbub, yang aku gelarkan Restoran Mere Mehbubu Mere Sanam.

Membaca tajuk tulisan ini, pasti ada yang mengelak daripada terus membacanya, khuatir akan terpesong aqidah barangkali. Aku ingatkan awal-awal, jika mahu mula membaca, pastikan habis dan faham. Tapi aku yakin tiada akan terbabas kerana kalau ada kekeliruan, Tanyalah Ustaz? Jangan tanya aku.

Teman aku memetik ayat Quran yang menyatakan bahawa syarat masuk syurga adalah percaya kepada Allah dan berbuat baik. Dirumuskan ketika itu bahawa mana-mana manusia yang percaya kepada Allah(Tuhan) dan berbuat baik, maka diterima masuk ke syurga, tanpa mengira beza nama agamanya, kerana yang berbeza itu namanya, sedangkan pengisiannya sama, yakni percaya kepada Tuhan dan berbuat baik. Lalu semuanya masuk syurga, tak kira walaupun Hindu, Buddha, Kristian, Yahudi dan Islam.

Maka hujah balas kepada tafsiran tadi itu adalah ayat Quran yang berbunyi, Sesungguhnya agama yang diredhai Allah hanyalah Islam. (3:19)

Ayat Quran ini ditafsirkan pula dengan menyatakan bahawa perkataan Islam yang digunapakai oleh masyarakat ketika ayat itu diturunkan, membawakan maksud tunduk menyerah kepada Tuhan, bukan sebagai satu nama khas bagi agama Islam. Jika tafsiran ini diterima, makanya segala bentuk agama adalah agama yang diredhai Allah. Jika semua agama itu diredhai Allah, maka mengapa perlu kita mengajak penganut agama lain memeluk agama Islam? Dan apa perlu penganut agama lain mengajak kita memeluk agama mereka? Bukan begitu? Inilah tafsiran agama yang aku dengari ketika itu iaitu semua penganut agama masuk syurga dan semua agama diredhai Allah.

Pemikiran ini menghantui benak pemikiran aku selama 2 hari. Aku pening dengan pemikiran begini dan kalau diikutkan rasa bingung ini, mahu saja aku tolak mentah-mentah ide itu tanpa mencari hujah balasnya.

Lalu menelusuri persoalan ini, aku kembali kepada soalan pokok kepada perbincangan tadi iaitu maksud sebenar Islam. Dalam perbincangan tadi, aku diberikan tafsiran baru tentang Islam dan agama. Jadi aku soal semula, apa maksud Islam? Islam yang aku biasa dengar bermaksud sejahtera. Tapi maksud sejahtera ini masih belum menjawab.

Hari berlalu, hari ini aku teringatkan Hadis Rasulullah S.A.W., hadis ke-2 dalam Hadis 40 himpunan Imam Nawawi yang menceritakan secara terang tentang maksud Islam. Cakap betulnya, aku tak hafal hadis, cuma ada terbaca Hadis 40 yang dihadiahkan Hanif sempena cenderahati perkahwinannya, lalu aku rujuk hadis ini yang mana diriwayatkan oleh Saidina Umar R.A,

"Ketika kami sedang duduk bersama Rasulullah S.A.W., satu hari ketika itu datang seorang lelaki yang mana bajunya sangat putih dan rambutnya sangat hitam dan pakaiannya tiada tanda musafir tapi tiada antara kami yang mengenalinya. Lelaki itu duduk di hadapan Nabi, lutut bertemu dengan lutut dan meletakkan tangannya di peha Nabi, dan bertanya dia kepada Rasulullah S.A.W, Ya Muhammad, akhbirni 'anil Islam. Wahai Muhammad beritahu aku pasal Islam. Maka Rasulullah jawab, Islam adalah kamu bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu Rasulullah, kamu dirikan solat, kamu tunaikan zakat, kamu berpuasa di bulan Ramadhan dan menunaikan Haji kalau kamu mampu. Lalu lelaki itu berkata, betul cakap kamu."

Maka, dirumuskan yang Islam itu adalah mengucap 2 kalimah SYAHADAH, SOLAT, bayar ZAKAT, PUASA di bulan Ramadhan dan HAJI bagi yang mampu. Bukan kah ini Rukun Islam yang aku pelajari masa kecil-kecil dulu dengan Ustaz Rafie & Ustaz Rohan, dengan menggunakan buku KAFA? Mudah kan? Inilah Rukun Islam dan aku belajar semula mengenainya dan menikmatinya pada umur 28 tahun.

Hadis ke-2 ini cukup mencerahkan persoalan yang membingungkan tadi. Aku faham apa itu Islam dan aku rasakan nikmat Quran & Sunnah. Aku mengucap syukur ke hadrat Allah S.W.T dan selawat salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. atas limpah kurnia dan hidayat yang dicurahkan juga sirah Baginda S.A.W. Aku harapkan teman aku tadi, juga mendapat pemahaman yang serupa, mungkin dengan perjalanan sendiri atau di lain kali, saat kami bertemu lagi.

Balik kepada tajuk semua agama adalah benar? Ya, semua agama benar jika rukunnya, mengucapkan 2 kalimah SYAHADAH, menunaikan SOLAT, membayar ZAKAT, berPUASA di bulan Ramadhan dan melaksanakan HAJI bagi yang mampu. Nyatanya, agama yang begitu hanyalah satu.


إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ ۗ
Sesungguhnya agama (yang diredhai) disisi Allah hanyalah Islam (3:19)


Ikhlas,
YASIR TAMIZI